slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Jumaat, 15 April 2011

United lebih baik


RIO Ferdinand memberitahu pesaing mereka, Manchester City bahawa kunci untuk mengikuti jejak kejayaan Manchester United ialah berhenti merungut.

Bek tengah England itu berkata tidak ada perasaan merajuk, berpuak-puak ataupun sikap kurang ajar ditujukan kepada pengurus di Old Trafford di mana itulah punca mengapa mereka terus bersemangat untuk mencipta kemenangan.

Perkara itu tidak berlaku di City sepanjang musim ini. Kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam pertarungan separuh akhir Piala FA esok dalam suasana dan prestasi berbeza.

Mario Balotelli dan Carlos Tevez masing-masing menunjukkan amarah mereka selepas digantikan musim ini, begitu juga dengan dengan James Milner ketika menentang Liverpool baru-baru ini, apabila dilihat menggeleng kepala sebaik digantikan pada separuh masa kedua.

Ferdinand, 32 berkata: “Anda tidak melihat pemain keluar sambil menggeleng kepala atau merungut atau duduk di bangku dalam keadaan merajuk di kelab ini kerana semua orang seronok menyertai kelab ini.

“Sebaik anda menunjukkan rasa kurang senang seperti itu, pengurus tidak gembira dan akan mengambil tindakan. Dia membuatkan pemain berpijak di bumi nyata.

“Pemain mahu beraksi di sini. Anda mahu berada di sini. Anda tidak mahu menjadi sebahagian daripada skuad lain dan itulah hakikatnya.

“Ia satu penghormatan buat kelab ini, pengurusnya dan pemain yang menyertai kelab ini sebelum anda. Ia satu peraturan tidak bertulis. Tiada perasaan berpuak-puak di bilik persalinan.

“Pemain mendoakan kesejahteraan rakan mereka sebelum perlawanan, biarpun pemain itu bermain di posisi anda. Itulah cara kami,” katanya.

Ferdinand percaya wujud semangat tidak menyerah kalah dalam United yang membantu mereka untuk mencapai kegemilangan musim ini.

Ferdinand membantu United mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, Selasa lalu selepas menewaskan Chelsea 2-1 di Old Trafford untuk memenangi perlawanan suku akhir dengan agregat 3-1.

Dengan tujuh mata mendahului Liga Perdana Inggeris ketika ini, impian memburu tiga gelaran berada di landasan tepat.

“Saya boleh katakan bahawa dari 10 atau 15 perlawanan, wujud semangat tidak menyerah kalah dalam pasukan ini.

“Kami jarang ditewaskan, kami mempunyai semangat pantang menyerah dan kemenangan ke atas pasukan lawan membuktikannya.

“Semuanya berkait rapat dengan momentum di peringkat ini tetapi anda boleh disingkirkan dengan mudah jika tidak berjaga-jaga,” katanya.

Pengurus Red Devils, Alex Ferguson tampak berhati-hati dengan peluang pasukannya mengulangi kejayaan menjulang tiga gelaran pada 1999. Bagaimanapun bek kiri United, Patrice Evra mengakui pengurus itu kerap berkata mengenainya.

Pemain Perancis itu berkata, sudah tentu dia bercakap mengenainya, ia sesuatu yang logik dan tidak perlu menyembunyikannya.

“Kami terbabit dalam pertandingan jadi sudah tentu orang ramai mengharapkan sesuatu.

“Tetapi apa yang saya maksudkan di kalangan pemain, kami tidak berkata bahawa kami perlu menang tiga trofi itu. Kami perlu menang perlawanan berikutnya. Sudah pasti, ia satu matlamat yang perlu dicapai,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga