slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Isnin, 30 Januari 2012

Kim Swee: Apex bukan 'anak emas'


KHAIRUL FAHMI sentiasa berfikiran positif setiap kali diberi amanah menjaga gawang skuad negara.

"APEX (Khairul Fahmi Che Mat) bukan 'anak emas' skuad Olimpik negara, sebaliknya saya akan melayan kesemua pemain sama rata, jadi tuduhan itu jelas tidak berasas."
Demikian tegas pengendali skuad bawah 21 tahun negara, Ong Kim Swee berhubung tiada sebarang tindakan yang dikenakan terhadap Khairul Fahmi yang 'gagal dikesan' semasa latihan hari pertama skuad itu di Wisma FAM, Kelana Jaya Rabu lalu.
Kim Swee berkata, pihaknya sentiasa bertolak ansur dan mendengar segala masalah yang dihadapi setiap pemainnya termasuk Khairul Fahmi, selain tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman.
"Dalam kes Apex, semua sudah sedia maklum bahawa ia hanya satu salah faham dan dia bukannya suka-suka ponteng menjalani latihan.
"Jasa Apex bersama skuad negara juga cukup besar, jadi janganlah menyangkakan dia 'anak emas' semata-mata tidak berdepan sebarang hukuman berhubung tindakannya (tidak menjalani latihan) sebelum ini," kata Kim Swee kepadaKosmo!
Sebelum ini, Khairul Fahmi mengakui 'terkeliru' mengenai jadual latihan pasukan kebangsaan menjelang pertemuan menentang Bahrain dalam aksi kelayakan Olimpik Zon Asia Kumpulan C pada 5 Februari depan.
Difahamkan, Hero Malaya itu terikat dengan komitmen bersama majikannya, Kelantan sebagai persediaan berdepan Kuala Lumpur bagi aksi Liga Super di Kota Bharu malam kelmarin. Kelantan menang 3-0 dalam pertemuan itu.
Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, kesemua pemain yang tidak membarisi skuad Harimau Muda A termasuk Khairul Fahmi, Mohd. Zubir Azmi dan Muslim Ahmad (Terengganu), K. Gurusamy (Selangor), Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan), Ahmad Fakri Saaraini (Felda United), Azrif Nasrulhaq Badrul (PKNS) dan Wan Amirzafran Wan Nadris (Harimau Muda B) kembali menjalani latihan semalam sebelum berlepas ke Manama pada 1 Februari depan.
Bagaimanapun, jelasnya, kedudukan pemain-pemain terbabit masih belum terjamin sepenuhnya apabila beliau hanya akan membawa 21 pemain sahaja ke Manama, sekali gus menyaksikan sekurang-kurangnya empat pemain akan digugurkan.
"Saya mementingkan prestasi semasa pemain tidak kira sama ada mereka pemain Harimau Muda ataupun tidak.
"Justeru nama-nama pemain yang digugurkan dijangka diketahui selepas aksi persahabatan menentang Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini (esok)," katanya. - KOSMO

Nidzam Adzha lepas jawatan


KEGAGALAN Kedah meraih sebarang kemenangan setelah mengharungi lima perlawanan memaksa jurulatih sementara skuad Hijau Kuning, Mohd. Nidzam Adzha Yusof (gambar) melepaskan jawatannya.
Keputusan itu dibuat selepas Kedah sekali lagi tumbang di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin yang sebelum ini boleh dianggap sebagai gelanggang keramat buat mereka.
Pada pertemuan itu, skuad Hijau Kuning dihukum atas kelemahan mereka sendiri apabila tewas 1-3 kepada pasukan berstatus kelab, Johor FC.
Nidzam Adzha yang kecewa dengan prestasi anak-anak buahnya sepanjang lima perlawanan setakat ini menyifatkan aksi tersebut sebagai persembahan terburuk barisan kendaliannya.
“Saya melepaskan jawatan sebagai jurulatih skuad utama Kedah dan menyerahkannya kepada Radzi (Mat Din),” kata Nidzam Adzha.
Pada pertemuan di laman sendiri, Kedah hanya sekadar seri tanpa jaringan dengan Lions XII, selain diaibkan dengan kekalahan 0-3 kepada Kelantan dan terbaharu, tewas 1-3 kepada Johor FC.
Nidzam Adzha yang merupakan jurulatih skuad Piala Presiden Kedah menggalas tugas selaku pengendali sementara Kedah bagi menggantikan ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan yang digantung tujuh perlawanan.
Wan Jamak didakwa mengkritik mutu pengadilan ketika menyaksikan anak-anak didiknya seri 1-1 menentang Perak pada perlawanan terakhir Kumpulan A saingan Piala Malaysia pada 28 September lalu.
Turut menerima nasib sama ialah Radzi yang merupakan penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol Kedah, Ahmad Sobri Ismail yang digantung empat perlawanan dan mereka kembali memulakan tugas mulai malam kelmarin.
Mengulas lanjut, Nidzam Adzha memberitahu, Kedah memerlukan jurulatih yang lebih baik bagi membawa pasukan ke puncak kejayaan.
Ujarnya, biarpun beliau sudah berusaha yang terbaik, namun masih gagal membantu Kedah meraih kemenangan dan kejayaan.
“Saya akan fokus kepada pasukan Piala Presiden pula selepas ini,” katanya.
Namun dalam keberatan meninggalkan skuad utama, Nidzam Adzha tetap menaruh keyakinan bahawa para pemain Kedah masih mampu bangkit memandangkan saingan musim ini masih di peringkat awal.
“Cuma pesan saya kepada pemain jangan berputus asa dan bersatu padu.
“Jangan menuding jari sesama mereka, sebaliknya semua perlu rasa bertanggungjawab di atas prestasi Kedah,” katanya.
Kepada penyokong setia skuad Hijau Kuning, jurulatih muda itu melahirkan penghargaan di atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada pasukan.
“Saya memahami kemarahan mereka (penyokong). Ia menunjukan mereka sayangkan pasukan dan mahu pemain bangkit (meraih kemenangan).
“Saya berharap mereka akan terus menyokong Kedah, walau dalam keadaan apa sekali pun prestasi pasukan,” katanya.
Ketika ini, Kedah terbenam di dasar liga dengan hanya mengutip dua mata hasil seri dua kali dan tewas dalam tiga perlawanan. - KOSMO

Atlet basikal terpelanting


TENANG...Abdul Aziz diberi rawatan sementara sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya.
TENANG...Abdul Aziz diberi rawatan sementara sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya.

PUTRAJAYA: “Ketika itu, Mariana berada di kedudukan paling depan. Tiba-tiba sebuah kereta datang dari arah kanan dan merempuhnya hingga dia terpelanting ke atas bumbung kereta sebelum terjatuh ke jalan raya.”

Demikian kata pelumba basikal wanita kebangsaan, Masziyaton Mohd Radzi, 24, ketika menceritakan bagaimana rakan sepasukannya, Mariana Mohamad, 34, dirempuh sebuah Perodua Kancil ketika berlangsung perlumbaan membabitkan 50 pelumba negara di sini, semalam.

Ketika kejadian pada jam 10.30 pagi di simpang empat berhampiran Istana Kehakiman itu, seramai 50 pelumba membabitkan kategori elit, bawah 23 tahun, remaja dan wanita bersaing untuk sesi pemilihan ke Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 pada 8 Februari depan.

Akibat kemalangan itu, Mariana patah tangan kiri, lutut kanannya berlubang, selain bengkak di dagu serta pipi. Selain Mariana, tiga lagi pelumba termasuk Masziyaton turut cedera. Dua pelumba skuad remaja iaitu Mohd Azri Ahmad, 17, dan Abdul Aziz Mohd Zahit, 17, masing-masing patah tangan kanan dan jari manakala Masziyaton hanya cedera ringan.

Masziyaton yang ditemui di Hospital Putrajaya berkata, Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita itu merempuh pelumba selepas lampu isyarat di persimpangan berkenaan bertukar hijau dan dia mungkin tidak menyedari kehadiran polis mengawal perlumbaan yang berlangsung.

Tiga pelumba yang cedera kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya sebelum dibenarkan pulang, namun Mariana dipindahkan ke Hospital Pakar Damansara bagi rawatan lanjut. 

Sementara itu, jurulatih berbasikal negara, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan berkata, kemalangan itu berlaku ketika perlumbaan yang keseluruhannya membabitkan 10 pusingan baru memasuki pusingan kedua.

Menurutnya, ia sama sekali tidak dijangka kerana segala langkah keselamatan sudah diambil termasuk kehadiran anggota polis bagi mengawal lalu lintas. 

“Bagi saya, semua ini takdir dan saya yakin ada hikmah di sebaliknya. Saya anggap kejadian ini sebagai ujian sejauh mana tahap kesabaran kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Biarpun sedih dengan apa yang berlaku, beliau turut lega kerana kemalangan itu tidak membabitkan skuad elit lelaki negara yang bakal bersaing di ACC untuk mendapat mata kelayakan ke Sukan Olimpik akan datang dan Le Tour de Langkawi (LTdL) hujung bulan depan.

Menurutnya, Mariana sebelum ini turut terbabit dengan kemalangan ketika menyertai Sukan Asia di Guangzhou, China, pada 2010. Dia yang ketika itu berusia 32 tahun patah tulang bahu dan cedera di dagu akibat kemalangan yang dialaminya ketika menyertai acara ujian masa lebuh raya 35.6 kilometer di venue triatlon, Bandar Mega Universiti, China. 

“Mariana antara pelumba yang berpotensi untuk beraksi di ACC, tapi apa yang berlaku ini kita harus terima. Saya harap semangat Mariana akan ditanam dalam diri semua pelumba wanita untuk berusaha memberikan terbaik buat negara biarpun ditimpa kejadian tidak diingini,” katanya.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd Wahab yang dihubungi pula berharap orang ramai tidak menganggap insiden ini satu kelalaian PKBM kerana pihaknya sudah bekerjasama dengan polis, hospital dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mengawasi pelumba sepanjang perlumbaan pemilihan itu. - myMetro

Rabu, 18 Januari 2012

T-Team kekal di tangga teratas Liga Super

KELAB dari Terengganu, T-Team terus kekal di tangga teratas Liga Super biarpun mereka sekadar seri 0-0 dengan Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi. 

Selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Kedah dan Kuala Lumpur, anak buah Yunus Alif garang di awal permainan, namun Zacharia Simukonda mempersiakan dua peluang terbaik pada minit ke-11 dan 14 apabila sekadar melakukan sepakan lemah yang mudah diselamatkan penjaga gol Sabah, Azizon Kadir.

Padang basah disebabkan hujan sebelum kedua-dua pasukan turun beraksi nyata menjejaskan sedikit rentak permainan.

Sabah turut memiliki peluang terbaik pada minit ke-17 tetapi penyerang import, Michael Baird gagal menanduk tepat sepakan sudut biarpun penjaga gol T-Team, Iqbal Suhaimi sudah meninggalkan gawangnya. 

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat kendalian Justin Ganai terus memiliki peluang untuk memecah kebuntuan, namun Bobby Gonzales gagal menyempurnakannya biarpun hanya berdepan Iqbal pada minit ke-63 dan 74.

Peluang terbaik Sabah menyusul pada minit ke-77 dan kali ini rembatan Baird berjaya diselamatkan oleh Iqbal. T-Team turut mempunyai beberapa peluang menerusi Simukonda, namun penyerang import itu mempersiakannya apabila terjatuh ketika mengelecek bola.  - BHarian

Skandal jejas moral


SKANDAL rasuah di awal musim yang menghimpit Perlis memberi tamparan hebat buat skuad Liga Perdana negeri itu hinggakan jurulatih, Abdullah Hassan mengaku moral anak buahnya kini terjejas teruk.

Sebaik timbulnya isu itu berikutan kekalahan teruk 2-7 di tangan Majlis Perbandaran (MP) Muar pada perlawanan pertama Isnin lalu, pemain skuad Singa Utara teruk dikritik hebat penyokong sendiri.

Pada perlawanan kedua ketika tumpas 1-2 kepada Sime Darby di Kangar, Jumaat lalu, ada penyokong bertindak berani dengan menaikkan kain rentang mengecam pemain yang disyaki terbabit dengan rasuah.

Pada masa ini, siasatan terhadap dakwaan itu masih dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk memanggil seorang pemain untuk memberikan keterangan Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Abdullah berharap tiada pemain terbabit dalam gejala buruk itu agar mereka dapat kembali memberi tumpuan kepada kempen liga.

“Selepas kekalahan mengecewakan kepada MP Muar, ada penyokong membawa kain rentang pada perlawanan dengan Sime Darby. 

“Jika tidak silap saya, tulisan kain rentang itu menyebut, “Si perasuah, rakyat negeri Perlis mahu kamu ke neraka.” 

“Pada saya itu hanyalah andaian penyokong yang marah selepas kekalahan teruk perlawanan pertama. Tapi tindakan itu menyebabkan moral pemain saya terjejas,” katanya ketika dihubungi Arena Metro selepas tamat perlawanan menentang Pos Malaysia yang berkesudahan seri 3-3 kelmarin.

Semalam Arena Metro menyiarkan berita mengenai seorang pemain yang baru menyertai Perlis musim ini disoal siasat SPRM, Sabtu lalu, berhubung dakwaan menjual perlawanan.

Abdullah mengesahkan perkembangan terbaru itu namun enggan mengulas lanjut selain menyatakan pemain terbabit sudah tidak beraksi selepas perlawanan pertama akibat kecederaan.

“Memang ada pemain dipanggil untuk disiasat polis, SPRM tapi setakat ini hanya seorang pemain saja. Saya harap andaian buruk (pemain menerima rasuah) ini tidak berlaku, namun kami tetap waspada,” katanya. - myMetro

Selangor diaib FELDA United

REPUTASI besar Selangor – skuad pilihan dalam kancah Liga Super, musim ini – tercalar selepas kecundang 0-1 kepada FELDA United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput Melaka, petang semalam. 

Skuad Peneroka itu berterima kasih kepada penyerangnya, Azrul Ahmad yang bijak menolak masuk gol kemenangan pada minit ke-28 untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Hanya tiga hari selepas menumbangkan Perak, anak didik Irfan Bakti gagal mengulangi rentak sama dan akur masih ada banyak perlu diperbaiki sebelum mendapat semula pengiktirafan, termasuk memperkasakan semula jentera serangan mereka.

Pada babak pertama tuan rumah nyata lebih agresif, sebaliknya gerakan yang cuba dicipta penyerang Selangor, Amirulhadi Zainal, Safiq Rahim dan Amri Yahyah juga bijak ditutup Nizam Abu Bakar bersama rakan lain. 

Pada babak kedua, Merah Kuning cuba membentuk permainan tersusun menerusi gerakan Safiq, Mohd Fitri Shazwan dan Amirulhadi tetapi penyudah tumpul menghampakan, termasuk peluang baik pada minit ke-56 tetapi gagal ditanduk tepat Asrarudin Putra Omar. 

Ketika skuad Lembah Klang itu berusaha mencari gol penyamaan, Azrul berpeluang sekali lagi menghukum kepincangan benteng Selangor pada minit ke-59 tetapi tolakannya gagal menemui sasaran ketika hanya berdepan Norazlan. 

Usaha Selangor cuba mengikat kedudukan terus dihampakan barisan skuad E Elavarasan termasuk tandukan Amri pada minit ke-63, rembatan Safiq (66) dan cubaan K Gurusamy dua minit selepas itu yang sekadar melepasi palang gawang FELDA United untuk Selangor berputih mata di bumi Hang Tuah.  - BHarian

Akmal Rizal meledak


KELIBAT bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menenggelamkan ayam tambatan Negeri Sembilan, Jean Emmanuel Effa Owona apabila membantu Perak mencatatkan kemenangan 2-1 di laman sendiri, malam tadi.

Ia sekali gus membuktikan ketajaman pemain tempatan turut tidak boleh diperkecilkan walaupun dengan kehadiran pemain import dalam kancah Liga Super musim ini.

Effa Owona bagaimanapun terlebih dulu membuktikan ketajamannya apabila melakukan rembatan kencang menerusi sepakan percuma seawal minit kelima permainan untuk menewaskan Mohd Nasril Nourdin di gawang Perak.

Malah skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah yang menguasai babak pertama dihidangkan beberapa peluang untuk menggandakan jaringan terutamanya menerusi Ahmad Shakir Ali, namun gagal.

Perak sebaliknya bangkit mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-39 menerusi sepakan gunting Akmal Rizal yang hadir sebagai pemain gantian.

Kehadiran pemain yang mendapat pendedahan di luar negara itu yang masuk menggantikan Mohd Failee Ghazali pada minit ke-35 kerana kecederaan terus memberi kesan apabila sekali lagi menjaringkan gol menerusi rembatan dalam kotak penalti pada minit ke-50.

Jaringan terbabit menyebabkan juara Piala Sultan Ahmad Shah itu tersentak dan cuba melancarkan serangan ke kubu lawan untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata serta mengekalkan rekod tanpa kalah namun menemui kegagalan. - myMetro

Safee, Safiq 'tiada jodoh'


TIEN GHEE (kiri) menyampaikan jersi Cardiff City kepada Subahan selepas majlis perasmian 1 Malaysia Cardiff City (1MCC) di Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur semalam.

SETELAH sekian lama berteka-teki, masa depan dua pemain negara, Safee Sali dan Safiq Rahim bersama Cardiff City akhirnya terjawab semalam.
Meskipun kedua-dua pemain itu dilaporkan berjaya memikat hati pengendali skuad The Bluebirds, Malky Mackay sepanjang menjalani ujian bersama kelab itu sebelum ini, ‘jodoh’ mereka bersama pasukan tersebut jelas tidak berpanjangan gara-gara faktor usia dan masalah permit kerja.
Begitupun pemilik Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee mahu semua pihak memandang positif perkara itu.
Katanya, tempoh latihan selama dua minggu bersama pasukan itu perlu dilihat sebagai suatu pendedahan yang bagus buat pemain- pemain negara.
Tien Ghee memberitahu, selepas mengenal pasti peraturan-peraturan berhubung isu permit kerja, pihaknya kini lebih bersedia untuk membawa pemain-pemain muda menjalani latihan di sana sebagai pendedahan dan pengalaman kepada pasukan negara.
“Safee (Sali) sendiri pernah menghantar teks kepada saya dengan mengatakan ‘bagaikan terbang tinggi ke langit’.
“Apa yang dimaksudkan oleh Safee itu adalah selepas dia menjalani sesi latihan bersama Cardiff (City), dia merasa satu jurang tahap permainan yang begitu berbeza.
“Saya percaya, pemergian kedua-dua pemain itu ke Cardiff bakal menjadi satu contoh untuk pemain-pemain muda negara yang lain.
“Mereka (Safee dan Safiq) harus berbangga kerana membuka jalan untuk pemain-pemain muda. Pihak Cardiff akan sentiasa berusaha untuk membantu pemain-pemain Malaysia.
“Terserah kepada mereka (untuk memilih hala tuju) sebagai pemain bola sepak profesional dan jika berminat untuk beraksi di luar negara, kami pasti akan membantu,” katanya pada sidang akhbar majlis perasmian 1 Malaysia Cardiff City (1MCC) di Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir, pengurus dan jurulatih Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal serta Datuk K. Raja- gopal, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkeples Embong.
Dengan jawapan Thien Ghee itu, peminat bola sepak tempatan kini sudah boleh melupakan hasrat untuk menyaksikan Safee dan Safiq beraksi di kancah saingan bola sepak England.
Namun pada masa sama, ilmu yang diperoleh kedua- dua pemain itu sepanjang ‘berguru’ di England haruslah dilihat dari sudut yang positif.
Sementara itu, Subahan yang turut menyokong pendapat Tien Ghee berkata, langkah itu dilihat sebagai satu platform yang sihat untuk terus melahirkan pemain-pemain negara berbakat.
Katanya, selain melihat kerjasama melalui FAM dan Cardiff, ia juga membantu meningkatkan imej pemain bola sepak negara di persada dunia melalui 1MCC.
“Dahulu, ramai yang mengatakan, menjadi pemain bola sepak negara tidak memiliki masa depan, namun tanggapan itu perlu diubah kerana dunia bola sepak moden dan saya menyokong pendapat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Shabery Cheek yang berhasrat melahirkan pemain bola sepak bertaraf jutawan.
“Saya percaya selepas ini ramai lagi pemain muda seperti Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Khairul Fahmi Che Mat dan Muhammad Fadhli Saas akan menyusul mencuba nasib di liga luar negara, sekali gus memberikan sinar kepada pembangunan bola sepak negara,” katanya. - KOSMO

Pemain bola Perlis ditahan ‘caci’ polis

JITRA: Seorang pemain bola sepak Liga Perdana Perlis, ditahan di sini, semalam, selepas memaki-hamun anggota polis dengan mengeluarkan kata-kata kesat selepas dia disaman kerana tidak memiliki lesen memandu. 

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff, berkata pemain berusia 26 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan di Jalan Jenan-Kepala Batas dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, ketika menunggang motosikal Honda EX-5 hitam.

Apabila pemeriksaan dibuat, dia didapati tidak memiliki lesen memandu dan polis mengeluarkan saman POL 257.

Bagaimanapun, pemain yang berasal dari Bandar Darulaman dekat sini, dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan polis yang mengeluarkan saman ke atasnya dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat serta memaki-hamun anggota terbabit. 

Anggota terbabit kemudian mengejar pemain itu kira-kira 200 meter dan menahannya di depan sebuah pasar raya di Bandar Darulaman. 

Difahamkan, pemain terbabit adalah bekas pemain bola sepak bagi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan kini beraksi dalam kesebelasan utama Liga Perdana untuk dua musim berturut-turut. 

Ibrahim berkata, pemain itu dibawa ke cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk dibuat laporan tangkapan dan ujian saringan air kencing mendapati dia bebas daripada dadah. 

Kesnya disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan pemain bola sepak itu dibebaskan dengan jaminan polis.  - BHarian

Jumaat, 13 Januari 2012

Kontroversi lagi


TAK LAYAK...Dayoub tidak melalui tempoh ‘cooling-off’ selama dua tahun yang ditetapkan FAM.
TAK LAYAK...Dayoub tidak melalui tempoh ‘cooling-off’ selama dua tahun yang ditetapkan FAM.

KISAH kontroversi pemain import terus mendapat perhatian apabila pertikaian terbaru membabitkan pemain import Selangor dari Lubnan, Ramez Dayoub dan Mohammed Ghaddar yang kini beraksi bersama Kelantan, turut dikatakan tidak menepati piawaian ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Isu itu kini hangat dibincangkan di kalangan peminat bola sepak tanah air yang mula mempersoalkan status dua pemain import itu yang didakwa melanggar peraturan pengambilan pemain import Liga Malaysia.

Dayoub yang sebelum ini mewakili kelab Myanmar, Magway pada 2011, sepatutnya tidak layak bermain di negara ini kerana tidak melalui tempoh ‘cooling-off’ selama dua tahun yang ditetapkan FAM untuk pemain beraksi dalam mana-mana liga di negara Asean.

Perkara 17 peraturan FAM memaklumkan pemain import yang bermain atau pernah bermain dalam mana-mana liga Asia Tenggara perlu melalui tempoh ‘cooling-off’ dengan kontrak terakhir mereka perlu tamat sebelum atau pada 7 Disember 2009 sebelum dibenarkan beraksi untuk pasukan Liga-M 2012.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Hamidin Mohd Amin yang ditanya perkara itu berkata, walaupun Dayoub beraksi dalam liga Asean, pemain itu dibenarkan bermain untuk Selangor kerana dia mewakili skuad kebangsaan negara asalnya yang mempunyai ranking lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Dalam peraturan ada klausa yang seseorang pemain itu dibenarkan beraksi jika pasukan negara asalnya mempunyai ranking lebih tinggi berbanding Malaysia. Dalam hal ini, Lubnan menduduki ranking lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Ranking ini kita ambil kira ranking tahun lalu, tapi yang pasti ranking Lubnan lebih tinggi daripada Malaysia,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Bagaimanapun apa yang mengelirukan, perkara 5.3 FAM pula menyatakan hanya pemain kebangsaan dari negara yang menduduki ranking lebih tinggi berbanding Malaysia setakat 24 Ogos 2011 dibenarkan beraksi dalam Liga-M 2012.

Sedangkan rekod ranking Fifa pada Ogos 2011 menunjukkan Lubnan menduduki tangga ke-160 manakala Malaysia ke-146. Lubnan hanya memperbaiki ranking dengan berada di tangga ke-146, satu tangga lebih baik berbanding Malaysia, pada September 2011.

Jika perkara 5.3 itu turut dikenakan kepada semua pemain import, sudah pasti ia turut membabitkan rakan senegaranya, Ghaddar yang beraksi dengan Kelantan walaupun dia beraksi dalam liga divisyen satu Asia sebelum ini, bersama kelab Al-Jaish dari Syria.

Ternyata isu terbaru ini juga perlu diberikan penjelasan oleh JKPT yang akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat khas hari ini memandangkan masih ada perkara berbangkit dalam pengambilan pemain import bagi mengelakkan sebarang salah faham. - myMetro

Jangan Pertikai Gelaran 'Datuk' Saya - Eizlan


Eizlan Yusof tidak hirau kurniaan gelaran Datuk yang diterima dipertikaikan oleh sesetengah pihak. - Foto THE STAR Oleh FAIHAN GHANI.
SHAH ALAM: Pelakon Datuk Eizlan Yusof meminta orang ramai tidak mempersoalkan gelaran Datuk yang diterimanya kerana ia adalah sesuatu yang istimewa kurniaan pihak Istana Pahang.
Eizlan, 41, atau nama sebenarnya Idris Md Yusof berkata, individu yang mempertikaikan kurniaan tersebut seolah-olah tidak mempercayai kredibiliti dan kemuliaan istana yang harus dihormati.
"Saya tidak faham kenapa ada pihak yang ingin mempertikaikan kurniaan tersebut? Ia diberi oleh istana dan bukan saya yang minta. Ia juga seolah-olah menidakkan keputusan yang telah dibuat oleh pihak istana.
"Sudah lebih 18 tahun saya berada dalam industri ini, saya tidak mudah untuk tunduk dengan tohmahan orang terhadap saya," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis sidang media filem Pak Pung, di sini, Khamis.
Eizlan diminta mengulas mengenai cakap-cakap segelintir pihak yang mempertikaikan sumbangannya dalam bidang seni sehingga melayakkan dia untuk dikurniakan gelaran Datuk.
Pada 22 Disember lalu, Eizlan dan beberapa artis lain antaranya Datuk AC Mizal dan Datuk Fazley Yaakob dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk bersempena sambutan hari keputeraan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah ke-81.
Eizlan (kanan) bersama Datuk AC Mizal ketika menerima pingat Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada Majis Istiadat Pengurnian Darjah-Darjah Kebesaran Pahang pada Disember lalu sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-81.
Dalam pada itu Eizlan berkata pihak Istana Pahang juga mempunyai sebab tersendiri dalam memilihnya sebagai salah seorang penerima anugerah tersebut dan menolak dakwaangelaran tersebut dibelinya untuk tujuan tertentu.
"Apabila ada pihak mencadangkan nama saya untuk menerima gelaran berkenaan dan pihak istana meminta agar saya menghantar butiran diri, takkan saya hendak ingkar?
"Prosedur yang melayakkan saya menerima gelaran itu juga bukan ditentukan oleh saya atau pihak pencadang sebaliknya ditentukan sendiri oleh Sultan," ujarnya.
Eizlan memberitahu dia tidak kisah dengan kata-kata negatif terhadapnya selain merasakan tidak perlu menjelaskan kepada umum mengapa dia layak menerima anugerah terbabit.
"Rasanya tidak perlulah saya menghebohkan kepada satu dunia mengenai pencapaian atau kejayaan yang telah saya kecapi sehingga dikurniakan gelaran itu.
"Saya lebih selesa untuk berdiam diri dan membiarkan segelintir pihak yang tidak puas hati terus mempersoalkannya," ujar Eizlan. - mStarOnline

Mancini, Gerrard 'panas'


GERRARD menjaringkan gol kemenangan 1-0 Liverpool ke atas City pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga awal pagi semalam.

MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini (gambar kecil) dan kapten Liverpool, Steven Gerrard 'perang mulut' pada pertemuan separuh akhir pertama Piala Liga di Eastlands awal pagi semalam.
Gerrard meledakkan gol kemenangan 1-0 Liverpool ke atas City menerusi satu sepakan penalti pada minit ke-13, sekali gus memberi kelebihan untuk menghadapi aksi kedua di Anfield pada 25 Januari ini.
Begitupun, perlawanan tersebut telah dibayangi dengan insiden kekasaran yang dilakukan oleh pemain pertahanan, Liverpool, Glen Johnson ke atas pemain City, Joleon Lescott.
Insiden tersebut telah mencetuskan kemarahan Mancini kerana pengadil perlawanan, Lee Mason tidak menjatuhkan hukuman ke atas Johnson.
Ia lebih buruk berbanding insiden pada aksi Piala FA Ahad lalu apabila pemain City, Vincent Kompany melakukan terjahan keras ke atas pemain sayap Manchester United, Nani.
Sebagai hukuman, pemain pertahanan City itu telah dilayangkan kad merah dan digantung empat perlawanan.
Bagaimanapun, Gerrard tidak bersetuju dengan dakwaan Mancini dan kedua-dua individu tersebut dilihat telah bertengkar sebaik perlawanan tersebut tamat.
"Tidak, saya fikir ia tidak seperti yang didakwa Mancini," kata Gerrard ketika ditanya sama ada Johnson sepatutnya dilayangkan kad merah berhubung insiden itu.
"Ia adalah satu terjahan yang bersih.
"Saya terkejut dengan komen Mancini. Dia menuduh Wayne Rooney sebagai punca pemain City diarah keluar padang Ahad lalu. Kini, dia cuba meletakkan seorang pemain lagi dalam kesusahan. Ia tidak fikir ia akan berhasil."
Namun, Mancini mempunyai pendapat yang berbeza berhubung insiden itu dan rakaman televisyen menyokong pendapatnya itu.
"Terjahan Johnson ke atas Lescott adalah lebih buruk daripada apa yang dilakukan Kompany kepada pemain United. Semua orang boleh melihatnya," kata Mancini. - AFP

No happy ending for Christensen

Japan’s Kenichi Tago
Japan’s Kenichi Tago returns a shot to Denmark’s Peter Gade Christensen yesterday. Kenichi won 19-21, 21-11, 21-16. Pic by Yazit Razali
PETER Gade Christensen has many fond memories of the Maybank Malaysia Open but a grand farewell was not to be yesterday as the Dane was beaten by Japan's rising star Kenichi Tago in the men's singles second round in Bukit Jalil.

Tago recorded his first ever career win over Christensen, the fourth seed who announced that he will retire after the London Olympics, with  a 19-21, 21-11, 21-16 victory in 68 minutes.

The disappointed Christensen, who won the Malaysia Open in 1998 and 2007, said he wanted a memorable farewell outing in Kuala Lumpur.
Peter Gade Christensen
"I am frustrated. I was in better condition and did my best on court but it was not good enough. I've been struggling because of the tough schedule. I will not be competing for two months as I need the space to get my form back," said Christensen yesterday.

"Malaysia will always be a special place for me and I wanted to do something today (yesterday) but I was not at my best. If the tournament was held a few months ago, I would have done better.

"As for the London Olympics, Christensen said he hoped to make it count. For the record, the Dane has not won an Olympic medal.

"I am 35 and in order to sustain the pace, I need to use all my experience to achieve my goal. It will not be easy as the game is faster than before and one needs to be a complete player to do well," he added.

Kenichi, the World No 12, said winning consistently over established shuttlers would boost his confidence.    The Japanese was being tipped as the next big star after reaching the 2010 All England final, before bowing out to Malaysia's Lee Chong Wei, but so far he has failed to make the grade.

"I am much stronger and confident compared to before but I need to play well and earn victories over high-ranked players on a regular basis to maintain my form ahead of the Olympics," said Kenichi.

"I could have won in straight games today (yesterday) but failed to be patient in the first game. I took one point at the time in the following games to clinch the match." - NST

Lin Dan tumbang


CHONG Wei menepati ramalan apabila melangkah ke pusingan suku akhir selepas menewaskan pemain Jepun pada pusingan kedua semalam.

IMPIAN untuk menyaksikan bintang sensasi China, Lin Dan untuk membuat perhitungan dengan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei pada final Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2012 tidak kesampaian.
Ini kerana, jaguh dari ‘Negara Tembok Besar’ itu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua apabila tewas di tangan pemain perseorangan Denmark, Jan O Jorgensen 21-14, 15-21, 15-21 pada aksi yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.
Bagaimanapun, kekalahan Lin Dan itu dikatakan telah diatur lebih awal kerana dia mahu memberi peluang kepada rakan senegaranya, Chen Jin dan Chen Long mara ke final, sekali gus merangkul kejuaraan.
Malah, ia juga dapat membantu menaikkan ranking kedua-dua rakan senegaranya itu seandainya berjaya mara ke final.
Ini bukan kali pertama, China mengatur konspirasi sebegitu rupa, malah ia sering kali terjadi dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
Sementara itu, Chong Wei menepati ramalan awal apabila mudah mara ke peringkat suku akhir apabila melepasi halangan pada pusingan kedua semalam.
Tampil selaku pilihan pertama kejohanan, Chong Wei yang juga merupakan pemain No. 1 dunia mengenepikan cabaran perseorangan Jepun Kazushi Yamada 21-8, 21-18 dalam tempoh hanya 37 minit.
“Pada set pertama, saya ada hilang fokus sedikit dan menyaksikan saya ketinggalan. Namun, saya bangkit untuk mengejar mata semula,” kata Chong Wei ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan semalam.
Ditanya mengenai kekalahan yang dialami seteru utamanya, Lin Dan semalam, Chong Wei memberitahu: “Lin Dan juga seperti saya. Ada kejohanan yang dia beraksi dengan baik dan ada sebaliknya.
‘Saya percaya dia akan kembali berada pada tahap prestasi sebenarnya dalam kejohanan-kejohanan seterusnya.
“Memang orang mahu lihat saya berdepan dengan dia di final tetapi dia sudah kalah dan saya tidak boleh berbuat apa-apa,” ujar Chong Wei.
Pada aksi peringkat suku akhir hari ini, Chong Wei akan berdepan rakan baiknya, Taufik Hidayat dari Indonesia.
“Taufik merupakan seorang pemain yang berpengalaman. Memang dia tidak pernah bergelar juara tahun lalu tetapi saya percaya dia kini sudah semakin baik.
“Hari ini (semalam) pun dia menang dengan pemain Vietnam (Nguyen Tien Minh). Bukan mudah sebenarnya untuk menewaskan pemain Vietnam itu tetapi Taufik berjaya melakukannya.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai corak permainan Taufik esok (hari ini) kerana apa yang lebih penting adalah persiapan serta fokus diri saya sendiri,” jelas Chong Wei.
Dalam pada itu, beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui turut melangkah ke peringkat suku akhir selepas menudukkan Eom Hye Won-Jang Ye Na dari Korea Selatan 21-18, 21-14 pada pusingan kedua semalam.
Terdahulu, hasrat pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi untuk mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama pada kejohanan ini menemui kegagalan.
Jing Yi terpaksa akur dengan kehebatan pemain pilihan kelapan kejohanan, Julia Schenk dari Jerman apabila tewas pada aksi pusingan kedua di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.
Pada set pertama, Jing Yi dilihat masih mampu memberikan tentangan kepada Julia sebelum akur dengan kekalahan 18-21.
Jing Yi yang diharapkan mampu bangkit untuk mengheret perlawanan sekurang-kurangnya ke set penentuan dilihat tidak bermaya apabila tewas 6-21 pada set kedua.
Kekalahan Jing Yi itu sekali gus menyaksikan berakhirnya saingan negara dalam acara perseorangan wanita pada Terbuka Malaysia kali ini.
Turut ditunjukkan jalan keluar ialah beregu lelaki negara, Mak Hee Chun-Ong Soon Hock apabila tewas kepada beregu Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan. - KOSMO

Khamis, 12 Januari 2012

A Razak Pilih Apek, Nabil & Johan Kerana kekuatan berbeza


Johan kini menjadi rebutan penerbit filem. Foto CHAN TAK KONG
KUALA LUMPUR: Pengarah filem Bujang Terlajak... Belum Terlanjur, Profesor Madya A Razak Mohaideen berkata pemilihan tiga pelawak popular iaitu Saiful Apek, Nabil dan Johan sebagai pelakon utama bukan sahaja kerana populariti mereka, malah ketiga-tiganya mempunyai kekuatan tersendiri yang menepati tuntutan watak dalam filem komedi itu.
Razak berkata pengalaman bekerjasama dengan ketiga-tiga pelawak itu dalam dua buah filem arahannya sebelum ini iaitu Sifu & Tongga (gandingan Apek dan Nabil) dan Raya Tak Jadi (Apek dan Johan) membuahkan keyakinan bahawa ketiga-tiga pelawak itu mampu untuk mencorakkan perwatakan komedi dengan berkesan dalam filem terbarunya itu.
"Saya pilih mereka bukan sahaja kerana mereka popular tetapi masing-masing mempunyai kekuatan dalam menjayakan watak komedi dalam filem ini.
Fazura
"Mereka mempunyai kekuatan yang berlainan. Ada yang kuat daripada segi gestur tubuh, mimik muka dan dialog. Perbezaan ini terbukti berkesan mengikut kehendak watak," katanya yang ditemui selepas majlis pra tonton filem berkenaan di sini, malam Selasa.
Tambahnya, pemilihan ketiga-tiga pelawak itu juga hanya memerlukan pemantauan dan bimbingan yang minimum memandangkan sudah wujud keserasian di antara mereka.
"Ini merupakan kali pertama saya gandingkan ketiga-tiganya dalam sebuah filem. Ternyata mereka melaksanakan tugas masing-masing dengan baik.
"Saya hanya mengawal perwatakan mereka secara minimum dan mereka sudah tahu untuk memberikan lakonan yang saya mahukan. Hal ini turut dipengaruhi oleh faktor keserasian antara kami," katanya.
Nabil
Selain trio pelawak itu, filem yang berkisar tentang tiga orang bujang yang terdesak untuk mencari calon isteri sehingga sanggup berpura-pura menjadi buta, pekak dan bisu itu turut dibintangi oleh Nur Fazura, Mustapha Kamal, Ebby Yus dan Susan Menon.
Filem komedi ke-33 arahan A Razak itu akan mula ditayangkan di 75 pawagam termasuk Brunei dan Singapura pada 19 Januari ini. - mStarOnline

Liverpool sangkal laporan


CARROLL bergelut untuk menampilkan aksi terbaik sejak menyertai Liverpool dari Newcastle pada Januari 2011.

LONDON - Liverpool menafikan laporan yang mendakwa Newcastle United bakal menandatangani semula bekas penyerang, Andy Carroll pada musim perpindahan bulan ini.
Carroll, 23, bergelut untuk menampilkan aksi terbaik sejak menyertai Liverpool dari Newcastle pada Januari 2011 dengan bayarah perpindahan berjumlah £35 juta (RM169 juta).
Untuk rekod, penyerang England itu hanya menjaringkan empat gol sepanjang 25 penampilan dalam kempen Liga Perdana England.
Menurut laporan beberapa akhbar di England semalam, masa depan Carroll di Anfield dilihat semakin tidak menentu.
Laporan tersebut turut mencadangkan skuad The Magpies kembali menandatangani penyerang tersebut.
Laporan akhbar itu juga mendakwa Newcastle bersedia untuk membuat tawaran berjumlah £10 juta (RM48.7 juta), sekali gus menyebabkan skuad The Reds kerugian sebanyak £25 juta (RM121.8 juta).
Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Kenny Dalglish secara konsisten memberitahu masa depan Carroll di kelab Merseyside itu cerah.
"Tidak masuk akal (laporan media tersebut). Tidak ada apa-apa yang berlaku," menurut seorang jurucakap Liverpool semalam.
Sejak berpindah ke Liverpool, kehebatan Carroll dibayangi oleh bintang Liverpool, Luis Suarez.
Setakat ini, Carroll hanya menjaringkan enam gol daripada 31 perlawanan berbanding ketika beraksi bersama Newcastle (33 gol daripada 90 perlawanan).
Masalah kecederaan juga antara faktor yang menyebabkan prestasi Carroll yang tidak menentu. - Agensi

Iklan Mangga