AHMAD Shabery (dua dari kiri) meluangkan masa melawat pameran pada Program Tahun Industri Sukan 2011/2012 di Kuala Lumpur semalam. |
KAWASAN Kompleks Sukan Negara (KSN) di Bukit Jalil akan dibangunkan sebagai sebuah bandar sukan.
Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam.
Katanya, pihaknya telah mengemukakan kertas cadangan bagi tujuan itu kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) sejajar dengan usaha menjadikan sukan sebagai satu industri.
Menurutnya, sekiranya cadangan itu dapat direalisasikan, maka peminat sukan bukan sahaja datang ke Bukit Jalil untuk menyaksikan pertandingan, sebaliknya dapat juga membeli pelbagai produk sukan.
"Kita mahu KSN dilihat bukan sekadar penyedia kemuda- han stadium tetapi juga sebagai pusat setempat untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan berkaitan sukan," katanya.
Ahmad Shabery berkata demikian pada majlis pelancaran Program Tahun Industri Sukan 2011/2012 dan Persidangan Perniagaan Sukan di Pusat Konvensyen Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam.
Tahun Industri Sukan 2011/2012 semalam.
Beliau berkata, apabila kawasan KSN dibangunkan sebagai Bandar Sukan, ia akan membuka peluang perniagaan kepada pengusaha tempatan memasarkan produk sukan masing-masing.
Selain itu katanya, kawasan itu akan dilengkapi dengan kemudahan hotel bagi menarik lebih ramai kunjungan pelancong asing.
"Di Malaysia, orang melihat stadium sebagai satu kompleks kerajaan dan tidak memberikan sebarang keuntungan.
"Jika dilihat di negara lain, stadium itu adalah sesuatu yang boleh menjana keuntungan. Misalnya, Stadium Old Trafford di London di mana ia mempunyai sebuah pusat beli- belah di bahagian bawah stadium," katanya.
Mengambil contoh perlawanan bola sepak pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia antara Malaysia dan Singapura dan tiga perlawanan persahabatan dengan kelab Liga Perdana England (EPL) di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini, katanya, ia bukan sekadar perlawanan tetapi turut memberi kesan kepada industri sukan negara.
Katanya, sejumlah 234,000 tiket dijual untuk kesemua perlawanan tersebut.
"Sekiranya setiap penonton membelanjakan kira-kira RM200 seorang untuk tiket, makanan, pengangkutan dan membeli cenderamata, ia telah menyumbang kira-kira RM50 juta kepada ekonomi negara," katanya. - KOSMO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan