KOTA BHARU - Kemenangan besar 6-0 ke atas Felda United di Kota Bharu, Sabtu lalu mengiringi peneraju Liga Super, Kelantan apabila berdepan pasukan di tangga ketiga Perak di Ipoh, hari ini.
Selain misi memungut tiga mata, pertembungan kedua-dua pasukan itu bukan sahaja menjanjikan aksi sengit, sebaliknya ada misi yang berbeza yang mahu dilakarkan oleh Datuk M. Karathu untuk Kelantan manakala Norizan Bakar bersama Perak.
Kredibiliti kedua-dua jurulatih ini tidak perlu dipertikaikan, masing-masing sudah sinonim dengan pasukan, baik M. Karathu mahupun Norizan Bakar yang pernah membimbing Kelantan dan Perak.
Selepas tiga tahun menyepi dari lapangan bola sepak tempatan, Norizan Bakar yang juga bekas pengendali Kelantan pada 2008, tampil dengan penuh bertenaga apabila meletakkan Perak sebagai antara pasukan yang perlu diberikan perhatian musim ini.
Namun, bagi M. Karathu yang juga bekas pengendali Perak musim 2009, kepulangannya ke Perak dengan misi meraih kira mata, demi menjarakkan kelebihan dengan Perak yang kini hanya dipisahkan satu mata.
Walaupun mencatat kemenangan ke atas Felda United, Sabtu lalu, Karathu enggan mendabik dada, sebaliknya mengingatkan pemain supaya berwaspada dan tidak mudah terjerat dengan taktikal lawan.
"Bertemu dengan Perak ia satu perlawanan yang sengit. Sama ada Kelantan atau pun Perak, masing-masing tidak mahu tercicir mata.
"Pasukan yang yang mampu memanfaatkan setiap peluang dan meminimumkan kesilapan, akan dinobatkan sebagai pemenang dalam perlawanan itu nanti.
"Perak sebuah pasukan yang konsisten dan mempunyai semangat berpasukan yang tinggi serta mempunyai gabungan pemain muda yang berbakat dan berpengalaman.
"Ditambah pula dengan pengalaman ketua jurulatihnya Norizan Bakar, itu adalah antara kelebihan mereka,'' katanya semalam.
Karathu juga memberitahu, beliau tidak bercadang merombak kesebelasan utama yang akan menentang Perak hari ini.
"Tiada alasan untuk saya berbuat demikian. Pemain menunjukkan prestasi yang bagus. Saya rasa mereka harus diberi kepercayaan membawa cabaran Kelantan,'' ujarnya. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan