Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menandatangani perjanjian sebagai Rakan Rasmi Pasukan Bola Sepak Kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 8 Julai lalu, turut menjanjikan insentif kepada skuad Bawah 23 andai berjaya mempertahankan ‘ibu segala pingat’ pada Sukan SEA lalu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, walaupun belum ada berita mengenai penyerahan insentif berkenaan, keputusan mengenainya mungkin diketahui selepas Jawatankuasa Kewangan FAM bersidang esok.
“Telekom menjanjikan RM1 juta sebagai insentif untuk beberapa kejohanan dalam tempoh setahun, jadi selepas mesyuarat Sabtu ini (esok), baru kami bentangkan jumlah sebenarnya untuk skuad Sukan SEA,” kata Azzuddin.
Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee ketika diminta mengulas insentif tambahan itu mengalu-alukan sebarang bentuk insentif kepada anak buahnya kerana ia mampu merangsang pemain berusaha lebih keras.
“Saya tidak fikir pemain akan lupa diri, sekurang-kurangnya ia mampu menarik minat mereka untuk kekal bersama pasukan walaupun mendapat tawaran tinggi daripada pasukan lain.”
Sebelum ini, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah Skuad memberi habuan RM30,000 kepada setiap seorang sebaik Harimau Muda menewaskan Indonesia menerusi penalti penentuan di Jakarta, 21 November lalu. - BHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan