slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Khamis, 30 Disember 2010

Malaysia Juara Piala Suzuki AFF Buat Kali Pertama

Pasukan Malaysia meraikan kejayaan gemilang merangkul Piala Suzuki AFF buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia secara agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta di sini, Rabu. Foto AP.
JAKARTA Buat julung kalinya, skuad bola sepak Malaysia berjaya merangkul gelaran juara sekali gus membawa balik piala kebanggaan apabila menang secara agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Rabu.
Bagaimana pun, skuad kendalian K.Rajagobal itu menerima serangan bertalu-talu daripada pasukan Garuda, namun barisan pertahanan cemerlang memainkan peranan mereka dalam menepis serangan ini.
Pasukan Indonesia nyaris mendapat gol pertama apabila pengadil memberi sepakan penalti selepas bola terkena tangan Mohd Sabree Mat Abu pada minit ke-18, namun sepakan yang dilakukan oleh kapten pasukan Garuda, Firman Utina berjaya diselamatkan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang bijak membaca pergerakan pemain tuan rumah itu.
Pemain Malaysia meraikan kejayaan Safee Sali menjaringkan gol awal ketika menentang Indonesia pada perlawan akhir kedua, Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karni, Jakarta malam ini. Foto AP.
Kedua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan perlawanan lebih menarik selepas pasukan Indonesia lebih banyak mengatur serangan namun pujian sekali lagi harus diberi kepada penjaga gol negara, Khairul Fahmi kerana menyelamatkan gawang dengan percubaan berbahaya terutama sekali hantaran yang dilakukan pemain lincah Indonesia, Muhammad Ridwan.
Biarpun Malaysia jarang melakukan serangan, namun hantaran jauh Mohd Ashari Samsudin di sebelah kanan tepat kepada Mohd Safee Mohd Sali sekali gus membuat lorongan laju menggunakan kaki kirinya terus ke gawang lawan pada minit ke-53.
Gol penyamaan hadir pada minit ke-72 selepas Mohammad Nasuha merembat bola muntahan daripada penjaga gol Khairul Fahmi.
Namun pada babak akhir perlawanan, pemain pertahanan negara, Mohamad Muslim Ahmad silap membuat percaturan apabila cuba menyelamat bola dengan menanduk ke arah gol sendiri.
Perlawanan tamat dengan keputusan 1-2.
Sementara itu, kejayaan ini dianggap lebih manis apabila penyerang negara, Mohd Safee Mohd Sali turut dinobatkan penjaring terbanyak selepas mengumpul lima gol.
Manakala pemain terbaik perlawanan dimenangi oleh pemain tengah Indonesia, Firman Utina.
Pada perlawanan pusingan pertama yang berlangsung Ahad lalu, skuad Harimau Malaya ini telah menundukkan Indonesia 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Oleh SURYATI MOHD NOR

Rabu, 29 Disember 2010

Raja minta media Indonesia henti provokasi

K. RAJAGOBAL (kanan) serius membincangkan sesuatu dengan Pengurus Pasukan Indonesia, Andi Darussalam pada sidang akhbar di Jakarta, semalam.

JAKARTA - Jurulatih bola sepak pasukan kebangsaan, K. Rajagobal berharap media Indonesia menghentikan provokasi yang melampau sehingga boleh menjejaskan keharmonian semangat kesukanan antara dua negara.

Beliau menegaskan, tidak ada pihak yang memperoleh manfaat menerusi provokasi yang dicetuskan.

Dalam gelanggang sukan, kata beliau, sudah menjadi lumrah ada pihak yang akan menang dan tewas.

Bahkan pertemuan pasukan Malaysia dan Indonesia di gelanggang bola sepak selama ini sering diberi perhatian dan cukup signifikan dalam erti hubungan akrab dua negara.

Merujuk kritikan pedas media Indonesia kepada pasukan Harimau Malaya ketika tewas 1-5 kepada Garuda pada peringkat kumpulan di Jakarta 1 Disember lalu, Rajagobal berkata, beliau bersabar dan tenang menerima keputusan itu.

"Pasukan Malaysia pernah tewas 5-1 kepada pasukan Indonesia dan kami menerimanya dengan cukup tenang biarpun kami dikritik teruk oleh media di sini (Indonesia).

"Apabila Indonesia tewas 3-0 baru-baru ini kenapa pula ia menjadi isu kepada anda (media) di sini? Saya mahu anda menjawab soalan saya," tegas Rajagobal ketika ditanya wartawan Indonesia, semalam mengenai isu pancaran laser yang kononnya menjadi punca kekalahan pasukan negara jiran itu pada perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Jurulatih yang cukup tenang biarpun sering diasak dengan soalan pedas berkata, beliau mengamalkan profesionalisme yang sangat tinggi dalam membimbing anak-anak buahnya.

Justeru, Rajagobal mengharapkan penyokong dan media Indonesia mengamalkan prinsip yang sama.

Berkali-kali jurulatih berusia 54 tahun itu menjelaskan, baik Malaysia mahupun Indonesia masing-masing mahu merebut piala kemenangan.

"Seperti jurulatih Indonesia yang yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya, saya juga optimis dengan kemampuan pemain-pemain bimbingan saya.

"Sehingga ke hari ini mereka mempamerkan skill permainan yang cukup baik. Saya juga berkali-kali mengingatkan pemain-pemain saya agar sentiasa fokus pada permainan dan jangan diganggu oleh faktor-faktor luaran yang negatif khususnya menjelang hari perlawanan nanti," kata beliau lagi.

Pada masa sama, Rajagobal tidak menidakkan kemampuan pasukan lawan yang disifatkannya cukup cemerlang ketika beraksi di padang Bukit Jalil.

Kata Rajagobal, pasukan Malaysia sentiasa diingatkan agar tidak memandang rendah kemampuan anak-anak buah jurulatih Alfred Reidl itu. - Utusan

Warga Kota Bertumpu Ke Restoran Mamak Saksi Perlawanan Akhir Piala AFF-Suzuki

KUALA LUMPUR: Sebilangan besar daripada warga bandaraya Kuala Lumpur akan bertumpu ke restoran mamak yang banyak terdapat di ibu kota malam ini bagi menonton perlawanan bersejarah peringkat akhir kedua Piala AFF-Suzuki edisi 2010 Malaysia-Indonesia.
Restoran ini menjadi 'port' yang menyediakan skrin besar di perkarangan bagi memudahkan ratusan khalayak menonton perlawanan sambil menghirup teh tarik kegemaran mereka, seterusnya tenggelam dalam suasana riuh rendah penonton yang melahirkan sokongan.
Mohamad Sharuddin, 32, berkata beliau dan rakan-rakanya memilih restoran mamak sekitar wangsa maju di sini.
"Bagi menghidupkan lagi suasana perlawanan saya dan beberapa rakan berpakat memakai jersi kuning-hitam sebagai tanda sokongan kami kepada pasukan kebangsaan," katanya kepada Bernama.
Bapa kepada dua anak itu berkata biarpun beraksi di gelanggang lawan beliau yakin dengan kemampuan skuad 'Harimau Malaya' menumpaskan skuad 'Garuda' 2-1 pada perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Mohamad Aiman Abdullah, 25, berkata beliau memilih restoran mamak kerana suasana menonton perlawanan di situ hampir sama seperti di stadium apabila dapat bersorak beramai-ramai. "Sebagai tanda sokongan kepada pasukan negara saya tidak akan lupa membawa Jalur Gemilang bersama.
"Dengan pencapaian semasa saya fikir skuad negara mampu tumpaskan pasukan Indonesia dengan mata 3-2," katanya.
Siti Raihanan, 30, dan rakan-rakan juga memilih untuk menonton perlawanan itu di restoran mamak berhampiran kediaman mereka. Perlawanan malam ini menjadi penentu sama ada Malaysia berjaya menamatkan kemarau penantian selama 14 tahun bagi menjulang Piala yang mula diperkenalkan pada 1996 itu.
Kejayaan terbaik pasukan Malaysia sebelum ini adalah menjadi naib juara pada edisi 1996 selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada perlawanan di Singapura. - BERNAMA

Isnin, 27 Disember 2010

Harimau baham Garuda

SAFEE Sali (kiri) merembat bola tepat ke gawang gol selepas menerima hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha (tiada dalam gambar) pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. – AP

KUALA LUMPUR – Dendam terbalas! Garuda tersembam ke bumi dibaham Harimau Malaya. Nampaknya reputasi gah Indonesia sekadar omong kosong apabila anak-anak buah K. Rajagobal memastikan penyokong Malaysia berpesta di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kemenangan cukup menyakinkan, 3-0.

Luka kekalahan 1-5 di Jakarta telah diubati dengan kemenangan berharga ini dan Malaysia kini berpeluang cerah menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama.

Turut menyaksikan kemenangan bersejarah itu ialah Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan dif-dif kehormat yang lain.

Dianggarkan sebanyak 85,000 penonton membanjiri stadium pada malam, semalam.

Nama Safee Sali layak disanjung sebagai wira Malaysia kerana dua golnya pada minit ke-59 dan 71 selain Mohd. Ashari Samsudin pada minit ke-67 memastikan Malaysia membuatkan Indonesia pulang dengan penuh kekecewaan.

Kemenangan ini sudah pasti memberikan kelebihan besar buat Malaysia yang akan bertandang ke bumi Jakarta pada Rabu depan untuk perlawanan akhir kedua.

Walaupun beraksi agak gementar pada separuh masa pertama, percaturan bijak Rajagobal memasukkan Ashari dan mengeluarkan Mohd. Amirulhadi Zainal untuk menukar rentak serangan sebaik bermula separuh masa kedua membuahkan hasil lumayan buat pasukan negara.

Ashari bagaikan menjadi senjata sulit negara apabila serangan dari arah sebelah kiri jelas bertenaga dan membuatkan benteng Indonesia dalam keadaan kucar-kacir.

Detik gemilang Malaysia bermula 14 minit pada separuh masa kedua, apabila pengantin baru yang melangsungkan majlis persandingannya, Norshahrul Idlan Talaha bijak menghukum kesilapan Maman Abdurachman di sebelah kanan sebelum melorongkan bola kepada Safee yang tidak dikawal untuk memberikan gol pembukaan buat Malaysia.

Keyakinan Garuda sedikit terjejas selepas Malaysia meraih gol pertama dan kesempatan itu diambil oleh pemain Malaysia, hasilnya, Ashari melakukan rembatan menarik dalam kotak penalti pada minit ke-67 untuk menewaskan Markus yang hanya mampu tergamam.

Keadaan di Bukit Jalil gegak gempita sementara penyokong Indonesia terus bermuram apabila Malaysia memperoleh gol ketiga hasil hantaran silang yang cantik daripada bek kanan, Mahalli Jasuli sebelum disudahkan melalui tandukan Safee pada minit ke-71 bagi meletakkan Harimau Malaya kini sebelah kaki untuk menjulang Piala AFF.

Selepas gol tersebut, aksi pemain Indonesia semakin longlai, namun sebaliknya keyakinan pemain Malaysia semakin menggila, malah hampir mendapat gol keempat melalui sayap lincah negara, S. Kunanlan pada masa kecederaan tetapi Markus sempat menghalang.

Dalam aksi di Jakarta nanti, Malaysia sudah pasti akan kehilangan khidmat Mohd. Amirulhadi Zainal yang mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan ini sementara Indonesia pula terpaksa meratapi ketiadaan Oktovianus Maniani yang turut menerima nasib yang sama. - Utusan

Jumaat, 24 Disember 2010

Penyerang Indonesia, Gonzales cedera

JAKARTA - Skuad nasional Indonesia menerima berita buruk menjelang perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 menentang Malaysia Ahad ini, apabila penyerang mereka, Christian Gonzales mengalami cedera pangkal paha.

Laman web sukan negara itu, MICOM melaporkan, ini menyebabkan pemain kelahiran Uruguay itu tidak menyertai latihan terakhir Indonesia, sebelum berangkat ke Malaysia.

Pemain yang telah menjaringkan tiga gol pada Piala Suzuki AFF itu, hanya melakukan latihan ringan di Padang Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Jakarta kelmarin, bersama fisioterapi pasukan.

"Memang ada kecederaan pada paha kanan, namun ia tidak menjadi masalah. Boleh dikatakan 90 peratus Gonzales boleh beraksi di Malaysia nanti," kata fisioterapi pasukan itu.

Menurutnya, untuk mempercepat penyembuhan, pihaknya memberikan sistem latihan khas buat pemain tersebut bagi memastikan kecederaan pemain yang mendapat jolokan El Loco, tidak berlarutan.

Latihan sesi terakhir menjelang perlawanan menentang Malaysia, pada Ahad ini, katanya, hanya melibatkan latihan ringan di gimnasium dan berjoging.

"Sesi terapi juga terus dilakukan hingga dua tiga hari berikutnya dan apa yang jelas pada aksi final nanti, Gonzales pasti diturunkan," tambahnya.

Sementara itu, penolong jurulatih pasukan, Wolfgang Pikal berkata, semua keadaan pemain berada dalam keadaan terbaik termasuk Gonzales, walaupun pemain itu hanya menjalani latihan ringan.

"Gonzales bagus. Tiada rancangan Gonzales digantikan dengan pemain yang lain. Keadaannya cukup bagus," katanya. - Agensi

Arsenal perlu bangkit menjelang bertemu Chelsea

LONDON 24 Dis. - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengarahkan para pemainnya menamatkan persembahan buruk menjelang pertemuan dengan Chelsea dalam perlawanan Liga Perdana England, minggu depan.

Anak-anak buah Wenger telah mengalami lima kekalahan berturut-turut di tangan the Blue dalam pertemuan mereka sebelum ini dan melepaskan 13 gol.

Wenger bertegas mahukan para pemainnya melupakan kekalahan mereka di tangan Manchester United di Old Trafford minggu lalu sebaliknya kini masanya untuk Gunners bangkit semula.

“Sudah tentu kami mahu mengutip mata bagi membuktikan rekod kami pada pertemuan dengan pasukan besar,” kata Wenger semalam. - AFP

Selasa, 21 Disember 2010

Real terus tekan Barca

PEMAIN tengah Real Madrid, Angel di Maria (kanan) terlibat dalam pergaduhan dengan pemain Sevilla, Didier Zokora dalam aksi tegang La Liga di Santiago Bernabeu, semalam. - AFP

MADRID - Angel Di Maria memastikan Real Madrid terus memberi tekanan kepada pendahulu, Barcelona apabila menumpaskan Sevilla 1-0 dalam perlawanan La Liga yang berlangsung penuh tegang dan menyaksikan Real menamatkan saingan dengan 10 pemain.

Pemain sayap Argentina itu tenang menyempurnakan jaringan dari sudut sukar pada minit ke-77, tidak lama selepas Ricardo Carvalho menerima kad kuning kedua kerana mengasari Alvaro Negredo.

Sevilla memberi kesukaran kepada skuad bimbingan Jose Mourinho itu dalam perlawanan yang dicemari dengan pergaduhan buruk dan beberapa insiden kekasaran. Kemenangan membolehkan Real mengekori Barca dengan dua mata.

Dalam pertarungan penuh tegang itu, Sevilla turut menutup saingan dengan 10 pemain selepas Mouhamadou Dabo diperintah keluar padang pada masa kecederaan.

Juara bertahan, Barcelona, yang mengalahkan Espanyol 5-1 kelmarin, menikmati percutian musim sejuk dengan mengumpul 43 mata daripada 16 perlawanan, dua mata di depan Real yang menghuni tangga kedua.

Terdahulu, Atletico Madrid menebus kehampaan selepas tersingkir daripada Liga Europa apabila mengalahkan Malaga 3-0 di gelanggang lawan untuk mendaki ke kedudukan keenam dengan 26 mata.

Atletico, yang gagal mempertahankan kejuaraan Eropah selepas kandas di peringkat kumpulan, menggunakan akal mereka membenam bekas jurulatih Real, Manuel Pellegrini di Malaga.

Selepas 22 minit perlawanan berlangsung, pemain tengah Portugal, Tiago menjaringkan gol setelah menerima hantaran menerusi sepakan percuma Simao Sabrosa.

Dia kemudian menanduk bola kepada Alvaro Dominguez bagi membolehkan rakan sepasukannya itu meledakkan gol kedua yang juga dilakar menerusi sepakan percuma Simao pada minit ke-66.

Tiga minit berselang, pemain Portugal itu yang dipinjam daripada Juventus sekali lagi menjadi wira apabila menanduk gol ketiga.

Atletico kini mengatasi pasukan jiran, Getafe menerusi perbezaan gol selepas kelab bimbingan Michel itu melakar kemenangan 3-2 ke atas Almeria.

Real Zaragoza kekal menghuni tangga tercorot liga dengan 10 mata selepas mencatat seri 0-0 di Osasuna.
Ia adalah perlawanan pertama buat jurulatih baru Zaragoza, Javier Aguirre. - Reuters

Rush, Fowler meriahkan The King of Street

BEKAS penyerang Liverpool, Ian Rush (depan) menjadi tetamu jemputan pada cabaran The King of Street.

KEHADIRAN dua legenda bola sepak Liga Perdana England, (EPL), Ian Rush dan Robbie Fowler dijangka akan memeriahkan lagi Kejohanan Bola Sepak Jalanan -The King Of Street yang dijadualkan berlangsung tanpa henti selama tiga hari bermula pada 4 Mac tahun depan di Dataran Putrajaya.
Yang Dipertua Pertubuhan Pembangunan Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Irwan Rizal berkata, kehadiran dua legenda itu dilihat dapat menyediakan platform terbaik bagi mempromosi kejohanan yang julung kali diadakan itu sekali gus membantu merealisasikan sasaran penyertaan melebihi 5,000 pasukan yang akan dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records.
"Kami sudah berbincang dengan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA) dan berdasarkan kepada maklum balas yang kami terima sehingga kini, Robbie Fowler dan Ian Rush antara yang mungkin hadir, selain beberapa pemain legenda lain yang kami yakin dapat menambah tarikan terhadap pertandingan ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ian Rush dan Robbie Fowler adalah dua nama besar di EPL suatu ketika dahulu yang pernah beraksi sebagai penyerang bagi kelab gergasi England, Liverpool.
Empat kategori dipertandingkan iaitu terbuka lelaki dan wanita, lelaki bawah 18 tahun serta lelaki bawah 12 tahun, dengan johan terbuka lelaki akan membawa pulang wang tunai RM30,000 manakala bagi johan terbuka wanita, lelaki bawah 18 tahun serta lelaki bawah 12 tahun masing-masing akan menerima RM8,000, RM10,000 dan RM4,000.
Selain pasukan tempatan, kejohanan ini turut dibuka kepada pasukan dari luar negara.
Jemputan akan dihantar melalui pejabat-pejabat kedutaan Malaysia di negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan juga negara Asia Barat.
Langkah tersebut adalah untuk memastikan sasaran mengumpul lebih 20,000 belia dalam satu masa di Dataran Putrajaya dapat direalisasikan.
Untuk keterangan lanjut mengenai kejohanan ini boleh melayari laman Facebook The King Of Street. - Kosmo

