Lee Chong Wei membuat regangan selepas latihan di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam sebagai persediaan untuk Kejohanan Dunia di Arena Tertutup Wembley, London bulan depan. - BERNAMA |
KUALA LUMPUR - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei meredakan tekanan menjelang Kejohanan Dunia di London bulan depan dengan menegaskan ia bukan kejohanan terakhirnya kerana dia tidak akan bersara selepas Sukan Olimpik 2012.
Kenyataan Chong Wei semalam agak memeranjatkan tetapi pasti menggembirakan seluruh peminat badminton tanah air selepas dia sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bersara sebaik berakhir temasya sukan di London tahun depan.
Tegas Chong Wei, dia akan terus beraksi selagi mampu memberi cabaran kompetitif dan bersaing untuk kedudukan No. 1 dunia, malah belum puas hati selagi tidak dapat merangkul beberapa gelaran utama, termasuk pingat emas Sukan Asia.
"Saya tidak harus memberi tekanan kepada diri sendiri di London nanti kerana ini bukan Kejohanan Dunia terakhir saya. Selepas tamat Sukan Olimpik tahun depan, saya akan terus beraksi jika keadaan fizikal masih mengizinkan saya memberi cabaran untuk kedudukan No. 1 dunia.
"Kalau saya masih dapat beraksi dengan baik untuk beberapa tahun lagi, saya tidak akan berundur. Bukan saya merubah fikiran, cuma saya rasa masih tidak gembira kerana ada beberapa gelaran utama yang belum pernah dapat.
"Tahun ini saya akan beraksi pada Kejohanan Dunia dan tahun depan Sukan Olimpik, selepas itu saya mensasarkan Sukan Asia 2014 kerana saya belum pernah menang emas Sukan Asia. Harap saya masih mampu memberikan persembahan yang baik sehingga temasya itu,'' kata Chong Wei yang menjalani latihan terakhir di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam sebelum berlepas ke England, malam tadi.
Bagaimanapun juara All England 2010 dan 2011 itu mengakui, adalah mustahil buatnya untuk bersaing pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil kerana dia berusia 34 tahun ketika itu dan mungkin tidak mampu memberi cabaran sehebat sekarang, justeru London 2012 merupakan peluang terbaiknya untuk menukar perak yang dimenangi di Beijing 2008 kepada emas.
Mengulas mengenai laluan yang bakal dihadapi pada Kejohanan Dunia di Arena Wembley, 8-14 Ogos ini, Chong Wei berkata, tiada apa yang mengejutkan mengenai undian kerana ceritanya tidak banyak berbeza daripada kejohanan antarabangsa lain, terutama Siri Super.
"Sebenarnya tiada benda baru yang saya hendak cakap tentang undian, ia perkara biasa.. sama seperti yang selalu saya dapat pada kejohanan Terbuka atau Siri Super. Kalau hendak cakap tentang kesukaran, saya memang sudah menjangkakannya, sebab itu saya kata tiada apa yang mengejutkan apabila saya melihat undian semalam.
"Ada tiga pemain China mampu menjadi pencabar utama Kejohanan Dunia kali ini, bermula dari Lin Dan, Chen Jin dan Chen Long. Dua daripadanya mungkin saya akan jumpa lebih awal dan seorang lagi mungkin di final, jadi saya sudah bersedia untuk ketiga-tiganya.
"Saya menjangkakan Chen Long akan menjadi lawan di suku akhir, kemudian Chen Jin di separuh akhir. Sekiranya saya masuk perlawanan akhir, Lin Dan adalah calon utama untuk menjadi pencabar, ia adalah laluan yang sudah dibayangkan. Pada saya, apa yang penting adalah memberi tumpuan kepada permainan sendiri, satu demi satu,'' ujarnya yang akan memulakan kempen bertemu pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk.
Chong Wei, 29, tidak pernah merangkul kejuaraan dunia dalam lima percubaan terakhir dengan pencapaian terbaik adalah ke separuh akhir dalam penampilan sulung di Amerika Syarikat, 2005.
Dia dan rakan-rakan sepasukan yang lain akan mengharungi latihan insentif 10 hari di Universiti Bath, England untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan perubahan masa, sebelum berlepas ke London pada 4 Ogos. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan