LEE Chong Wei bersalam dengan Anjay Jayaram selepas perlawanan pusingan pertama Kejohanan Terbuka India di New Delhi semalam. Chong Wei menang 21-19, 21-18. - AFP |
Datuk Lee Chong Wei diberi tentangan sengit oleh pemain tuan rumah, Anjay Jayaram, namun kempen awal jaguh No. 1 dunia itu untuk memburu kejuaraan keempat 2011 tetap tidak tergugat apabila meneruskan kemaraan ke pusingan kedua kejohanan badminton Siri Super Terbuka India di New Delhi, semalam.
Mengekori Chong Wei ke pusingan kedua kejohanan bernilai AS$200,000 (RM600,000) ini adalah dua beregu lelaki Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How dan Chan Peng Soon-Tan Wee Kiong, beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hu dan Sabrina-Goh Liu Ying serta beregu campuran, Peng Soon-Liu Ying.
Anjay memberi sedikit kejutan buat Chong Wei dalam aksi pembukaan apabila memaksa jaguh negara itu bekerja keras sebelum akhirnya tumpas 19-21, 18-21 dalam masa 37 minit. Chong Wei kini bakal berdepan bekas pemain No. 1 Korea yang kembali dari persaraan tahun lalu, Lee Hyul Il pada pusingan kedua hari ini.
Dalam saingan beregu lelaki, Zakry-Thien How yang masih berusaha mengukuhkan kedudukan sejak digandingkan tahun lalu, tidak berdepan banyak masalah ketika mengetepikan pasangan tuan rumah, Utsav Mishra-Ravinder Singh 21-9, 21-17, begitupun ujian sebenar menanti beregu senior negara itu hari ini apabila ditentang pasangan berpengalaman Indonesia dan pilihan ketiga, Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan.
Bagi Peng Soon-Wee Kiong, kemenangan 21-7, 21-17 ke atas beregu India, Sanjeeth S-Jagadish Yadav bakal menemukan mereka dengan pilihan keenam dari Jepun, Naoki Kawamae-Shoji Sato.
Tumpuan semalam turut terarah kepada pasangan senior, Pei Tty-Eei Hui yang membuat penampilan kedua selepas lapan bulan berehat akibat kecederaan. Selepas cemerlang melayakkan diri ke final Terbuka Australia, dua minggu lalu dalam kemunculan sulung, mereka meneruskan aksi baik dengan menundukkan Thulasi P.C-Siki Reddy 21-7, 21-11.
Kemaraan Pei Tty-Eei Hui turut diekori pasangan muda, Sabrina-Liu Ying, yang dipaksa berhempas pulas ketika mengetepikan cabaran beregu tuan rumah, Sanyogita Ghorpade-Saili Rane 19-21, 21-13, 21-12.
Bekas beregu No. 1 dunia, Pei Tty-Eei Hui bakal berdepan cabaran getir pasangan tuan rumah, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa yang merupakan pilihan kelapan dan penyandang juara Sukan Komanwel, manakala Sabrina-Liu Ying akan menentang pemenang pingat perak Komanwel, Shinta Mulia Sari-Yao Lei.
Dalam saingan beregu campuran, juara Asia 2010, Peng Soon-Liu Ying diberi tentangan sengit pada set pembukaan sebelum menundukkan pasangan tuan rumah, Tarun Kona-Ashwini Ponnappa 23-21, 21-10, kemenangan yang akan menemukan mereka dengan satu lagi pasangan India, Akshay Dewalkar-Pradnya Gadre.
Harapan beregu kedua negara, Jien Guo-Sabrina untuk meneruskan kemaraan beregu campuran berakhir dengan kekakalahan 20-22,6-21 kepada Maneepong Jongjit-Savitree Amitapai dari Thailand.
Hari ini, beregu lelaki No. 1 negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong akan turun berakhir selepas menerima bye pada pusingan pertama. Pasangan No. 3 dunia itu akan menentang pasangan tuan rumah, Attri Manu-Jishnu Sanyal. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan