SEPANG - Penyandang juara dunia, Sebastian Vettel membuktikan dirinya sukar dicabar apabila mengungguli pusingan kelayakan Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang di sini, semalam.
Pemandu Jerman berusia 23 tahun itu akan memulakan perlumbaan, hari ini dalam petak pertama bersebelahan pemandu McLaren, Lewis Hamilton yang mencatat kedua terpantas.
Hamilton yang pada awalnya berada dalam petak pertama setelah mencatat masa 1:34.974 saat, akhirnya terpaksa akur apabila dipintas pada saat akhir oleh Vettel yang melakar 0.174s (1:34.870s) lebih pantas.
Seorang lagi pemandu Red Bull, Mark Webber berada di tempat ketiga dengan 1:35.179s dan akan bersaing rapat di barisan kedua bersama pemandu McLaren, Jenson Button yang menghuni tangga keempat (1:35.200s).
Vettel pada sidang akhbar kemudian berkata, cabaran kelayakan, semalam berlangsung sengit apabila dicabar rapat oleh pasukan McLaren.
"Pada awalnya kami berada pada kedudukan dua dan tiga tetapi pada hujung saingan saya berjaya memintas (Hamilton) dan pujian harus diberi kepada krew Red Bull atas kejayaan ini.
"Tumpuan saya kini kepada perlumbaan, esok (hari ini) dan berharap akan mencatat keputusan lebih baik," katanya.
Sementara itu, dua pemandu Ferrari sekadar berpuas hati menghuni kedudukan lima dan tujuh dengan Fernando Alonso akan bersaing di barisan ketiga pada grid permulaan, hari ini, bersebelahan pelumba, Lotus Renault, Nick Heidfeld di tempat keenam.
Rakan sepasukan Alonso, Felipe Massa dari Brazil yang berada di petak ketujuh mencatat masa 1:36.251s dan berada di grid yang sama dengan seorang lagi pemandu Lotus Renault, Vitaly Petrov yang mencatat keputusan kelapan terbaik dalam pusingan kelayakan itu.
Selain Lotus Renault, sebuah lagi pasukan yang mempunyai kaitan dengan Malaysia, Mercedes GP Petronas akan memulakan saingan di petak kesembilan menerusi pemandunya Nico Rosberg, manakala, rakan sepasukan, Michael Schumacher sekadar mencatat keputusan ke-11 terpantas, semalam.
Dalam pada itu, Hamilton melahirkan rasa gembiranya untuk memulakan perlumbaan pada barisan paling hadapan dalam usahanya memberikan saingan kepada Vettel. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan