slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Jumaat, 23 Disember 2011

PMR: Didie Alias Bangga Anak Dapat 8A


Didie bersama dua orang anaknya termasuklah Dinie (kanan). (Foto diambil daripada Facebook Didie)
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Didie Alias menganggap kejayaan anak ketiganya, Nur Dinie Ridzuan, 15, merangkul 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai satu hadiah paling istimewa buat dirinya.
Didie Alias berkata kejayaan anaknya dalam PMR yang diumumkan Khamis itu bagaikan pengubat kepada semua hasil penat lelahnya selama ini.
"Ketika nama Nur Dinie diumumkan di dewan Sekolah Kebangsaan Bukit Indah, Ampang, saya sendiri terkejut dan tidak percaya kerana hanya tiga orang sahaja yang diumumkan mendapat 8A.
"Sebagai seorang ibu sudah tentu ada perasaan bangga dan ini merupakan hadiah paling istimewa buat saya. Biar apa juga orang ingin kata tentang saya namun kejayaan ini membuktikan saya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dengan baik," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Ditanya tentang kunci kejayaan anaknya, Didie berkata dia sentiasa memantau pembelajaran setiap anaknya biarpun sibuk dengan kerjaya.
"Saya tidak nampak dia belajar 24 jam tetapi saya yakin dia menumpukan perhatian sewaktu di sekolah selain mengikuti kelas tambahan di luar waktu sekolah.
"Sebagai ibu sudah tentu saya pantau setiap perkembangan persekolahan dan prestasi akademiknya dari semasa ke semasa," ujarnya.
Sementara itu, jelas Didie dia masih belum merancang sebarang hadiah sebagai ganjaran atas kejayaan tersebut.
"Saya tidak janjikan apa-apa pada dia dan dia juga hanya minta doa dari saya untuk berjaya cemerlang PMR ini," katanya.
Selain Nur Dinie, Didie juga mempunyai empat lagi cahaya mata hasil perkahwinan pertamanya dengan pelakon Ridzuan Hashim iaitu Nur Dania, Muhammad Daniel dan Nur Diyana dan Nur Dayini. - mStarOnline

Butler mahu Kijang serius lawan Persebaya


PERLAWANAN menentang kelab terbaik Liga Premier Indonesia, Persebaya FC bagi merebut Piala Unity di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini akan dijadikan medan barisan pemain Kelantan membuktikan kemampuan berkualiti.

Ketua jurulatih, Peter Butler berkata, dengan kehadiran dua pemain import dan pemain tempatan berpengalaman, beliau mahu pasukannya berjuang habis-habisan sebelum bertemu semula di Surabaya, 28 Disember ini.

“Perlawanan ini tentunya menjadi perhatian ramai peminat tempatan yang ingin melihat perkembangan terkini Kelantan dan kehebatan kelab Indonesia itu.

“Saya belum memutuskan kesebelasan terbaik tetapi saya mahu pemain yang beraksi nanti mampu memastikan kemenangan kami,” katanya pada sidang media bersama ketua jurulatih Persebaya, Divaldo Alves di Kota Bharu, semalam.

Sementara itu, Divaldo bakal menurunkan tiga importnya, Otavio Dutra dan Alexandre Da Silva Mariano dari Brazil serta pemain Australia, Andrew Barisic.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 33 tahun itu tidak memandang mudah keupayaan Kelantan yang dianggap pasukan terbaik Liga Super Malaysia.

Katanya, peluang beraksi dengan Kelantan di Kota Bharu akan dipergunakan sebaik mungkin bagi memburu kemenangan sebagai bekalan di Surabaya nanti.

“Saya mengharapkan tentangan sengit tuan rumah. Saya fikir jika banyak jaringan dapat dilakukan kedua-dua pasukan, perlawanan pasti lebih menarik,” katanya.

Sementara itu, pelanggan Indopek menerusi pakej berbayar Astro boleh menyaksikannya secara langsung hari ini di saluran Bintang 141 jam 8.40 malam dan perlawanan kedua 28 Disember jam 8.55 malam. - myMetro

Makin hebat


PRESTASI cemerlang skuad bola sepak negara di pentas antarabangsa menyaksikan ranking mereka terus menikmati peningkatan.

SKUAD bola sepak negara terus menikmati peningkatan dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Ia seolah-olah membuktikan betapa seriusnya Malaysia untuk berada dalam kalangan 70 pasukan terbaik dunia.
Jika momentum cemerlang berterusan, tidak mustahil impian tersebut boleh dicapai dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Jika berjaya berada dalam kelompok 70 terbaik, masa depan pemain Malaysia untuk bergelar pemain profesional di bumi Eropah sangat cerah.
Malaysia perlu berada dalam kumpulan 70 pasukan terbaik memandangkan peraturan liga Eropah khususnya Liga Perdana England hanya akan membenarkan pemain daripada kalangan negara yang berada dalam kelompok tersebut beraksi dalam liga mereka.
Ia tidak mustahil dicapai jika kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA terus berubah.
Dalam senarai terbaharu, skuad bola sepak negara mengakhiri musim 2011 di kedudukan ke-148, naik tujuh anak tangga berbanding bulan lepas.
Peningkatan ranking pasukan negara itu adalah hasil daripada beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa yang diatur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepanjang tahun ini.
Peningkatan itu turut dibantu dengan kejayaan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, November lalu selain pencapaian cemerlang pada aksi kelayakan Olimpik 2012.
Berdasarkan ranking terbaharu FIFA yang dikeluarkan semalam, Malaysia memungut tambahan tujuh mata selepas mencatat beberapa kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang mereka harungi sepanjang tahun ini.
Bagaimanapun, kedudukan terbaik skuad negara tahun ini adalah pada bulan Mac lepas iaitu di tangga ke-138, yang pada hakikatnya masih jauh berbanding kedudukan terbaik Malaysia di tangga ke-75 pada 1993.
Menerusi kedudukan terbaharu itu, pasukan negara kini setanding dengan negara-negara lain seperti Singapura (145), Turkmenistan (146), Lesotho (147), Samoa (149) dan Equatorial Guinea (150).
Dalam kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia berada di tempat kelima di belakang Vietnam (99), Thailand (122), Indonesia (142) dan Singapura (145).
Pada peringkat Asia, kedudukan Malaysia turut naik tiga anak tangga ke kedudukan ke-24 daripada 46 negara, berbanding tempat ke-27 bulan lepas.
Sementara itu, kedudukan teratas ranking dunia masih dipegang juara Piala Dunia 2010, Sepanyol, diikuti Belanda dan Jerman daripada keseluruhan 203 buah negara. - KOSMO

Liverpool berdiri teguh di belakang Suarez


SUAREZ mengemukakan rayuan berhubung penggantungan lapan perlawanan yang dikenakan FA England ke atasnya.

WIGAN - Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish menegaskan, pasukan itu akan memberikan sokongan seratus peratus kepada penyerang, Luis Suarez yang ditimpa masalah.
Pemain antarabangsa Uruguay itu gagal memberikan inspirasi kepada skuad The Redsbagi memenangi aksi dengan Wigan Athletic pada awal pagi semalam.
Kegagalan Charlie Adam menyempurnakan sepakan penalti telah menyebabkan aksi di Stadium DW itu berakhir dengan ke putusan seri tanpa jaringan, sekali gus kekal di tangga keenam Liga Perdana England.
Namun, ketiadaan Suarez yang digantung lapan perlawanan dan didenda sebanyak AS$62,800 (kira-kira RM198,679) turut dirasai pengurus dan rakan sepasukannya.
Suarez didapati bersalah mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman kepada pemain Manchester United, Patrice Evra di Anfield, Oktober lalu.
"Kami akan berdiri di Suarez dan akan sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
"Saya rasa ia juga akan memberi kesan kepada penerimaan para peminat. Penyokong turut menunjukkan sokongan kepadanya."
Dalglish dan para pemain Liverpool turut membuktikan sokongan kepada Suarez apabila memakai baju yang mempunyai gambar dan nombor penyerang itu pada sesi pemanas badan.
Ia bertujuan memberi sokongan kepada Suarez yang akan membuat rayuan berikutan hukuman yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England.
Dalglish menyuarakan sokongan itu selepas menyaksikan Liverpool kekal di tempat keenam Liga Perdana England. - AFP

Khamis, 22 Disember 2011

Alexander tanpa U-Kiss


ALEXANDER (kiri) ketika masih bersama kumpulan U-Kiss.

ALEXANDER LEE EUSIBIO yang memulakan kerjaya seninya bersama band asal Korea Selatan U-Kiss bermula Ogos 2008 kini telah bergerak solo sejak awal tahun ini.
Dia yang ditemui baru-baru ini di pejabat ntv7, Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya memberitahu keputusan untuk keluar daripada band U-Kiss bukannya kerana mereka bergaduh sebaliknya kerana dia ingin mendapat lebih kebebasan dalam berkarya.
“Saya keluar daripada U-Kiss secara baik, saya tidak bergaduh dengan mana-mana pihak. Saya ingin menentukan sendiri hala tuju saya sebagai anak seni.
“Jika bersama U-Kiss, saya terikat dengan konsep dan imej yang ditentukan oleh agensi. Sekarang saya lebih bebas untuk menentukan kerjaya saya dalam segala segi. Saya bebas memilih imej dan muzik yang saya suka,” katanya yang berdarah kacukan Portugis dan Cina di sebelah ayah, manakala Korea di sebelah ibunya.
Meskipun telah memulakan kerjaya solo sejak awal Disember lalu, akui Alexander, dia masih berasa kekok ketika di atas pentas dan merindui momen bersama anggota U-Kiss.
“Kami sudah lama melakukan persembahan bersama, jadi bila berada di atas pentas dan melakukan persembahan solo kadangkala saya rasa sedikit kekok tetapi lama-kelamaan masalah itu dapat diatasi.
“Hubungan saya dan anggota U-Kiss masih baik dan kami sangat rapat. Memang rindu bila terkenang balik momen saya bersama U-Kiss. Jadi, kami saling berhubung menerusi telefon untuk bertanya khabar, sekarang mereka sibuk dengan promosi album di Jepun,” ujarnya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa.
Apabila berbicara mengenai band U-Kiss, Alexander menyimpan harapan agar suatu hari nanti band U-Kiss dapat bersatu kembali untuk mengadakan sebuah persembahan.
“Itu harapan saya agar kami dapat buat reunion bersama anggota asal U-Kiss dan buat persembahan bersama. Tetapi saya tidak tahu bila perkara itu akan berlaku,” balasnya.
Album solo
Apabila ditanya tentang kekasih, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu kini lebih selesa tidak terikat dalam hubungan cinta kerana memberi fokus kepada kerjayanya solo yang baru hendak bermula.
“Saya belum ada kekasih tetapi suatu hari nanti saya pasti akan mempunyai seorang kekasih seperti orang lain juga.
“Gadis yang menjadi pilihan saya adalah seorang yang berdikari kerana dalam kesibukan kerja, saya tidak akan sentiasa bersamanya. Dia juga harus memahami kerjaya saya sebagai artis,” terangnya.
Bercakap mengenai perjalanan solonya, Alexander terlebih dahulu mengadakan persembahan solo pertamanya pada 9 Disember lalu menerusi showcase yang dilabelkan sebagai Alexander Live 2011 di Akasaka Blitz, Tokyo, Jepun.
Selepas Jepun, Malaysia menjadi lokasi keduanya untuk promosi album solo pertamanya yang berjudul I Just.
“Selepas bergerak solo, impian saya untuk menghasilkan sebuah album solo tercapai. Terima kasih kepada peminat yang selama ini menyokong saya,” ujarnya yang akan terlibat dalam sebuah drama pada tahun hadapan.
Album I Just yang telah berada di pasaran bermula 19 Disember lalu mengandungi tiga buah lagu iaitu Oh Baby, I Just dan Bad Girl yang dirakamkan dalam tiga buah bahasa iaitu Korea, English dan Jepun.
Kehadiran Alexander di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana dia turut terlibat dalam Konsert Star Live 2011 anjuran stesen televisyen ntv7 pada 17 Disember lalu di Stadium Bukit Jalil.
Bukan itu sahaja, Alexander juga bertemu peminatnya dengan mengadakan showcase solo pertamanya di Cheras Leisure Mall, Kuala Lumpur pada 18 Disember lalu. - KOSMO

Lokasi tempat ramalan kiamat jadi tumpuan


(Reuters) GAMBAR fail menunjukkan lokasi peninggalan tamadun Mayan di Chiapas, Mexico.

BANDAR RAYA MEXICO - Agensi Pelancongan Mexico menjangkakan dapat menarik kehadiran 52 juta pelawat menjelang tahun 2012 ke rantau yang dikaitkan dengan tamadun Mayan seperti Chiapas, Yucatan dan Tabasco.
Sebelum ini, Mexico dapat menarik kehadiran sekitar 22 juta pelancong luar pada setiap tahun.
Peningkatan mendadak dalam jumlah pelancong kali ini dikaitkan dengan ramalan penduduk Mayan bahawa kiamat bakal berlaku pada tahun depan.
Kiamat itu diramalkan berlaku pada 21 Disember 2012.
Pekan dan bandar raya di kawasan tamadun Mayan memulakan kiraan tamatnya kalendar Mayan tersebut semalam.
Namun, ramai ahli arkeologi berpendapat rujukan kepada tarikh tersebut yang diukir pada batu bersurat berusia 1,300 tahun cuma menandakan tamatnya satu kitaran dalam kalendar Mayan.
"Dunia belum kiamat. Ia hanya satu era," kata seorang jurucakap pelancongan negeri Quintana Roo yang menempatkan kota bersejarah Cancun, Yeanet Zaldo.
Kebijaksanaan tamadun Mayan menyebabkan sebahagian penduduk mengambil berat tentang ramalan kiamat tersebut.
Tamadun Mayan yang mencapai peringkat kegemilangan dari tahun 300 Tahun Masihi hingga 900 Tahun Masihi memiliki kemahiran luar biasa dalam bidang astronomi.
Kalendar kaum berkenaan bermula pada tahun 3,114 Sebelum Masehi (S.M.) dan mengambil masa selama 394 tahun untuk membentuk satu kitaran dikenali sebagai Baktun.
Baktun ke-13 berakhir pada 21 Disember 2012.
Teori bahawa kiamat berlaku pada tarikh tersebut berpunca daripada sebuah batu bersurat yang ditemui pada tahun 1960-an di tapak arkeologi Tortuguero di negeri Tabasco, dekat Teluk Mexico.
Batu bersurat berkenaan menceritakan tentang kembalinya Dewa Mayan pada penghujung Baktun ke-13.
Mereka yang percaya mengenai teori kiamat itu menyebarkan ramalan tersebut di ratusan ribu laman web dan blog di Internet. - Agensi

Suarez terima padah


SUAREZ (kiri) didapati bersalah mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kepada Patrice Evra.

LONDON - Penyerang Liverpool, Luis Suarez digantung lapan perlawanan dan didenda AS$62,800 (RM198,679) kerana mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman kepada pemain Manchester United, Patrice Evra.
Penyerang Uruguay tersebut melakukan kesalahan itu dalam satu aksi Liga Perdana England di Anfiled pada Oktober lalu.
Suarez didapati bersalah menggunakan perkataan kesat itu kepada Evra pada perlawanan tersebut termasuk mengejek warna kulit pemain pertahanan itu.
Bagaimanapun, pengantungan itu ditangguhkan sementara waktu bagi menunggu keputusan rayuan yang dibuat oleh Suarez selepas Suruhanjaya Bebas Persatuan Bola Sepak (FA) England berjaya membuktikan kesalahan tersebut.
FA England mengumumkan keputusan itu meskipun Suarez berulang kali menafikan tuduhan tersebut di dalam lama webnya selepas perbicaraan yang bermula pada 14 Disember lalu di sebuah lokasi yang tidak didedahkan.
Suruhanjaya Bebas itu mendedahkan, Suarez menggunakan perkataan berunsur perkauman, sekali gus bertentangan dengan Peraturan E3 (1) FA England.
Manakala perkataan yang berkaitan warna kulit yang digunakan Suarez pula berkaitan dengan Peraturan E3 (2).
Dalam pada itu, Suarez di dalam laman sosial Twitternya memberitahu, semalam adalah hari yang paling sukar baginya termasuk ahli keluarga dan dia berterima kasih kepada semua sokongan yang diberikan.
Pengurus skuad The Reds, Kenny Dalglish pula membalas di dalam Twitter dengan menyatakan dia amat kecewa dengan hukuman yang dikenakan ke atas Suarez dan meminta semua pihak memberi masa kepada penyerang sensasi itu. - Reuters

Beckham masih tiada tandingan


BILA berada di luar padang, Beckham lebih banyak menghabiskan masa dengan anak-anaknya.

KARIER bekas bintang bola sepak England, David Beckham masih belum menunjukkan tanda-tanda suram.
Meskipun telah berusia 36 tahun, bekas kapten skuad The Three Lions itu masih lagi laku di pasaran.
Setelah bermain dengan tiga kelab terkemuka dunia iaitu Manchester United, Real Madrid dan AC Milan, perancang yang kini bersama Los Angeles Galaxy itu masih mampu menarik minat banyak kelab elit Eropah.
Terbaru, suami kepada anggota kumpulan pop Spice Girls, Victoria itu kini dikaitkan dengan kelab dari Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).
Namun, pihak pengurusan Beckham, XIX Entertainment dengan pantas menepis spekulasi tersebut meskipun kontraknya dengan LA Galaxy berakhir 31 disember ini.
“Tiada perjanjian dicapai dengan mana-mana kelab setakat ini. Semua cerita mengenai perjanjian tersebut hanyalah spekulasi sahaja.
“David masih lagi belum membuat keputusan mengenai masa depannya,” kata XIX Entertainment.
Biarpun berita itu hanya spekulasi, namun jelas sekali ia membuktikan bahawa populariti pemain kesayangan England itu masih utuh dan laku di pasaran.
Media melaporkan PSG sanggup menawarkan gaji 800,000 euro (RM3.32 juta) sebulan untuk membawa imej dan populariti Beckham ke ibu negara Perancis itu.
PSG yang dimiliki oleh Qatar Sport Investments, mahu menggunakan Beckham sebagai daya penarik kepada peminat bola sepak terhadap Liga Perancis, khususnya berkaitan dengan pemasaran dan penjenamaan kelab tersebut.
Selain menjadi bintang bola sepak terkemuka, Beckham yang mempunyai raut wajah yang kacak turut menjadi ikon metroseksual, model dan jurucakap kepada produk-produk terkenal dalam dunia fesyen, minyak wangi, kosmetik dan penjagaan kesihatan.
Status selebriti yang dikecapi Beckham di luar padang ini bagaimanapun tidak menjejaskan fokus utamanya di atas padang.
Buktinya, Beckham pernah menduduki tempat kedua dalam anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA sebanyak dua kali dan menjadi pemain menerima gaji paling mahal di dunia pada 2004 ketika bersama Real Madrid.
Pada 2007, Beckham menyertai saingan Liga Bola Sepak Amerika Syarikat dan sekali lagi menerima bayaran tertinggi dalam kontraknya bersama LA Galaxy selama tiga tahun. - KOSMO

Rindu sentuhan Misbun


MERIAH...Chong Wei bergambar bersama peminat di Shah Alam, semalam.
MERIAH...Chong Wei bergambar bersama peminat di Shah Alam, semalam.

TIDAK sampai 10 hari genaplah setahun ‘sifu’ Datuk Misbun Sidek meletakkan jawatan serta meninggalkan anak didiknya Datuk Lee Chong Wei dan pemain nombor satu dunia ini mula menagih panduan daripada jurulatih itu ketika bahang Sukan Olimpik 2012 London semakin dirasai.

Chong Wei, 29, ditemui selepas dilantik Duta Produk Cafe 99 Ipoh White Coffee di Glenmarie, Shah Alam semalam tidak menafikan dia memerlukan Misbun yang berjaya mengubah nasibnya daripada sering tewas kepada mana-mana pemain China ketika di bawah Li Mao kepada pemain digeruni.

“Saya sedia untuk berlatih dengan Misbun tapi bukan saya yang buat keputusan. Saya bukan pemain profesional seperti Taufik Hidayat (Indonesia) yang bebas menentukan siapa jurulatihnya. Saya terikat dengan arahan Persatuan Badminton Malaysia (BAM),” kata Chong Wei yang membatalkan cuti rehat demi melakukan persiapan terbaik ke Olimpik yang tinggal hanya lapan bulan.

“Sebagai pemain, saya tidak kisah siapa menjadi jurulatih selagi mampu menaikkan taraf permainan saya, malah jika perlu kembali kepada Li Mao, saya sedia menerimanya.” 

Persoalan mengenai Misbun melatih semula Chong Wei timbul selepas pemain nombor satu dunia itu mengalami kekalahan terbaru kepada pemain nombor dua China, Chen Long di Siri Super Final minggu lalu.

Daripada empat pertemuan terakhir Chong Wei-Chen Long, pemain harapan negara itu tewas tiga kali namun masih mempunyai kelebihan rekod pertemuan 5-4.

Misbun pernah melatih Chong Wei sehingga pemain itu mara ke final Terbuka Malaysia 2003 yang menyaksikannya tewas kepada Chen Hong (China) ketika sistem 15 mata.

Selepas itu Chong Wei diletakkan di bawah Li Mao pada 2005-2007 yang menyaksikan pemain itu mendekati takhta nombor satu dunia tetapi badi kekalahan kepada pemain China semakin menebal.

Bagaimanapun Misbun yang mula melatih Chong Wei selepas ditinggalkan Li Mao juga tidak bertahan lama apabila menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM pada 31 Disember 2010.

Dalam pada itu, Chong Wei mendapat laluan mudah di Terbuka Korea 1-8 Januari depan untuk merampas semula gelaran yang dimenanginya pada 2010. - myMetro

Jumaat, 9 Disember 2011

Nikita Willy Bawa Hati Ke Malaysia Lepas Putus Cinta


Nikita Willy Foto KapanLagi.com
PETALING JAYA: Pelakon popular Indonesia, Nikita Willy yang hangat dengan sinetron Safa dan Marwah dan Putri Yang Ditukar kini berada di Malaysia bagi mempromosi dua single terbarunya.
Menurut Nikita, dia menceburkan diri dalam bidang nyanyian bagi memgembangkan bakat seni yang ada dalam dirinya.
"Saya sudah lapan tahun berada dalam bidang lakonan dan membintangi beberapa filem dan sinetron Indonesia, bidang nyanyian pula merupakan percubaan pertama saya.
"Bagaimanapun maklum balas masyarakat di Indonesia banyak beri sokongan dan galakkan kepada lagu-lagu ini," katanya pada sidang media pelancaran album Nikita Willy, di sini, Khamis.
Selain itu, mini album yang memuatkan lima buah lagu termasuk tiga buah lagu lama akan berada dipasaran pada 12 Disember ini.
Dalam pada itu, penyanyi baru ini masih dalam proses rakaman bagi menyiapkan 12 buah lagu untuk dimuatkan dalam album penuhnya.
Sementara itu, bercerita tentang kehidupan peribadi, Nikita mengakui baru sahaja putus cinta dengan kekasihnya, Bara Tampubolon pada Rabu lepas.
Namun dia menafikan hubungan tersebut putus berikutan khabar angin yang mengatakan dia kini rapat dengan pemain bola sepak Indonesia, Diego Michelis.
"Ya, saya sedang bersedih kerana hubungan saya dan Bara baru sahaja putus Rabu lalu. Banyak halangan yang datang sepanjang kami bercinta dan salah satunya adalah pegangan agama yang berbeza.
"Namun ia bukan kerana saya curang dengan Diego, saya dan Diego hanya kawan dan saya tidak mengenali dia seperti yang dikhabarkan media Indonesia," katanya.
Jelas Nikita lagi, buat masa ini dia masih belum bersedia memikirkan tentang percintaan dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang pelajaran dan kerjayanya. - mStarOnline

'Habuan lagi'

pix_gal0
HARI ini, semua 91 pemenang emas negara di Sukan SEA Jakarta bulan lalu menerima habuan RM629,996 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dan bagi skuad bola sepak, ada sesuatu lebih besar menanti selepas skim berkenaan.


Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menandatangani perjanjian sebagai Rakan Rasmi Pasukan Bola Sepak Kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 8 Julai lalu, turut menjanjikan insentif kepada skuad Bawah 23 andai berjaya mempertahankan ‘ibu segala pingat’ pada Sukan SEA lalu.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, walaupun belum ada berita mengenai penyerahan insentif berkenaan, keputusan mengenainya mungkin diketahui selepas Jawatankuasa Kewangan FAM bersidang esok. 


“Telekom menjanjikan RM1 juta sebagai insentif untuk beberapa kejohanan dalam tempoh setahun, jadi selepas mesyuarat Sabtu ini (esok), baru kami bentangkan jumlah sebenarnya untuk skuad Sukan SEA,” kata Azzuddin. 


Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee ketika diminta mengulas insentif tambahan itu mengalu-alukan sebarang bentuk insentif kepada anak buahnya kerana ia mampu merangsang pemain berusaha lebih keras. 


“Saya tidak fikir pemain akan lupa diri, sekurang-kurangnya ia mampu menarik minat mereka untuk kekal bersama pasukan walaupun mendapat tawaran tinggi daripada pasukan lain.” 


Sebelum ini, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah Skuad memberi habuan RM30,000 kepada setiap seorang sebaik Harimau Muda menewaskan Indonesia menerusi penalti penentuan di Jakarta, 21 November lalu. - BHarian

Khamis, 8 Disember 2011

Banglo Apek buat abah


KOTA BHARU: “Dia pembela nasib keluarga kami,” luah Che Mat Husin, 59, bapa kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, mengenai niat anaknya mahu menyerahkan rumah banglo diberikan kerajaan negeri kepada keluarganya.

Menyifatkan Khairul Fahmi sebagai anak bertanggungjawab, Che Mat mengakui berbangga setiap kali anaknya meraih kejayaan besar, lebih-lebih lagi mengharumkan nama negara termasuk menjuarai Piala AFF Suzuki ketika beraksi sebagai penjaga gol, setahun lalu.

“Sebagai ayah, kejayaannya membuatkan kami sekeluarga bangga dan tidak sia-sia membesarkannya walaupun dia terpaksa mengharungi susah payah dilalui keluarga kami suatu masa dulu akibat kemiskinan.

“Ketika di kemuncak, dia (Khairul Fahmi) tidak lupa diri. Kesediaannya menyerahkan rumah berkenaan kepada keluarga atas rasa tanggungjawabnya,” katanya. 

Khairul Fahmi yang dihubungi kelmarin, berkata dia mahu menghadiahkan rumah banglo itu kepada keluarganya.

Bagaimanapun, kerana kesuntukan masa dan perlu menjalani latihan insentif menghadapi tiga perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dengan beberapa kelab bola sepak termasuk Sydney FC di Sydney, Australia, pada 10 hingga 22 Disember ini, menyebabkan Khairul Fahmi tidak dapat bercakap panjang.

Che Mat berkata, dia terharu apabila mengetahui Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek berhasrat menghadiahkan banglo di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa kepada keluarga sebagai membalas pengorbanan orang tuanya.

“Kami bersyukur kerana kejayaannya mendapat perhatian banyak pihak, malah nasib keluarga kami berubah kerana dia banyak membantu keluarga.

“Dia (Apek) tidak pernah membelakangi keluarga meskipun sibuk, malah selepas berjaya, dia menjadi harapan membela nasib kami sekeluarga,” katanya.

Che Mat yang bekerja sebagai pemandu lori pasir sejak 20 tahun lalu, kini mampu tersenyum dan tidak putus bersyukur dengan kejayaan dicapai anak keempat daripada lima beradik itu.

Katanya, keluarganya berasal daripada golongan miskin dan tidak menduga kerjaya Apek sebagai pemain bola sepak mampu mengubah nasib keluarga. - myMetro

Selasa, 6 Disember 2011

Tahap kecergasan Chong Wei menurun


PRESTASI jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan kembali berada di puncak menjelang Mac atau April tahun depan.
Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, ketika ini Chong Wei masih lagi dalam proses pemulihan selepas mengharungi banyak kejohanan sepanjang tahun ini.
Jelasnya, dalam masa terdekat ini, agak sukar buat Chong Wei untuk kembali ke tahap terbaiknya kerana pemain berusia 29 tahun itu memerlukan masa bagi menjalani proses pemulihan terutama fizikalnya.
"Saya tidak nafikan, Chong Wei ketika ini memang keletihan selepas apa yang dilalui sepanjang tahun ini.
"Saya tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepada Chong Wei. Biarlah dia menjalani proses pemulihan secara berperingkat kerana jika terlalu tertekan, ia boleh mengundang risiko buat dirinya," jelas Seu Bock.
Andai dibuat penilaian berdasarkan kenyataan yang diberikan Seu Bock itu, Chong Wei berkemungkinan gagal dalam misinya untuk mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Badminton Siri Super Akhir di Liu Zhou, China bermula 12 Disember ini.
Malah, peluangnya untuk merangkul kejuaraan ketujuh pada Terbuka Malaysia 2012 Januari tahun depan juga agak tipis.
Ini kerana, prestasinya masih belum kembali berada pada tahap sebenar bagi mengharungi dua kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, Seu Bock menjelaskan bahawa apa yang paling penting ketika ini adalah persiapan Chong Wei bagi memburu pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.
"Saya tak cakap Siri Super Akhir dan Terbuka Malaysia tidak penting buat Chong Wei. Dia akan beraksi seperti biasa dalam dua kejohanan tersebut tetapi saya lebih memikirkan mengenai persiapan ke Sukan Olimpik nanti.
"Saya tidak mahu mengambil sebarang risiko. Seperti saya katakan, Chong Wei memerlukan masa untuk kembali berada pada tahap terbaiknya.
"Jadi, saya menjangkakan dia akan berada pada tahap prestasi terbaik pada Mac atau April dan mengekalkannya sehingga berlangsungnya Sukan Olimpik.
"Jika kita lihat, prestasi Chong Wei tahun ini mula berada di puncak ketika dia memenangi Seluruh England Mac lalu dan selepas itu aksinya cukup konsisten sehinggalah Terbuka China bulan lalu.
"Sebab itu, jika boleh saya mahu dia melakukan perkara yang sama tahun depan kerana Sukan Olimpik akan bermula pada Julai," kata Seu Bock.
Sebelum ini, faktor keletihan dianggap sebagai punca terhadap kemerosotan prestasi Chong Wei sehingga memaksa pemain No. 1 dunia itu menarik diri daripada beraksi pada Grand Prix (GP) Emas Terbuka Macau minggu lalu.
Ini kerana, Chong Wei terpaksa mengharungi jadual kejohanan yang padat sehingga menyaksikan dia gagal mara ke pentas final apabila tewas pada peringkat separuh akhir Terbuka Hong Kong pada 20 November dan Terbuka China lima hari kemudian.
Paling memeritkan, dia tewas kepada seteru utama, Lin Dan. - KOSMO

Majalah dakwa gambar aktres Pakistan tulen


GAMBAR yang dirakamkan pada 15 November lalu 
menunjukkan Veena Malik bergambar di lokasi penggambaran filem All U need. Love di Mumbai.

NEW DELHI, India - Pihak pengurusan majalah FHM versi India mempertahankan muka depan isu terbaharunya yang menampilkan aktres Pakistan, Veena Malik berbogel dengan lengannya dicacah tatu ISI iaitu singkatan untuk agensi perisikan Pakistan.
Majalah FHM edisi Disember masih belum berada di pasaran tetapi prebiu majalah berkenaan di laman webnya menimbulkan kontroversi terutamanya selepas Veena menafikan dia bergambar bogel.
Malah, aktres berkenaan menuduh FHM menggunakan teknik pertindihan gambar untuk mengubah imejnya.
Mengulas isu tersebut, pengarang FHM India, Kabeer Sharma memberitahu agensi berita AFP bahawa dia keliru dengan tuduhan aktres itu.
"Mungkin tindakan dia bergambar bogel itu telah memakan diri justeru, dia menafikannya.
"Kulit majalah ini tulen. Ia menampilkan tubuh sebenar Veera, dia memiliki tubuh yang hebat," kata Sharma.
Perbuatan berbogel untuk filem dan majalah masih tidak dapat diterima oleh komuniti India apatah lagi rakyat Pakistan yang majoritinya beragama Islam.
Veera yang sudah lama menceburi industri perfileman Pakistan, Lollywood, terkenal di India selepas muncul dalam program televisyen Big Boss yang diadaptasi daripada program realiti popular Big Brother di Eropah. - Agensi

Adik Apek meninggal akibat demam panas


Khairul Fahmi mengusung jenazah adiknya

KOTA BHARU: Kontroversi membabitkan dirinya baru saja reda, namun penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, sekali lagi berdepan dugaan besar apabila menerima berita sedih kematian adik lelakinya yang meninggal dunia akibat demam panas, semalam.

Mohd Amirul Izat, 16, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, jam 11.30 pagi semalam selepas hampir 23 hari tidak sedarkan diri.

Allahyarham yang juga anak sulung kepada isteri kedua bapa penjaga gol kebangsaan itu dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 10 November lalu, sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 15 November lalu.

Dia yang pada mulanya disyaki menghidap demam denggi, sekali lagi dirujuk ke HUSM sebelum disahkan meninggal dunia.

Che Mat Hussin, 58, berkata, anak sulung dari dua beradik hasil perkongsian dengan isteri keduanya, Hasnah Mahmood, 47, disemadikan di Tanah Pekuburan Islam Kampung Pohon Tanjung kira-kira satu kilometer dari rumah Hasnah di Kampung Pak Lah dekat Wakaf Mek Zainab di sini, semalam.

Katanya, arwah yang begitu rapat dengan abangnya (Khairul Fahmi) dirujuk ke HUSM dan menjalani pembedahan pada leher selain melalui prosedur memasukkan alat untuk mengeluarkan kuman yang dikatakan menyerang otaknya. 

Menurut Che Mat, kematian anaknya itu dimaklumkan kepada Khairul Fahmi yang ketika itu berada di Kuala Lumpur menjalani latihan rutin harian menghadapi Sukan Olimpik.

Ketika ahli keluarga Che Mat menuju ke tanah perkuburan, kenderaan dinaiki Khairul Fahmi tiba 10 minit kemudian dan penjaga gol kebangsaan itu sempat mengusung jenazah adik lelakinya diiringi ahli keluarga lain.

Sementara itu, Khairul Fahmi berkata, kali terakhir beliau bertemu adiknya sebelum Aidiladha lalu dan sempat beramah mesra dengan seluruh ahli keluarganya.

“Walaupun rapat, kami jarang bertemu kerana sibuk menjalani latihan dan saya hanya sempat memberikan baju sebagai hadiah hari raya,” katanya. - myMetro

Jumaat, 2 Disember 2011

Search Bakal Gegarkan Pentas Di Borneo


Kumpulan Search
PETALING JAYA: Kumpulan rock lagenda, Search akan bertemu dengan peminat-peminat setia mereka menerusi siri jelajah Konsert Fenomena Search 30 Tahun pada Sabtu ini di Stadium Larkin, Johor Bahru dan seterusnya di Padang Astaka, Petaling Jaya (17 Disember) selepas siri jelajah yang telah pun berlangsung dengan jayanya di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Menurut ketua kumpulannya, Nasir, peminat-peminat di negeri Sabah dan Sarawak juga tidak ketinggalan untuk menyaksikan persembahan mantap mereka dimana ia akan berlangsung di Kompleks Sukan Tawau (24 Disember) dan pada 31 Disember ini pula di Stadium Negeri Kuching.
"Kami akan menyampaikan sebanyak 20 buah lagu yang pernah popular, dipetik daripada album-album yang pernah dihasilkan sebelum ini.
"Dari segi produksi, kami menjanjikan satu kelainan pada rekabentuk pentas, penggunaan sistem bunyi serta lampu. Insya-Allah kami akan memberikan yang terbaik dengan segala persiapan yang dibuat kerana ini adalah cara Search menunjukkan penghargaan kami terhadap sokongan mereka yang tidak berkesudahan,"katanya.
Selain Nasir yang juga merupakan pemain gitar bass, Search dianggotai oleh Amy (vokalis), Nordin (gitar kedua), Nordin (Gitar kedua) dan Yazit (Dram).
Tambah Amy pula, Search berjanji menghadiahkan persembahan paling istimewa untuk peminat-peminat mereka pada konsert yang dianjurkan oleh Universal Credential Sdn. Bhd. dan Nova Music (M) Sdn. Bhd itu.
"Kami sangat berbangga dengan pencapaian terutama sekali kerana dapat kekal bersama selama TIGA dekad dalam industri muzik tanah air, pada masa yang sama memelihara muzik rock di Malaysia," ujarnya.
Kumpulan ini mempunyai pengaruh yang besar kepada seluruh peminat mereka malah lagu-lagu hit seperti Cinta Buatan Malaysia, Meniti Titian Usang, Fenomena, Rozana, Mentari Merah di Ufuk Timur dan Isabella masih lagi digilai ramai termasuklah peminat di kalangan anak muda.
Sementara itu, tiket konsert yangt dijual dengan harga semurah RM25 boleh ditempah melalui talian 013 800 3030. Senarai penuh lokasi jualan tiket boleh dilihat dalam laman sosial Facebook – FENOMENA SEARCH 30. - mStarOnline

Safiq anggap anugerah penyuntik baru karier


KEGIGIHAN perancang utama negara, Safiq Rahim membuahkan hasil apabila dia dinobat Pemain Tengah Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 201, kelmarin.

Pemain berusia 24 tahun itu yang kini menjalani latihan bersama kelab Wales, Kelab Bola Sepak Cardiff City sudah mengukuhkan namanya di peringkat Asia Tenggara sejak beberapa tahun lalu.

Justeru bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pemain kelahiran Negeri Sembilan itu menerima pengiktirafan atas persembahannya untuk kelab dan negara.

Anugerah pemain tengah terbaik tepat pada masanya buat Safiq yang kini berusaha memikat pengurusan Cardiff.

Safiq gembira dengan anugerah yang diterima itu dan menyatakan ia sebagai kemuncak karier khususnya dalam tempoh 12 bulan lalu.

“Selepas segala usaha dan sedikit tuah, pastinya akan berjaya. 

“Saya bernasib baik kerana semua yang dirancang berjaya dilaksanakan.

“Saya banyak berkorban untuk berada di tahap ini. Apabila melihat semula masa lalu, saya berasa semua pengorbanan yang dilakukan berbaloi,” katanya.

Safiq tidak dapat menerima anugerah itu kerana menjalani latihan bersama Cardiff. Dia juga turut berada di Stadium Cardiff City untuk menyaksikan kelab Liga Kejuaraan itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas kelab Liga Perdana, Blackburn Rovers untuk meraih tempat ke separuh akhir Piala Liga. - myMetro

Iklan Mangga