Isnin, 20 Disember 2010

Indonesia jumpa Malaysia di final

INDONESIA seperti diramal melangkah ke final Piala Suzuki AFF apabila menyingkirkan Filipina menerusi agregat 2-0 selepas perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, malam tadi berkesudahan tuan rumah mencatatkan kemenangan tipis 1-0.

Berbekal kemenangan 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama, lima hari lalu, skuad bimbingan Alfred Riedl melakukan asakan sejak wisel permulaan terutama daripada pemain berasal dari Uruguay, Cristian Gonzales serta pemain tengah, Oktovianus Maniani namun benteng Filipina berjaya menafikan setiap cubaan Indonesia.

Bagaimanapun, dua minit sebelum tamat babak pertama, Gonzales meledakkan gol cantik dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Neil Etheridge.

Pada babak kedua, Indonesia terus melakukan asakan namun anak buah Simon McMenemy tidak mudah menyerah kalah apabila turut menyerang balas dan hampir menyamakan kedudukan menerusi cubaan cantik Chris Greatwich tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Kemenangan itu bermakna, Indonesia akan bertemu Malaysia pada pentas akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Disember ini sebelum perlawanan timbal balik di Indonesia tiga hari kemudian.

Pada perlawanan pertama peringkat kumpulan 1 Disember lalu, Indonesia mengalahkan anak buah K Rajagobal, 5-1.

Ahad, 19 Disember 2010

Malaysia ke final

LAYAK KE FINAL...Jurulatih bola sepak negara, K.Rajagobal dijulang pemain-pemain negara selepas keputusan pusingan kedua separuh akhir memihak kepada Malaysia secara agregat 2-0.GLENN GUAN/The Star
SKUAD bola sepak Malaysia, menempah tiket ke final Piala Suzuki AFF apabila menang secara agregat 2-0 ke atas Vietnam pada perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi malam tadi.

Sabtu, 18 Disember 2010

Sepak takraw: Malaysia tampil gagah libas Thailand

BERJAYA...Regu sepak takraw negara berjaya memungut pingat emas kedua pada kejohanan Sukan Universiti Asian ke-15 (AUG) di Gymnasium, Universiti Maejo di Chiang Mai, Jumaat. Kelihatan (dari kiri) Farhan Adam (Feeder), Mohd Nasrul Ya'akub (killer), Norshahruddin Abd Ghani, Muhammad Iqram Kamaruzzaman (tekong) serta Ahmad Sufi Mohammed Hashim (tekong). - Foto BERNAMA

CHIANG MAI - Siapa kata skuad sepak takraw Malaysia tidak mampu menewaskan Thailand?
Ternyata ia merupakan suatu tanggapan yang perlu dibuang jauh sama sekali.
Semalam, skuad sepak takraw Malaysia beraksi cemerlang untuk menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final acara regu pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) ke-15 di Gimanasium Maejo University.
Sekalipun Thailand sekadar membariskan pemain skuad kedua negara mereka, pujian seharusnya diberikan ke atas regu Malaysia yang dibarisi Ahmad Sufi Mohammed Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam yang tampil dengan aksi penuh bertenaga sepanjang tempoh sejam setengah beraksi.
Pada aksi tersebut, skuad negara menang straight set 21-14, 21-19.
Pengurus skuad sepak takraw negara, Salim Mohd. Yusof ternyata merupakan individu yang paling bangga dengan kejayaan yang dilakarkan anak-anak buahnya itu.
Bagi Salim, ia petanda positif buat sukan sepak takraw tanah air memandangkan sudah lama Malaysia tidak mencatatkan kemenangan ke atas negara Gajah Putih itu.
"Kejayaan ini menandakan kebangkitan skuad sepak takraw negara memandangkan dibarisi oleh barisan pemain elit yang turut beraksi pada temaysa Sukan Asia di Guangzhou, China bulan lalu.
"Memang sasaran kami (skuad sepak takraw negara) adalah untuk membawa pulang satu pingat emas tetapi kami akan cuba yang terbaik untuk mengulanginya dalam acara berpasukan yang akan bermula Selasa ini," jelas Salim.
Mengimbas kembali laluan skuad sepak takraw negara dalam acara regu pada temasya AUG kali ini, kemenangan pertama mereka dicatatkan ketika menentang Indonesia 2-0.
Aksi cemerlang tersebut apabila menang 2-0 ke atas Loas sebelum tewas ditangan Thailand 1-2.
Begitupun, regu negara kembali bangkit apabila membenam cabaran Myanmar 2-0 untuk membolehkan mereka mengakhiri saingan yang dijalankan secara liga sepusingan itu ditangga kedua dengan mengumpul 9 mata.
"Kami sebenarnya tidak mahu membuang tenaga pada aksi awal pertemuan dengan Thailand kerana kami tahu laluan kami untuk ke final adalah cerah.
"Namun, selepas kami berjaya beraksi di final, barulah kami mempamerkan persembahan terbaik kami dan syukur akhirnya kami berjaya juga menang ke atas Thailand.
"Ia semua berkat kerja keras kami kerana pada waktu itu kami hanya memikirkan untuk menggunakan seluruh tenaga yang kami ada," kata Norshahruddin yang merupakan apit kanan skuad sepak takraw negara.
Sementara itu, Indonesia meraih gangsa setelah menewaskan Myanmar 21-16, 21-10. - Kosmo

Pentas akhiri badi

SAFIQ RAHIM (kanan) bakal menjadi pemain sandaran pada pertemuan menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi malam ini.

STADIUM My Dinh di Hanoi, Vietnam bakal menjadi saksi sama ada skuad bola sepak kebangsaan berjaya menamatkan badi separuh akhir atau terus kempunan untuk mara ke final selepas 14 tahun.
Di stadium tersebut malam ini, skuad negara akan berdepan Vietnam untuk meneruskan aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010 setelah Malaysia menang 2-0 pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu lalu.
Malaysia hanya pernah sekali melepasi pusingan separuh akhir iaitu pada edisi sulung 1996 dengan menewaskan Indonesia 3-1 tetapi tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi final.
Enam edisi berikutnya, Malaysia empat kali tewas di separuh akhir kepada Thailand (2000), Indonesia (2002 & 2004) dan Singapura (2007) serta dua kali kandas di peringkat kumpulan (1998 dan 2008).
Namun menjelang pertemuan penting malam ini, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal enggan terlalu memikirkan rekod lampau sebaliknya mahu para pemain fokus mempertahankan kelebihan dua gol.
“Itu semua cerita lama. Kita tak boleh nak banding sangat kerana ia pasukan dengan jurulatih berbeza dan pemain juga berbeza.
“Apa yang lebih penting, saya mahu pemain beri fokus sepenuhnya kerana Vietnam pasti akan bertubi-tubi memburu gol. Kita tak boleh lepaskan peluang terbaik untuk ke final ini.
“Walaupun menang 2-0 di Bukit Jalil, saya tak fikir pemain akan ambil mudah aksi kedua ini. Cuma saya harap mereka tidak melakukan apa-apa kesilapan individu," katanya kepada Kosmo! semalam.
Sementara itu, dua pemain kebangsaan iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan bek kiri, Asraruddin Putra Omar berjanji untuk mempertahankan kubu mereka dengan baik pada malam ini.
Rajagobal mahu para pemain negara beri fokus sepenuhnya untuk mempertahankan kelebihan dua gol yang dimiliki.


“Kami perlu berusaha lebih keras lagi. Harap barisan pertahanan dapat kekalkan aksi konsisten. Tekanan sentiasa ada tetapi ia hanya akan memberi kesukaran jika kita asyik memikirkannya” kata Khairul Fahmi, 21.
Asraruddin Putra, 22, pula menambah: "Saya belajar daripada kesilapan dan ambil iktibar daripada segala kritikan sebelum ini. Kami di barisan pertahanan akan meningkatkan kerjasama untuk memastikan gawang kita tidak dibolosi.”
Namun jurulatih Vietnam, Henrique Calisto bakal menurunkan semula pemain tengah penyerang, Nguyen Trong Hoang yang digantung satu perlawanan Rabu lalu serta dua pemain yang kembali daripada kecederaan, Doan Viet Cuong dan Phan Van Tai Em.

Rabu, 15 Disember 2010

Malaysia kalahkan Vietnam

Safee Sali (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama bersama Amirul Hadi Zainal (kiri) dan S. Kunanlan di Stadium Nasional, Bukit Jalil - foto Utusan
Yeah....yeah....yeah....yeah.....Malaysia menang, Malaysia menang 2-0 dengan Vietnam......


Tapi tak boleh happy sangat.....ini baru perlawanan  separuh akhir pertama.... separuh akhir ke2 kat Vietnam... belum tahu lagi nasib Malaysia......


Apa2 hal pun kita raikan dulu kemenangan ini...... ALHAMDULILLAH.........


TAHNIAH.....buat Rajagobal dan team serta pemain2 Malaysia.........

Ayuh! Benam Vietnam

MEMBARA...Safee (kiri) ‘diasak’ rakan sepasukan ketika sesi latihan terakhir di Stadium Nasional, semalam
Foto: Metro
Malam ini pertarungan separuh akhir pertama antara Malaysia dan Vietnam untuk Piala Suzuki AFF2010, siapakah yang bakal kecundang?????


Marilah kita beramai-ramai memberi sokongan padu kepada pasukan negara kita di Stadium Bukit Jalil...cuma aku harap para pemain kita tidak terlalu tertekan.......


Selasa, 14 Disember 2010

Bekas pemain bola terlantar sakit

Sairozi Daud kini terlantar sakit selepas disahkan menghidap penyakit barah tengkuk, hampir setahun lalu

MACHANG - Suatu ketika dahulu, kelibat Sairozi Daud, 32, di atas padang sebagai penyerang pasti menghadirkan gerun buat lawan.

Namun, keadaan tersebut bertukar sebaik saja bekas pemain Johor FC itu terlantar sakit kerana disahkan mengidap penyakit barah tengkuk dan terlantar sakit hampir setahun lalu.

Menurutnya, ketika mewakili Johor FC dia hanya sempat beraksi dalam satu perlawanan menentang KL PLUS, Febuari lalu sebelum dikesan menghidap penyakit tersebut.

"Sebaik sahaja penyakit tersebut dikesan, saya terus menjalani pembedahan pada 12 Febuari lalu di Hospital Pakar Sultan Abdul Samad, Johor Bahru dan segala perbelanjaan ditanggung oleh pengurusan Johor FC selaku majikan.

"Saya terlantar hampir sembilan bulan di sana sebelum dibawa pulang ke kampung bulan lalu setelah kontrak dengan Johor FC berakhir sejurus kempen Piala Malaysia," katanya ketika ditemui di Kampung Pangkal Nering Timur, Pulai Chondong dekat sini, semalam.

Tambah Sairozi, sehingga kini dia sudah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak tujuh kali dan radioterapi sebanyak 36 kali.

"Walaupun sakit, saya terpaksa menahannya. Buat masa sekarang saya mengalami bengkak-bengkak di dada dan hanya mampu terlantar di atas tilam sepanjang masa dan tidak terdaya melakukan apa-apa kerja.

"Saya hanya mampu duduk bersimpul saja. Hendak mandi pun susah apatah lagi hendak membuang air," ujarnya yang telah berkahwin tetapi belum dikurniakan cahaya mata.

Sairozi memberitahu, dia tidak terdaya melakukan apa-apa kerja memandangkan tidak mempunyai daya ketahanan badan yang tinggi dan dinasihatkan hanya berehat oleh doktor pakar. Sementara isterinya pula hanya seorang suri rumah.

"Sejak pulang ke kampung bulan lalu, saya tidak lagi menjalani rawatan di hospital kerana tidak dapat menahan kesakitan selain kos rawatan yang tinggi.

"Buat masa ini saya menggunakan rawatan tradisional sahaja bagi mengubati penyakit tersebut dan pernah menerima sumbangan daripada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK)," katanya. - Utusan

Kelantan sukar adun skuad mantap

KOTA BHARU - Juara Piala Malaysia, Kelantan berdepan saat getir dalam membentuk skuad mantap bagi mengharingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ,Tan Sri Annuar Musa berkata, ini disebabkan tiga bintang utamanya termasuk ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin berhijrah.

Difahamkan, KAFA hanya akan mendaftar 22 atau 23 pemain daripada 25 pemain sebelum tarikh tutup pendaftaran mereka dalam Liga-M pada 15 Disember ini, kerana tidak sempat untuk mencari pengganti ketiga-tiga tonggak tersebut.

"Inilah akibatnya apabila tiga pemain tersebut meninggalkan pasukan tanpa notis rasmi dan pada akhir musim, sukar untuk mengisi pengganti mereka.

"Kesan pada pasukan adalah besar, perancangan tergendala dan pelan Red Warriors terjejas, penaja KAFA juga turut terjejas," kata Annuar kepada Utusan Malaysia semalam.

Selain Indra, Nor Farhan Mohamad dan Azizi Mat Rose turut menyertai pasukan lain.

Ekoran itu, Annuar kecewa sambil mendakwa pemain tersebut meninggalkan pasukan tanpa notis rasmi dan ia melanggar kontrak.

Beliau menggesa Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjalankan siasatan terhadap ketiga-tiga pemain terbabit.

Selain tiga pemain ini, Kelantan turut kehilangan Akmal Rizal Rakhli dan penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein.

Annuar, yang Timbalan Presiden FAM berkata, KAFA juga sedang menimbangkan untuk menuntut ganti rugi daripada tiga pemain terbabit, kerana melanggar kontrak.

"Kita telah meminta peguam untuk meneliti kes ini kerana kerugian dan kerosakan tidak dapat dinilai, kesannya amat buruk kerana tiga pemain ini adalah pemain kesebelasan utama," katanya. - Utusan

Machester United menang 1-0 mengalahkan Arsenal

Park Ji-Sung bersama Luis Nani dan Rooney

Pemain Korea Park Ji-Sung telah membawa Manchester United ke tempat  teratas dalam Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 2 mata apabila mengalahkan Arsenal awal pagi tadi dengan jaringan 1-0 di Stadium Old Trafford.

Ahad, 12 Disember 2010

Kelantan juara Puncak Piala Emas Raja-Raja 2010

Semalam, Kelantan muncul juara kejohanan bola sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja Ke-70 selepas menewaskan Kedah 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, lapor ZAID MOHD. NOOR.
Jaringan Kelantan dilakukan oleh Rosairil Asrol Mat Nor, Mohamad Aris Zaidi, Ahmad Ezrie Shafizie Sazali dan Khairan Ezuan Razali.
Gol Kedah pula dijaringkan oleh Ahmad Fauzi Shaari, Shafizan Hashim dan Mohd. Firus Hashim.
Bagaimanapun, Kelantan mempunyai peluang terbaik pada minit kelapan apabila penyerangnya, Mohamad Ramzul Zahini Adenan yang melakukan gerakan cantik memasuki kotak penalti tetapi bola ditolak keluar pemain lawan sebelum sempat pemain itu melakukan rembatan ke gol.
Pada minit ke-15, Mohd. Aris Zaidi melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti tetapi sedikit melepasi sasaran.
Skuad Kelantan yang melakukan serangan bertali arus mencari gol semangat, sekali lagi mendapat peluang melalui percubaan Mohamad Ramzul yang hanya berhadapan dengan penjaga gol Kedah, Mohd. Al-Hafiz Hamzah pada minit ke-17, namun sentuhannya tidak tepat ke arah gol lawan.
Kedah yang banyak bertahan pada separuh masa pertama tidak ketinggalan melakukan serangan balas melalui Mohd. Hazwan Zainun dan Wan Mohd. Asraf Wan Ali tetapi berjaya dipatahkan pertahanan tuan rumah yang diperkuatkan oleh ketua pasukan, Sharudy Aziz. - Kosmo

Chong Wei jumpa Taufik

PEMAIN badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei semakin hampir untuk bergelar juara Kejohanan Siri Super Terbuka Hong Kong.
Andai mampu menggenggam gelaran, ia akan menjadi koleksi kejuaraan kelapan jaguh negara itu dalam Kejohanan Siri Super tahun ini.
Selepas tampil bergaya dengan muncul juara pada Terbuka Korea Selatan, Terbuka Malaysia, Seluruh England, Terbuka Macau dan Terbuka Jepun, Chong Wei kini semakin hampir untuk merealisasikan impiannya itu.
Semalam, Chong Wei mudah mengetepikan cabaran pemain Vietnam, Tien Minh Nguyen 21-14, 21-17 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Queen Elizabeth, Hong Kong.
Kemenangan tersebut membolehkan pemain berusia 28 tahun itu meneruskan kemaraannya untuk beraksi pada pentas final.
Bagaimanapun, laluan yang menanti Chong Wei pada peringkat akhir tidak semudah yang disangka apabila dia terpaksa berdepan pemain sensasi Indonesia, Taufik Hidayat.
Taufik yang merupakan juara Sukan Olimpik 2004 di Athens, Greece mara ke peringkat akhir selepas menundukkan Chen Long dari China 15-21, 21-11, 21-19 pada satu lagi pertemuan separuh akhir semalam.
Berdasarkan rekod pertemuan antara Chong Wei dengan Taufik sebelum ini, ternyata ia memihak kepada pemain kelahiran Pulau Pinang itu apabila merekodkan sembilan kemenangan dalam 15 perlawanan.
Namun, ia masih belum mampu memberi sebarang jaminan untuk Chong Wei mencatatkan kemenangan ke atas Taufik.
Rekod pertemuan terakhir ternyata tidak memihak kepada Chong Wei apabila dia tewas di tangan Taufik pada peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Perancis, Ogos lalu.
Ketika itu Chong Wei memberi alasan bahawa dia mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya dan sekali gus terpaksa akur dengan kehebatan Taufik.
Tetapi kali ini, Chong Wei dijangka lebih bersedia untuk berdepan jaguh dari Indonesia itu.-Kosmo

Iklan Mangga