slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Jumaat, 25 Mac 2011

Chong Wei tunggu 1 April


Lee Chong Wei bergambar dengan poster Hope & Smile pada sidang media pelancaran dana bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami Jepun di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Selepas sering kali diasak oleh pihak media dengan soalan mengenai Datuk Misbun Sidek, jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei akhirnya mengakui, dia berharap kemelut antara jurulatihnya dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat diselesaikan pada 1 April ini.


Tarikh itu adalah hari di mana BAM akan mengadakan mesyuarat majlis dan kedudukan Misbun antara agenda yang mungkin dibincangkan sepanjang pertemuan itu berlangsung.

"Saya baca berita bahawa Misbun akan mengesahkan kedudukannya pada 1 April ini dan saya harap kali ini ia benar-benar dapat diketahui. Saya harap beliau dapat menyelesaikan masalahnya dengan BAM segera supaya kami boleh meneruskan latihan seperti biasa. Saya memang perlukan beliau untuk menemani saya menghadapi Sukan Olimpik.

"Namun dengan Olimpik sudah semakin dekat iaitu hanya tinggal satu tahun setengah, jadi saya harap beliau boleh balik segera,'' kata Chong Wei ketika ditemui pada majlis pelancaran Tabung Amal Mangsa Gempa Bumi dan Tsunami Jepun di sini, semalam.

Sehingga hari ini, sudah hampir tiga bulan Misbun meletakkan jawatan sebagai jurulatih perseorangan kebangsaan sejak menghantar surat peletakan jawatan pada 31 Disember lalu atas alasan peribadi.

Dalam tempoh tersebut, sudah empat kejohanan disertai oleh Chong Wei iaitu Siri Super Masters Akhir (Januari), Terbuka Malaysia (Januari), Terbuka Korea (Januari) dan All England bulan ini. Dia berjaya memenangi tiga daripada empat kejohanan tersebut, termasuk mempertahankan kejuaraan All England.

Sepanjang ketiadaan Misbun, latihan jaguh No. 1 dunia itu dipantau oleh Tey Seu Bock dan Rashid Sidek, dan Chong Wei ketika ditanya bagaimana dia meneruskan hari-harinya tanpa Misbun berkata: "Saya okey kerana ada Seu Bock dan Rashid.

"Bagaimanapun ia lebih bagus kalau Misbun ada bersama dan membantu saya untuk menghadapi Sukan Olimpik. Saya juga bakal beraksi pada Kejohanan Dunia (London), Ogos ini dan ia tinggal empat bulan saja lagi."

Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh sebelum ini telah diberi mandat oleh ahli majlis dan exco badan badminton itu untuk membuat keputusan mengenai Misbun dan beliau memutuskan untuk memberi tempoh yang agak panjang kepada jurulatih itu membuat keputusan.

Begitupun, selepas berusaha memujuk dan menyuarakan kesediaan untuk berkompromi dalam beberapa isu, sehingga kini BAM masih buntu dengan pendirian Misbun dalam isu kerana kerana jurulatih itu lebih gemar mengambil sikap membisu.

Situasi tersebut turut membingungkan Chong Wei, namun dia menegaskan untuk tidak membenarkan masalah sekeliling menganggu fokusnya dalam usaha memburu lebih banyak kejuaraan antarabangsa.

"Pada saya jurulatih penting, tetapi saya juga perlu memberi tumpuan kepada latihan dan persiapan untuk menghadapi kejohanan, jadi saya tidak mahu terlalu memikirkan masalah lain,'' akui Chong Wei. - Utusan

1 ulasan:

Iklan Mangga