Aksi Pandelela di Sukan Komanwel 2010 |
KUALA LUMPUR – Ratu terjun negara, Pandelela Rinong berada pada kedudukan ketiga ranking dunia bagi acara 10m platform selepas berakhirnya tiga Siri Terjun Dunia FINA setakat ini.
Pandelela, 18, mengumpul 36 mata untuk mengekori rapat penerjun Australia, Alexandra Croak di tempat kedua dengan 40 mata, tetapi jauh ditinggalkan juara Olimpik dan Dunia, Chen Ruolin dari China, yang unggul pada kedudukan teratas dengan 52 mata.
Remaja Bidayuh itu meraih 16 mata menerusi kejayaan pingat perak di Moscow, Rusia, 12 mata (tempat keempat) di Beijing, China dan terbaru pada minggu lalu, lapan mata (tempat keenam) di Sheffield, England.
Di Sheffield, jika bukan kerana dihantui masalah kecederaan lengan, Pandelela sepatutnya mampu mencatat keputusan lebih baik yang membolehkan dia meraih mata tinggi, sekali gus meletakkan dia pada ranking kedua mengatasi Croak.
Siri keempat yang juga terakhir yang akan berlangsung di Guanajuato, Mexico Jumaat ini, harus dijadikan Pandelela sebagai medan menebus kekecewaan selain memastikan dia mengakhiri saingan kejohanan penuh berprestij itu dengan sekurang-kurangnya pingat gangsa.
Ranking ketiga yang dihuni Pandelela kini bermakna dia berkedudukan gangsa, tetapi sekiranya dia mengatasi Croak di Mexico nanti, maka dia akan memintas Croak untuk pingat perak.
Juara keseluruhan akan dinobatkan selepas Mexico dan pingat emas hampir pasti milik Ruolin melainkan dia ditimpa sesuatu yang tidak diingini.
Turut mengejar kedudukan podium ialah rakan sepasukan Ruolin, Hu Yadan, yang menang menewaskannya seniornya itu di Sheffield. Dia kini memiliki 34 mata di kedudukan keempat biarpun tidak bertanding pada siri pembukaan di Moscow.
Apa sekalipun, pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu sememangnya membanggakan kerana dia telah pun memperbaiki pencapaiannya dalam kejohanan sama tahun lalu, yang mana dia sekadar berada pada ranking keenam dengan kutipan 26 mata dihasilkan menerusi aksi dalam tiga siri.
Bagi acara 10m platform berirama, Pandelela yang bergandingan dengan Leong Mun Yee berkedudukan keempat dengan 57 mata.
Pasangan negara itu meraih 15 mata di Moscow, 24 mata di Beijing dan 18 mata di Sheffield, dan sekiranya mampu mengulangi kecemerlangan merangkul pingat perak di Beijing bulan lalu pada saingan hujung minggu ini, tidak mustahil kedua-duanya mampu pulang dengan pingat gangsa atau perak. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan