slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Rabu, 12 Oktober 2011

Padah gagal kawal emosi

Pemain Terengganu, Abdul Hadi Yahaya (kiri) mengelak asakan pemain Kelantan, S. Subramaniam dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada10.10.11. foto: kelate.net
KEMENANGAN bergaya Terengganu menewaskan Kelantan 3-1, malam kelmarin, terpaksa dibayar dengan harga tinggi apabila dua pemain utamanya yang juga pemain kebangsaan, Mohd Zubir Azmi dan Ismail Faruqi Ashari dilayangkan kad merah.

Derita sama juga dialami pelawat apabila pengadil Mohd Nafeez Abd Wahab turut memerintahkan tiga pemain Kelantan, Mohd Syakir Saari, Daudsu Jamaluddin dan Aziz Ismail keluar padang kerana menerima kad merah.

Jurulatih Irfan Bakti Abu Salim berkata, perlawanan yang bermula rancak bertukar menjadi sedikit tegang pada pertengahan babak pertama yang menyaksikan pemain kedua-dua pasukan gagal mengawal emosi sekali gus menyaksikan lima kad merah dilayangkan pengadil.

“Jika pemain kedua-dua pasukan berjaya mengawal emosi, insiden layangan kad merah mungkin dapat dielakkan. Pertembungan dua finalis Piala FA musim ini memang amat dinantikan peminat dan sudah dijangka sengit, apatah lagi dua pasukan itu berjiran dan seharusnya pemain mampu mengawal emosi masing-masing serta bermain dengan penuh semangat kesukanan,” katanya.

Bagaimanapun, secara keseluruhan jurulatih berasal dari Kelantan itu bangga dengan corak persembahan pemain yang berjaya mengambil peluang terhidang untuk membawa bekalan selesa pada perlawanan suku akhir kedua di Kota Bharu, Jumaat ini.

“Biarpun perlawanan agak panas dan ditambah insiden kad merah dan kuning, secara jujurnya saya puas hati dengan persembahan pemain yang berusaha keras memburu jaringan untuk menewaskan lawan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Terengganu berjaya mendahului Kelantan hasil jaringan Ismail Faruqi pada minit ke-43 sebelum diikat Mohd Badri Radzi menerusi sepakan penalti m-78.

Tuan rumah kemudian menambah dua gol lagi menerusi sepakan penalti Abdul Manaf Mamat m-88 sebelum kapten, Mohd Mazuki Yusof menambah derita pelawat untuk gol ketiga.

Ditanya peluang Terengganu untuk layak ke separuh akhir, jurulatih berusia 60 tahun itu yakin anak buahnya mampu memperagakan aksi bertenaga pada perlawanan kedua kelak.

“Andai aksi yang dipamerkan malam itu (kelmarin) menjadi ukuran, saya percaya Terengganu mampu melangkah ke separuh akhir biarpun bakal menerima tentangan sengit di Kota Bharu.

“Saya juga percaya ketiadaan Ismail dan Zubir tidak akan menjejaskan rentak pasukan kerana kita mempunyai pemain lain untuk menggantikan tempat mereka,” katanya. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga