slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Selasa, 12 Julai 2011

Dua gol Supermokh pernah benam Arsenal

Aksi Mokhtar Dahari ketika menentang pasukan luar negara pada tahun 1980-an.

KUALA LUMPUR - Semalam genap dua dekad penyerang legenda bola sepak negara dan Asia era 70-an hingga 80-an, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari atau Supermokh kembali ke rahmatullah.

Menjelang perlawanan persahabatan dengan Arsenal di Bukit Jalil, esok, nama Supermokh kembali dikenang apabila beliau pernah mencipta sejarah dengan meledak dua gol untuk menewaskan kelab England itu 2-0 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 11 Mei 1975.

Anak jati Setapak, Kuala Lumpur ini menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada pukul 8.25 pagi 11 Julai 1991 ketika berusia 37 tahun akibat penyakit motor neurone.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan tiga anak, Mohamad Redza yang juga bekas pemain bola sepak Selangor, Nur Azera dan Nur Arina.

Mokhtar dan Diego Maradona turut bertembung di Stadium Merdeka dalam perlawanan persahabatan antara Pilihan Selangor dengan Boca Juniors pada 1982, empat tahun sebelum bekas jagoan dan jurulatih Argentina itu menjulang Piala Dunia di Mexico.

Malah gol Mokhtar antaranya menerusi rembatan deras lagi tepat bak peluru ke atas England B di Stadium Merdeka pada 1978 mengagumkan ramai pemain, jurulatih, wartawan dan peminat dalam dan luar negara untuk mengikat lawan 1-1.

Gara-gara rembatan jarak jauh yang menewaskan Joe Corrigan itulah, gelaran Supermokh melekat padanya sehingga jurulatih England B, Bobby Robson berkata, "Gol itu sesuatu yang istimewa dan antara yang terbaik pernah saya saksikan."

Sepanjang mewakili Selangor dan Malaysia dari 1971 hingga 1987, Mokhtar menjaringkan 177 gol dalam Piala Malaysia dan 125 gol di pentas antarabangsa selain menjulang trofi itu 10 kali, Pestabola Merdeka, pingat emas Sukan Asia 1974 dan Sukan SEA 1979 di samping bergelar Olahragawan Kebangsaan 1976.

Allahyarham turut dianugerahkan sebagai Ahli Kelab Seabad Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) 1999 manakala pada 8 Mei 2010, Kementerian Belia dan Sukan memberikan penghormatan kepadanya dengan menamakan salah satu gelanggang Kompleks Futsal Putrajaya, Gelanggang Mokhtar Dahari.

Selain itu Kumpulan Utusan pernah menerbitkan sebuah buku biografi khas untuk Allahyarham berjudul 'Mokhtar Dahari - Perginya Seorang Legenda Bola Sepak' dengan kata-kata pentingnya dipetik berbunyi, "saya bekerja keras untuk apa yang saya capai hari ini."

Di luar gelanggang, Supermokh turut berbakat sebagai penulis sukan dengan diundang sebagai kolumnis 'Mokhtar Dahari Menulis' dalam majalah terbitan Kumpulan Utusan, Dunia Sukan sekitar 1980-an selain mendukung watak kecil filem komedi, 'Mekanik' pada 1983.

Biografinya berjudul The Untold Truth About Supermokh turut ditayangkan menerusi National Geographic Channel pada 30 Ogos 2010. - UTUSAN

1 ulasan:

  1. semoga rohnya ditempatkan bersama-sama org2 yg beriman...alfatihah....amin.

    BalasPadam

Iklan Mangga