MENJADI pengacara bersama Erra Fazira tidak memberikan masalah besar kepada Awal Ashaari meskipun ia merupakan kolaborasi pertama mereka berdua dalam sebuah rancangan televisyen.
Digandingkan bersama dalam musim kedua rancangan realiti televisyen pencarian bakat-bakat baharu dalam arena bola sepak, Tiger Futbol Starz, Awal dan Erra tidak kekok berkolaborasi.
Mengakui mereka tidak mencari keserasian, sebaliknya atas dasar hormat menghormati antara satu sama lain, keserasian tersebut terbit secara semula jadi.
Bagi Awal, sikap profesional yang ditunjukkan antara dia dan Erra lebih memudahkan lagi kerja mereka apatah lagi masing-masing mempunyai sifat merendah diri dan saling melengkapi.
“Tidak sukar bekerja bersama Erra walaupun ia merupakan kali pertama kami mengacara bersama. Ia tidak sukar kerana kami saling menghormati dan atas perbincangan bersama, semua perkara dapat diselesaikan dalam masa singkat,” kata Awal.
Walaupun dilihat mempunyai kelebihan berbanding Awal kerana pernah mengacarakan rancangan tersebut pada musim pertama, Erra dengan rendah diri menyatakan bahawa mereka mempunyai kelebihan masing-masing.
Erra yang mengagumi Awal kerana pengalamannya yang luas dalam bidang pengacaraan tidak menolak kekuatan Awal dalam musim ini.
ERRA FAZIRA dan Awal (dua dari kiri) bergambar dengan peserta Tiger Futbol Starz dan wakil Astro serta penaja. |
“Bagi saya, Awal lagi bagus kerana dia mempunyai pengalaman mengacara yang lebih berbanding saya walaupun saya mengacarakan sendiri pada musim pertama dahulu.
“Walaupun ia kolaborasi pertama kami, ia tidak memberikan apa-apa masalah, bahkan lebih serasi kerana kami sentiasa berbincang bersama. Oleh kerana semua pesertanya lelaki, mereka lebih selesa untuk berkongsi rahsia dengan Awal,” kata Erra yang ditemui sejurus sidang akhbar Tiger Futbol Starz baru-baru ini.
“Walaupun ia kolaborasi pertama kami, ia tidak memberikan apa-apa masalah, bahkan lebih serasi kerana kami sentiasa berbincang bersama. Oleh kerana semua pesertanya lelaki, mereka lebih selesa untuk berkongsi rahsia dengan Awal,” kata Erra yang ditemui sejurus sidang akhbar Tiger Futbol Starz baru-baru ini.
Mempunyai tugasan yang berbeza, Erra yang diberi gelaran sebagai Soccer Mama menjalankan tugas serius termasuk memberikan tugasan kepada peserta dan mengumumkan penyingkiran berbanding Awal yang akan berdampingan bersama peserta.
Mengakui bahawa dia tidak pandai bermain bola sepak sebelum ini, Awal kini sudah tahu menendang bola setelah menjadi pengacara rancangan yang akan bersiaran sebanyak 13 episod itu.
Menurut Awal, dia bukan sahaja dapat menimba ilmu dalam bola sepak bahkan menjadi abang kepada 21 orang peserta Tiger Futbol Starz yang dapat berkongsi kisah suka duka.
“Untuk berkongsi perasaan mereka lebih selesa bersama saya berbanding Erra kerana malu untuk bercerita dengan perempuan.
“Itu untuk memberikan kata-kata semangat dan nasihat sahaja. Kalau dalam aspek teknikal pastinya saya tidak dapat membantu kerana saya memang tidak tahu bermain bola,” ujar Awal sambil ketawa.
Tiger Futbol Starz pada tahun ini menampilkan peserta yang lebih matang iaitu berusia antara 10 hingga 15 tahun bersiaran pada pukul 6 petang, setiap hari Ahad bermula 17 April lalu menerusi saluran Astro Ria. - Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan