TANGKAS...penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi tangkas menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi dua penyerang Singapura, semalam. |
TERSINGKIR di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 dengan agregat 6-4 selepas seri 1-1 dalam aksi timbal balik menentang Singapura, malam tadi adalah keputusan yang tidak adil buat ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal.
Bagi pengendali negara berusia 55 tahun itu, barisan Harimau Malaya sebenarnya mampu memenangi perlawanan itu jika tidak kerana taktik pemain lawan yang gemar melengah-lengahkan permainan.
“Saya tidak fikir keputusan ini adil buat kami, secara jujurnya kami boleh memenangi perlawanan ini. Walaupun secara keseluruhan kami tidak tewas malam ini (semalam), saya gembira dengan permainan pemain-pemain khususnya pada babak kedua,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Semuanya tidak menjadi buat Malaysia pada babak pertama apabila bahagian serangan yang diketuai, Mohd Safee Sali gagal memecah benteng pasukan pelawat meskipun mendapat sorakan padu 90,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ketiadaan kapten, Mohd Safiq Rahim yang digantung perlawanan nyata memberi kesan apabila pengganti Ismail Faruqi Ashari tenggelam di bahagian tengah.
Sebaliknya skuad singa memperoleh sekurang-kurangnya tiga percubaan terbaik termasuk sepakan jarak dekat pemain ‘import’ Qiu Li dan Aleksandar Duric namun berjaya dihalang dengan ketangkasan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.
Dengan pemain Singapura kendalian Radojko Avramovich lebih gemar ‘berlakon’ seperti kecederaan untuk melengah-lengahkan permainan, babak pertama berakhir 0-0.
Namun kedudukan berubah pada separuh masa kedua. Bermula dengan gerakan pemain sayap lincah, S Kunanlan bijak memperdayakan dua pemain Singapura melorongkan bola kepada Safee yang merembat deras menewaskan penjaga gol Mohamad Izwan Mahbud di minit ke-57.
Namun ketika Harimau Malaya hanya memerlukan satu gol lagi untuk mengikat agregat 5-5, pintu gol dibocori di minit ke-72 hasil percubaan pemain natrulisasi dari China, Shi Jiayi sekali gus menyentap semangat juang anak buah Rajagobal.
Tambah perit pemain gantian Ahmad Fakri Saarani dilayangkan kad merah pengadil Jepun, Takayama Hiroyoshi pada masa tambahan dengan Singapura pula meneruskan taktik melengahkan permainan sehingga wisel penamat dibunyikan.
“Kami mendapat satu gol dan kami sepatutnya boleh menambah jaringan kedua tapi permainan kami sering diganggu dengan tindakan pemain Singapura yang kerap cedera.
“Saya tidak fikir pemain-pemain mengecewakan peminat yang datang memberi sokongan kerana mereka sudah berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.
Dengan agregat 6-4 Singapura mara ke pusingan ketiga peringkat kumpulan manakala Malaysia juara Piala Suzuki AFF dan Sukan Sea Laos 2009 pula terus kempunan sejak bersaing di peringkat kelayakan Piala Dunia pada 1974. - myMetro
TAHNIAH utk pasukan Harimau Malaya krn memberi yg terbaik. Kita xkalah sebenarnya, dah bkn rezeki kita. Tapi aku menyampah betul dgn taktik player S'pore yg pura2 cedera, lembik kat tengah padang.
BalasPadam