slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Jumaat, 6 Januari 2012

KOM tunggu keputusan sampel B


SHAHIDAN (kanan) menegaskan yang beliau akan menunggu keputusan ujian doping salah seorang atlet KOM sebelum membuat sebarang kenyataan.

BIARPUN diberi kata dua oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tetap menegaskan yang mereka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu doping yang melibatkan seorang atletnya pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia, November lalu apabila sampai masanya kelak.
Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan, kenyataan tersebut akan dibuat selepas semua perkara selesai dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan – sebaik sahaja keputusan doping sampel B disahkan.
Menurut Shahidan, KOM tidak akan mengambil tindakan terburu-buru sebelum atlet berkenaan didapati benar- benar bersalah atau dengan kata lain sampel B doping miliknya disahkan positif.
“Bagi KOM, pendirian kami amat jelas iaitu kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan selagi proses kes ini masih belum selesai mengikut prosedur yang ditetapkan,” tegas Shahidan.
“Maksudnya, KOM hanya akan membuat sebarang kenyataan secara berperingkat-peringkat mengikut prosedur yang selesai dijalankan.
“Jadi, kami akan menunggu sehingga keputusan bagi proses ujian sampel B dikeluarkan terlebih dahulu, kemudian baru kami akan beri penjelasan dan kenyataan kepada semua pihak,” tambahnya lagi.
Kelmarin, MOM dan Institut Sukan Negara (ISN) menjelaskan, keputusan sampel B seorang atlet angkat berat dan atlet olahraga itu yang didapati positif ujian doping sampel A, akan dapat diketahui pada minggu depan.
Namun, kenyataan Shahidan ini juga dilihat sebagai respons terhadap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang berang kerana dua persatuan yang terlibat iaitu KOM dan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) gagal memberi penjelasan biarpun telah diberikan surat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 21 Disember lalu.
Dalam sidang akhbar kelmarin, Shabery menjelaskan, beliau tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasanya sebagai menteri bagi mengambil tindakan sewajarnya andai KOM dan PABM masih gagal menangani isu ini dengan baik dan telus.
Namun Shahidan menegaskan, KOM tidak perlu memberi penjelasan tergesa-gesa kepada mana-mana pihak kerana isu ini sebenarnya masih dibawah perhatian MOM sebagai badan induk utama persatuan sukan di Malaysia.
“Bagi saya, hanya MOM sahaja yang berhak menunding jari kepada KOM sekiranya kami masih belum memberi respons yang diharapkan dalam isu ini, bukannya mana-mana pihak yang lain,” kata Shahidan.
“Ini kerana tugas MOM ialah mengendalikan dan menguruskan penyertaan atlet sesebuah persatuan sukan Malaysia dalam sesuatu kejohanan sukan antarabangsa, jadi kalau ada masalah, mereka yang patut dirujuk dan bukannya badan sukan yang lain.
“Jadi, itu saja yang boleh saya beritahu dan saya beri jaminan bahawa anda semua akan mendengar kenyataan daripada kami apabila sampai masanya nanti,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shahidan turut menjelaskan bahawa KOM akan mengadakan mesyuarat Ahli Majlis KOM, Isnin ini bagi membincangkan hasrat Siti Fatimah Mohamad yang mahu mengubah kariernya menyertai skuad trek basikal negara.
“KOM akan membincangkan hasrat Siti Fatimah ini dalam masa terdekat, mungkin dalam mesyuarat Majlis KOM, Isnin ini.
“Semua keputusan akan dibuat pada hari tersebut, kamu semua tunggu saja,” jelasnya lagi. - KOSMO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga