GELSENKIRCHEN - Semua pemain Schalke diberi arahan agar tidak membiarkan Wayne Rooney bergerak bebas pada pertembungan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Manchester United.
Pemain pertahanan Jerman, Christophe Metzelder berkata, pasukannya harus menyekat Rooney kerana dia merupakan tonggak utama.
"Perlawanan pertama di gelanggang sendiri cukup penting agar kita tidak dibolosi.
"Ketika menentang Chelsea, dia (Rooney) turun membantu bahagian tengah, jadi amat penting untuk bertahan, bukan sahaja dengan pemain pertahanan, malahan pemain tengah juga perlu terlibat menyekatnya.
"Sudah tentunya kita sedar United ada ramai lagi pemain tonggak, tapi ia langsung tidak menggerunkan kami," katanya.
Metzelder mengakui Schalke lebih sanggup bertemu United pada separuh akhir Liga Juara-Juara daripada gergasi Sepanyol yang juga pasukan pilihan, Barcelona.
"Pastinya lebih sukar jika kita bermain dengan Barcelona. Gaya permainan United adalah lebih mudah untuk kami.
"Barcelona mengawal perlawanan dan mereka membuatkan kamu banyak berlari, jadi sukar mahu bertahan asakan mereka.
"Menentang pasukan seperti United atau pun Real Madrid jelas lebih mudah," ujar bekas pemain Real itu.
Metzelder, 30, juga akur United akan beraksi selaku pilihan, namun menegaskan Schalke sememangnya lebih gemar bergelar underdog.
"United memiliki banyak pengalaman dalam Liga Juara-Juara untuk tempoh 20 tahun yang lalu," tambahnya.
Penyerang Schalke, Raul berazam mahu menyingkirkan United daripada saingan Eropah untuk kali ketiga selepas dia pernah melakukannya dua kali bersama Real Madrid. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan