KAJANG: Pelakon dan penyanyi, Joey pada Selasa, bersetuju agar kes pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang difailkan oleh isterinya di Mahkamah Rendah Syariah di sini dipercepatkan kerana dia mahu berkahwin lain.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Joey ketika ditanya oleh Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah jika dia mahukan keputusan yang segera dalam permohonan yang difailkan oleh Noraini Mohamad Nasir,44, pada 15 Oktober 2010.
Bagaimanapun, Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud, 37, mengakui wanita yang ingin dijadikan pasangan hidup bukan Noraini, sebaliknya wanita lain yang tidak dinyatakan namanya.
Semasa ditanya bila perkahwinan tersebut akan dilangsungkan, Joey menjawab: "Tiada tarikh, tetapi pada tahun ini."
Abdul Halim kemudiannya menetapkan 26 Julai ini untuk memberikan keputusan berhubung kesahihan dakwaan lafaz cerai dan rujuk yang didakwa telah dilafazkan oleh Joey terhadap Noraini di rumah kelamin mereka, tahun lalu.
Pada tarikh tersebut, Abdul Halim juga akan memberikan keputusan sekiranya Joey yang dinamakan sebagai defendan dalam permohonan itu perlu bersumpah bagi menafikan dakwaan Noraini berhubung lafaz rujuk tersebut.
Ini kerana, pasangan tersebut tidak bersependapat dengan lafaz rujuk yang didakwa berlaku pada 8 Jun 2010 di bilik tidur mereka dan Noraini mendakwa, tangan kiri suaminya memegang senaskhah Al-Quran semasa melafazkan rujuk tersebut.
Kedua-dua mereka hanya bersetuju dengan fakta bahawa Joey telah melafazkan cerai pada 4 Jun 2010 meskipun lafaz yang dimulakan dengan Bismillah itu hanya didengari oleh seorang rakan bernama 'Acong' .
Pasangan tersebut berkahwin pada 4 Mei 2005 dan mereka mempunyai seorang anak angkat, Zidani yang kini berusia empat tahun.
Sementara itu, pada perbicaraan pada Selasa, Joey memberitahu bahawa dia berada dalam keadaan yang waras, sedar dan tidak dipaksa semasa melafazkan lafaz cerai tersebut.
"Saya juga faham dengan maksud lafaz, iaitu saya menceraikan dia (Noraini). Lafaz juga dilafazkan dengan kuat dan saya rasa dia dengar lafaz tersebut," katanya.
Semasa disoal oleh peguam syarienya, Fakhrul Azman Abu Hassan, Joey berkata, pada 4 Jun 2010 dia dan Acong telah ke rumah Noraini untuk berbincang bagi melafazkan lafaz cerai tersebut.
"Waktu berbincang, Noraini ada bersama, tetapi semasa mahu lafaz, dia berpusing seperti mahu masuk ke rumah," katanya.
Joey yang pernah menghasilkan album ‘Beradu Suratan’ itu seterusnya memberitahu dia tidak bersetuju dengan cadangan oleh peguam syarie Amli Embong yang mewakili Noraini, bahawa lafaz rujuk dilafazkan semasa dia kembali ke rumah, empat hari kemudian.
Katanya, perkara itu tidak pernah berlaku dan tujuan dia kembali ke rumah hanya untuk mengambil barang dan melawat Zidani.
"Saya ada bertanya khabar Noraini dan beritahu tujuan saya datang. Saya berada di sana tidak sampai setengah jam kerana dia tidak benarkan saya untuk masuk ke dalam rumah," katanya.
Joey juga memberitahu, dia mengambil masa yang lama untuk memfailkan permohonan pengesahan itu di mahkamah kerana tidak dapat mencapai persetujuan dengan Noraini berhubung pelantikan peguam untuk mengendalikan kes tersebut.
"Saya sudah cuba untuk berbincang dengan dia untuk menggunakan seorang peguam sahaja untuk memudahkan urusan tetapi dia dengan cara dia dan tiba-tiba sahaja dia failkan dahulu permohonan tanpa persetujuan saya," tambahnya.
Sementara itu, menjawab soalan Abdul Halim, Joey mengakui bahawa dia tidak bersama dengan Noraini sebelum 4 Jun 2010 kerana berada di lokasi penggambaran dan semasa itu, mereka telah sering bergaduh.
Joey juga mengakui bahawa Noraini atau nama dipanggilnya sebagai 'Igom' tidak pernah meminta cerai, namun begitu kerap meminta untuk dibebaskan kerana telah tidak boleh hidup bersama.
Abdul Halim: Selepas lafaz cerai, apakah jawapan kamu jika ditanya mengenai hubungan kamu dengan Noraini?
Joey: Saya akan jawab masih dalam proses perceraian. Saya juga akan cerita bahawa saya ada lafaz cerai di luar, tetapi masih belum disahkan.
Dalam kes ini, Noraini memfailkan permohonan pengesahan tersebut kira-kira seminggu selepas media menyiarkan berita mengenai keakraban antara Joey dengan pelakon, Watie (Elite) atau nama sebenarnya Norwati Sadali.
Mereka dilaporkan mula rapat selepas bertemu di lokasi penggambaran sebuah drama bersiri dan Noraini pada keterangannya memberitahu bahawa Joey telah keluar daripada rumah selepas membuat pengakuan mengenai hubungan tersebut.
Sebelum ini media melaporkan Joey dan Watie berkawan rapat dan mereka memang mempunyai perancangan untuk berumahtangga. - mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan