|
ALEXANDER (kiri) ketika masih bersama kumpulan U-Kiss. |
ALEXANDER LEE EUSIBIO yang memulakan kerjaya seninya bersama band asal Korea Selatan U-Kiss bermula Ogos 2008 kini telah bergerak solo sejak awal tahun ini.
Dia yang ditemui baru-baru ini di pejabat ntv7, Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya memberitahu keputusan untuk keluar daripada band U-Kiss bukannya kerana mereka bergaduh sebaliknya kerana dia ingin mendapat lebih kebebasan dalam berkarya.
“Saya keluar daripada U-Kiss secara baik, saya tidak bergaduh dengan mana-mana pihak. Saya ingin menentukan sendiri hala tuju saya sebagai anak seni.
“Jika bersama U-Kiss, saya terikat dengan konsep dan imej yang ditentukan oleh agensi. Sekarang saya lebih bebas untuk menentukan kerjaya saya dalam segala segi. Saya bebas memilih imej dan muzik yang saya suka,” katanya yang berdarah kacukan Portugis dan Cina di sebelah ayah, manakala Korea di sebelah ibunya.
Meskipun telah memulakan kerjaya solo sejak awal Disember lalu, akui Alexander, dia masih berasa kekok ketika di atas pentas dan merindui momen bersama anggota U-Kiss.
“Kami sudah lama melakukan persembahan bersama, jadi bila berada di atas pentas dan melakukan persembahan solo kadangkala saya rasa sedikit kekok tetapi lama-kelamaan masalah itu dapat diatasi.
“Hubungan saya dan anggota U-Kiss masih baik dan kami sangat rapat. Memang rindu bila terkenang balik momen saya bersama U-Kiss. Jadi, kami saling berhubung menerusi telefon untuk bertanya khabar, sekarang mereka sibuk dengan promosi album di Jepun,” ujarnya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa.
Apabila berbicara mengenai band U-Kiss, Alexander menyimpan harapan agar suatu hari nanti band U-Kiss dapat bersatu kembali untuk mengadakan sebuah persembahan.
“Itu harapan saya agar kami dapat buat reunion bersama anggota asal U-Kiss dan buat persembahan bersama. Tetapi saya tidak tahu bila perkara itu akan berlaku,” balasnya.
Album solo
Apabila ditanya tentang kekasih, anak bongsu daripada dua adik-beradik itu kini lebih selesa tidak terikat dalam hubungan cinta kerana memberi fokus kepada kerjayanya solo yang baru hendak bermula.
“Saya belum ada kekasih tetapi suatu hari nanti saya pasti akan mempunyai seorang kekasih seperti orang lain juga.
“Gadis yang menjadi pilihan saya adalah seorang yang berdikari kerana dalam kesibukan kerja, saya tidak akan sentiasa bersamanya. Dia juga harus memahami kerjaya saya sebagai artis,” terangnya.
Bercakap mengenai perjalanan solonya, Alexander terlebih dahulu mengadakan persembahan solo pertamanya pada 9 Disember lalu menerusi showcase yang dilabelkan sebagai Alexander Live 2011 di Akasaka Blitz, Tokyo, Jepun.
Selepas Jepun, Malaysia menjadi lokasi keduanya untuk promosi album solo pertamanya yang berjudul I Just.
“Selepas bergerak solo, impian saya untuk menghasilkan sebuah album solo tercapai. Terima kasih kepada peminat yang selama ini menyokong saya,” ujarnya yang akan terlibat dalam sebuah drama pada tahun hadapan.
Album I Just yang telah berada di pasaran bermula 19 Disember lalu mengandungi tiga buah lagu iaitu Oh Baby, I Just dan Bad Girl yang dirakamkan dalam tiga buah bahasa iaitu Korea, English dan Jepun.
Kehadiran Alexander di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana dia turut terlibat dalam Konsert Star Live 2011 anjuran stesen televisyen ntv7 pada 17 Disember lalu di Stadium Bukit Jalil.
Bukan itu sahaja, Alexander juga bertemu peminatnya dengan mengadakan showcase solo pertamanya di Cheras Leisure Mall, Kuala Lumpur pada 18 Disember lalu. - KOSMO