slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Selasa, 2 November 2010

Giliran Kelantan pula menjulang Piala Malaysia

Setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Kelantan kerana buat pertama kali berjaya menjulang Piala Malaysia pada perlawanan akhir Sabtu lalu. Kemenangan ini menamatkan penantian selama 89 tahun kalau dikira dari bermulanya Piala HMS Malaya pada tahun 1921.

Kelantan dan Negeri Sembilan buat dua tahun berturut-turut layak ke perlawanan akhir dan nampaknya final pada tahun 2010 ini lebih meriah jika dibandingkan dengan tahun sudah. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa pasukan Kelantan berjaya melangkah ke peringkat akhir sebanyak tiga kali sebelum ini dan hanya pada kali yang keempat mereka berjaya merebut piala yang melambangkan kemegahan sukan bola sepak tanah air.

Stadium Nasional Bukit Jalil dibanjiri dengan lebih ramai penyokong pasukan The Red Warriors (hulubalang merah) dengan jumlah keseluruhan penonton kira-kira 90,000 orang. Siapa kata bola sepak tempatan tidak mendapat sambutan?

Sebenarnya Tan Sri Annuar Musa memang sukakan warna merah. Ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan, blazer kementerian berwarna merah juga dan dikenali sebagai The Red Jacket. Jadi tidaklah hairan kalau pasukan bola sepak Kelantan turut bertemakan warna merah dan dipanggil The Red Warriors. Saya kira semangat beliau sebagai pemidato yang cukup memukau mahu diterjemahkan melalui pasukan bola sepak Kelantan yang memakai jersi warna merah menyala.

Sebenarnya mana-mana pasukan bola sepak profesional di negara kita sekarang ini pun mampu untuk memenangi piala-piala yang dipertandingkan, termasuk Piala Malaysia oleh kerana setiap FA negeri boleh mengambil pemain-pemain yang terbaik dengan syarat mereka mempunyai kemampuan kewangan dan jurulatih yang baik. Tidak seperti dulu, negeri-negeri terpaksa bergantung kepada pemain-pemain kelahiran negeri masing-masing.

Walaupun begitu, Selangor dilihat paling beruntung kerana pemain dari negeri-negeri lain berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan ketika sukan bola sepak masih bertaraf amatur. Sekarang ini, pemain-pemain berhijrah menurut di mana terdapatnya majikan yang lebih baik dalam menawarkan gaji masing-masing.

Apa yang amat menarik bagi pasukan bola sepak Kelantan ialah kerana ramainya penyokong dan peminat. Paling ramai kalau dibandingkan dengan pasukan-pasukan bola sepak negeri lain. Peminat bola sepak di Kelantan ini cukup istimewa termasuk gelagat mereka semasa menyaksikan perlawanan tidak kira di Kota Bahru atau di stadium yang lain. Akibat dari gelagat penyokong ini juga Kelantan FA terpaksa menanggung beban membayar denda kerana kesalahan yang dilakukan oleh penyokong-penyokongnya.

Kita sedia maklum bahawa pasukan bola sepak Kelantan adalah satu-satunya pasukan yang mempunyai ramai penyokong setia. Penonton yang ramai memberi pungutan tiket yang lebih baik kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan dan juga kepada FAM oleh kerana sebahagian daripada kutipan ini akan dibayar kepada badan induk bola sepak negara tersebut.

FAM patut menimbangkan supaya FA negeri yang berjaya melangkaui satu tahap sumbangan kepadanya melalui kutipan tiket perlulah diberi insentif. Insentif ini bertujuan untuk membezakan negeri-negeri yang mempunyai ramai peminat yang membeli tiket hasil dari usaha mereka membuat promosi pasukan masing-masing dibandingkan dengan negeri-negeri yang kurang pungutan tiketnya. Insentif ini juga akan merangsangkan FA negeri untuk berusaha menambah jumlah penonton dan kutipan tiket dan secara tidak langsung FAM juga akan mendapat faedah darinya. Insentif ini adalah juga satu cara FAM menggalakkan FA negeri untuk bekerja lebih keras untuk berdikari.

FAM boleh membenarkan FA negeri mengambil pemain-pemain import yang mana ketika ini dilarang dengan syarat mereka mempunyai kemampuan kewangan. Walaupun demikian, kita perlu melihat juga sama ada pemain-pemain import yang sudah bertapak untuk jangka masa yang lama berjaya atau tidak mempertingkatkan prestasi pasukan kebangsaan kita.

Jarak antara tahun 1989 dengan tahun 2009 di mana pasukan bola sepak negara berjaya memenangi pingat emas di Sukan SEA adalah cukup lama. Sekali pandang pemain-pemain import ini tidak memberi apa-apa bantuan dalam memajukan pasukan kebangsaan kita. Dalam pada itu, Kelantan FA juga sudah membuktikan bahawa tanpa pemain-pemain import, stadium mereka tetap penuh juga.-Utusan Malaysia

Terima kasih atas sokongan anda....biar lah kami pula merasa membawa pulang Piala Malaysia idaman semua pasukan bola......

2 ulasan:

  1. semua negeri memang nak merasa bawa pulang Piala Malaysia yg jadi rabutan....kali ini giliran Kelantan....aku suka...

    BalasPadam
  2. tribute utk penyokong Kelate....yg begitu setia menyokong.....

    BalasPadam

Iklan Mangga