slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Selasa, 31 Mei 2011

Tewas 'Mentor 5', Iqa & Ayish Jadi Artis KRU


Iqa hanya layak mendapat tempat ketiga dalam Mentor 5. - Foto LOW BOON TAT
PETALING JAYA: Baru sahaja program Mentor musim kelima melabuhkan tirai, Ahad lalu, pemenang tempat ketiga, Iqa, 25, sudah dilamar menjadi artis KRU Studios milik adik-beradik Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim.
Bukan Iqa sahaja, seorang lagi bekas peserta Mentor 5, Ayish iaitu protege kepada Noh (Hujan) turut memilih untuk bernaung di bawah syarikat berkenaan.
Bonus kepada Iqa atau nama sebenarnya Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor apabila dia menjadi anak didik kepada Edry sepanjang tiga bulan menyertai program terbitan TV3 itu.
Malah, KRU juga telah menerbitkan cakera padat “single” terbarunya berjudul Di Penghujungnya yang akan diedarkan di stesen radio tempatan.
Edry juga telah mengatur perancangan untuk jangka masa panjang Iqa termasuklah menerbitkan album untuknya.
“Saya sudah mencetak “single” untuk diberikan kepada semua stesen radio terutama Hot FM. Saya juga tidak mempunyai masalah merakam album untuk Iqa.
Iqa berduet dengan Faizal Tahir.
“Saya melihat dia lebih cenderung menyanyikan lagu berentak pop rock. Selain Iqa, Ayish juga ingin menjadi artis rakaman KRU. Saya juga mengalu-alukan protégé yang lain untuk menyertai kami,” kata Edry sewaktu sidang media di Stadium Malawati, Shah Alam.
Menyorot sebalik kekalahan Iqa yang hanya layak mendapat tempat ketiga, Edry akui persaingan yang diberikan setiap peserta agak sengit.
Bagaimanapun, dia sedikit berpuas hati dengan kedudukan Iqa yang berjaya ke peringkat akhir walaupun pada mulanya dia mendapat kedudukan tercorot.
“Dia sudah melakukan yang terbaik sepanjang tiga bulan ini. Saya tak nafikan agak mencabar juga untuk mendapat tempat di hati penonton,” jelas Edry.
Sementara itu, Iqa terpaksa akur dengan keputusan tersebut walaupun mentornya telah menyediakan latar belakang pentas yang kreatif dan susunan muzik menggunakan orkestra.
Ayish.
“Saya rasa terharu bercampur gembira apabila berjaya ke peringkat akhir. Bagaimanapun saya tak nafikan berasa sedikit kecewa kerana gagal bergelar juara,” ujar Iqa.
Iqa menyanyikan empat buah lagu iaitu Ganas (duet dengan Edry), Ku MohonKarma (duet dengan Faizal Tahir) dan Di Penghujungnya (single terbaru).
Dalam Mentor Ahad lalu, Salmah A. Asis, 21, atau Salma menjadi juara rancangan itu sehingga melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 serta sebuah kereta Chevrolet Cruz.
Selain Salma, mentornya iaitu Erra Fazira turut mendapat wang tunai dengan jumlah yang sama. - mStarOnline

Nenek 74 tahun ahli bina badan


ERNESTINE SHEPHERD tersenarai dalam Guinness Book of Records sebagai ahli bina badan wanita tertua.

BALTIMORE - Walaupun sudah berusia 74 tahun dan bergelar nenek, kekuatan dan stamina Ernestine Shepherd sukar ditandingi oleh wanita muda.
Malah, warga emas itu diiktiraf Guinness Book of Records sebagai ahli bina badan wanita kompetitif paling tua di dunia.
"Usia hanyalah angka semata-mata," kata Ernestine yang mempunyai perut langsing dan berotot.
Suaminya yang berusia 54 tahun, Collin Shepherd berkata, sejak 18 tahun lalu, isterinya telah menyertai 18 acara marathon dan memenangi dua pertandingan bina badan.
Pasangan tersebut menetap di Baltimore, Amerika Syarikat (AS) bersama anak lelaki dan seorang cucu yang berusia 14 tahun.
Mengenai rutin hariannya, Ernestine bangun seawal pukul 3 pagi untuk bermeditasi sebelum berjoging sejauh 16 kilometer di sebuah taman.
Dia cuma makan nasi perang, dada ayam dan sayuran bersama segelas putih telur tiga kali sehari untuk kekal bertenaga dan langsing. - Agensi

Lagi dakwaan rasuah melibatkan pegawai FIFA


ZURICH - Satu e-mel bocor mendakwa Qatar ada membeli hak untuk menjadi hos Piala Dunia 2022. E-mel yang didedahkan oleh Timbalan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Jack Warner itu mendakwa Presiden Konfiderasi Bola Sepak Asia (AFC), Mohamed Hamam ada membuat perjanjian supaya negara teluk tersebut terpilih untuk menjadi hos Piala Dunia.
E-mel itu dihantar oleh Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke yang mengesahkan bahawa isi kandungannya adalah tulen. Menurut satu kenyataan Warner, Valke menghantar e-mel tersebut kepadanya untuk memberitahu, Hammam 'membeli' Piala Dunia 2022 bagi negaranya, Qatar.
Pendedahan terbaru itu pastinya akan membawa kepada undian yang terpaksa dilakukan semula berikutan timbulnya tuduhan rasuah yang baru.
Sebelum ini, timbul banyak persoalan bagaimana sebuah negara kecil dengan suhu mencecah 50 darjah selsius boleh memenangi hak untuk menjadi tuan rumah perlawanan bola sepak Piala Dunia.
Kelmarin, Presiden FIFA, Sepp Blatter dibebaskan daripada tuduhan rasuah. Sementara Warner dan Hammam pula digantung daripada bertanding jawatan presiden dan apa jua aktiviti membabitkan FIFA. - Agensi

Sabtu, 28 Mei 2011

Messi and friends to earn 7,000 per minute if they win


Lionel Messi and Co will earn £650,000 each if they win the Champions League for Barcelona - nearly double Manchester United's bonus.
 
The Catalan giants are set to cough up an estimated £16million for the entire squad should they beat United in a Champions League final for the second time in three years.

It works out at more than £7,000 per minute or £120 for every second on the pitch.
The Nou Camp outfit used to announce the bonuses given to players but have changed practice since new president Sandro Rosell came to office last summer.
But SunSport understands the amount paid out will be almost identical to that of 2009.
When Barca beat United 2-0 in Rome to complete the Treble two years ago, they picked up around £15.5m.
The amount is not evenly spread among the squad members as it is believed World Footballer of the Year Messi and stars like Xavi and Andres Iniesta will pocket well over a million each.
Fringe players will earn around £100,000 should Barcelona lift the European Cup for a fourth time. Wayne Rooney and his team-mates can expect to pick up around £350,000 a man if they beat Barcelona as part of a £9m reward for winning the title and conquering Europe.
Boss Pep Guardiola yesterday led Barcelona's second training session at Arsenal's London Colney headquarters.
Guardiola said: "We cannot waste this opportunity.
"We have to be conscious of the fact that although we have played two finals in the last three years, we could go another 20 years without making it to another." -www.thesun.co.uk

Jumaat, 27 Mei 2011

‘Kami hanya ikut arahan’


“KAMI tidak bersalah. Kami hanya mengikut arahan jurulatih (Harun Rasheed) untuk menghilangkan diri. Malah kami tidak tahu kenapa diarahkan begitu”.

Pendedahan itu dinyatakan atlet olahraga negara, Siti Fatimah Mohamad selepas didakwa lesap bersama-sama empat rakan sepasukannya yang lain ketika menjalani pemeriksaan perubatan di Institut Sukan Negara (ISN) pada Selasa lalu.

Empat lagi rakannya yang lain yang beraksi dalam acara lari berganti-ganti 4x100 meter adalah Siti Zubaidah Adabi, Nurul Sarah Kadir, Norjannah Hafiszah Kamaruddin dan Yee Li Leng manakala pelari pecut 100 meter, Mohd Noor Imran A. Hadi yang turut diarahkan berbuat demikian langsung tidak muncul di ISN.

“Sebenarnya saya tidak pasti kenapa jurulatih (Harun) segera mengarahkan kami beredar dari ISN selepas mengetahui terdapat ujian air kencing,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut pemenang pingat emas Sukan Malaysia 2008 itu, dia tidak mengetahui punca sebenar yang berlaku sehingga Harun mengarahkan mereka tidak menjalani ujian air kencing itu sama ada ia mempunyai kaitan dengan pengambilan sejenis pil yang diberikan oleh ketua jurulatih negara itu sejak beberapa minggu ini.

Dia bagaimanapun hadir bersama-sama Siti Zubaidah dan Li Leng di ISN pagi semalam bagi memberikan sampel air kencing seperti yang diminta, namun tiga rakannya yang lain masih belum berbuat demikian.

“Saya tidak boleh berbuat apa-apa kecuali menunggu hasil keputusan itu. Saya kena menerimanya,” katanya yang turut menjelaskan akan turun menjalani latihan seperti biasa.

Sampel air kencing ketiga-tiga atlet itu dihantar ke makmal di New Delhi, India semalam dan diuji Isnin dengan keputusannya bakal diketahui dalam tempoh 48 jam.

Semua atlet berkenaan sebelum ini menggemparkan arena sukan negara, Selasa lalu apabila menghilangkan diri selepas diminta memberikan sampel air kencing di ISN sebagai prosedur biasa sebelum dijadualkan berlepas ke Bulgaria bagi menjalani latihan dan pertandingan di sana.

Selain dianggap sebagai melanggar arahan dan boleh dikenakan tindakan disiplin, ia juga menimbulkan pelbagai spekulasi dan tanggapan buruk yang mungkin membabitkan penggunaan dadah terlarang seperti yang terjadi ke atas beberapa atlet negara sebelum ini sama ada mereka dalam keadaan sedar atau sebaliknya. - myMetro

Indra Putra cerai guna SMS


IPOH: “Saya sedih kerana kelibatnya langsung tidak kelihatan ketika anak bongsu kami dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini baru-baru ini kerana paru-parunya dijangkiti kuman,” kata Norliaton Murni Zainal Abidin, 31, janda kepada bekas penyerang skuad kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin.

Norliaton berkata demikian selepas memfailkan tuntutan nafkah di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam. 

Selain tuntutan nafkah mutaah dan edah, Norliaton turut memfailkan hak penjagaan tiga anak berusia antara lapan tahun dan dua bulan kerana mendakwa Indra Putra, 30, yang kini menjadi penyerang utama pasukan T Team, gagal memberikan nafkah serta mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Norliaton memfailkan sendiri permohonan itu tanpa diwakili peguam dan hadir ke mahkamah, semalam ditemani bapanya. Sebelum ini, mahkamah sama turut mengesahkan pasangan berkenaan yang berkahwin pada 2003, sudah bercerai talak satu pada 18 Mei lalu.

Indra Putra didakwa melafazkan cerai menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) ketika Norliaton dalam tempoh berpantang anak ketiga, Alya Nur Zalia yang baru berusia dua bulan pada 27 April lalu.

Norliaton yang juga seorang suri rumah berkata, kali terakhir Indra Putra pulang menjenguk mereka Aidilfitri.

“Sejak itu dia sukar dihubungi sehinggalah saya menerima SMS dia ‘melepaskan’ saya pada penghujung bulan lalu.

“Saya berharap kami dapat menyelesaikan perkara ini secara baik. Jadi saya minta dia jangan abaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan hormatilah kami yang menjadi sebahagian daripada hidupnya,” katanya.

Bagaimanapun Indra Putra yang muncul wira T Team dengan menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan Kelantan 2-1 sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan di tempat sendiri dalam saingan Liga Super malam kelmarin, tidak kelihatan sepanjang prosiding terbabit.

Norliaton berkata biarpun sedih terutama dengan tindakan Indra Putra tidak menjenguk anak-anaknya, dia reda menerima perpisahan itu.

Selain Alya Nur Zalia, Indra Putra turut mempunyai dua anak lelaki, Airul Putra, 8, dan Ady Ilhan Putra, 5, hasil perkongsian hidup mereka selama lapan tahun. - myMetro

Khamis, 26 Mei 2011

SHOWDOWN 2011: Borneo Crew Tidak Puas Hati Disingkir


SHAH ALAM: Kumpulan Borneo Crew (BRC) tidak berpuas hati apabila mereka disingkir daripada pertandingan Showdown 2011 yang berlangsung di I-City di sini malam Rabu.
Menurut ahli kumpulannya, Weskarnain Mohd Yasin, 24, dia dan rakannya tidak menjangkakan mereka akan terkeluar daripada pentas tarian Showdown dan menganggap pihak juri yang terdiri daripada penari profesional, Mapple Loo, Lady D dan Joe Flizzow tidak adil.
"Setahu saya, kumpulan kami mempunyai ramai peminat lebih-lebih lagi BRC pernah bertanding sehingga ke luar negara.
"Hal ini membuatkan kami kurang faham, apakah kehendak pihak juri kerana kumpulan-kumpulan B-Boy seperti kami sering mendapat markah terendah," katanya selepas pertandingan tersebut.
Bagaimanapun, tambah Weskarnain, mereka terpaksa akur dengan keputusan tersebut dan akan meneruskan dengan perjuangan menaikkan kembali tarian B-Boy.
"Bila mengenangkan susah payah kami yang datang jauh dari Sabah, ia sangat menyedihkan lebih-lebih lagi apabila kami terpaksa berlatih merata-rata tempat sampaikan kena halau.
"Sedangkan kumpulan lain masing-masing dapat berlatih di studio yang selesa.
"Justeru itu kami bercadang untuk menetap sementara di Kuala Lumpur, mana tahu ada rezeki di sini," tuturnya.
Selain BRC, kumpulan Rokustep (RKS), Blazin Squad (BSQ) dan Force 136 (FRC) turut mendapat markah terendah.
Lapan kumpulan yang terselamat termasuklah Panic (PNC), Bounce Stepperz (BOS), Borneo Crew (BRC), Elecoldxhot (ECX) dan Stepholic (STP) akan meneruskan perjuangan dalam Showdown 2011 bagi merebut gelaran juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000.
Tema untuk persembahan minggu hadapan ialah New Kids On The Block Back Street Boys dimana setiap kumpulan akan menggunakan kreativiti menunjukkan skil tarian masing-masing.
Showdown 2011 bersiaran secara langsung di saluran 8TV pada setiap Rabu, pukul 9.30 malam.
Bagi yang ingin mengikuti kisah di sebalik tabir pertandingan itu, siaran Showdown 2011 Diaries... From the Streets disiarkan pada setiap Selasa pukul 11.30 malam. - mStarOnline

Fergie sanggup terima Ronaldo


Alex Ferguson

LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson membuka pintu untuk Cristiano Ronaldo (gambar) membuat kepulangan sensasi ke Old Trafford.

Fergie telah memberitahu rakan baiknya, jurulatih yang membawa Itali memenangi Piala Dunia, Marcello Lippi bahawa Ronaldo dialu-alukan kembali ke Manchester United.

Ronaldo berpindah menerusi bayaran perpindahan 80 juta pound dari United ke Real Madrid pada 2009.

Lippi berkata: "Alex memberitahu saya bahawa dia mahu membawa balik Ronaldo, esok.

"Kami merasakan dia penyerang luar biasa yang boleh bermain pada kedua-dua posisi sayap atau sebagai penyerang solo dan beraksi amat bijak.

"Namun, kehebatan sebenar Cristiano ialah dia sentiasa menjaringkan gol."

Ronaldo melalui musim terhebat apabila memecah rekod jaringan La Liga dengan 40 gol. Dia menjaringkan 51 gol yang menjadi rekod Real.

Namun, hubungannya dengan pengurus Jose Mourinho tegang dan dia mengakui rindukan Ferguson dan kehidupan di Old Trafford. - Agensi

'KL Gangster' Papar 80 Peratus Kisah Benar


Rizal (kanan) menjadi pembantu pengarah dan penulis skrip filem KL Gangster di samping Syamsul.
PETALING JAYA: Penulis skrip dan pembantu pengarah filem KL Gangster, Rizal Ashraff, 28, mengakui 80 peratus perjalanan cerita tersebut berkaitan kisah benar yang berlaku mengenai kehidupan gengster di ibu kota.
Filem ini bakal ditayangkan di 90 pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura mulai 9 Jun ini.
Kisah benar itu memberikan suntikan realiti untuk menghidupkan dan lebih menyelami dunia sebenar gengster.
“Sebagai penulis skrip bersama Syamsul Yusof (pengarah), saya cuba memaparkan tentang seseorang yang terjebak dalam dunia hitam dan bagaimana cabaran yang dilalui sebagai gengster.
“Cerita ini bukan sahaja memberi pengajaran, malah menyampaikan tentang perkara yang mungkin orang luar tidak tahu tentang gengster,” ceritanya kepada mStar Online.
Tambahnya: “Saya mempunyai beberapa kenalan yang terlibat dengan dunia gengsterisme. Ada yang hidup senang dengan kegiatan yang dilakukan.
“Setelah dipenjarakan, mereka benar-benar insaf dan ingin ‘cuci tangan’. Tetapi setelah keluar dari penjara, mereka mengalami kesempitan hidup dan sukar mendapat kerja tetap.
“Ada juga yang menjadi mangsa apabila musuh berdendam dengan mereka sehingga menyebabkan mereka terpaksa kembali semula ke dunia hitam itu. Jadi, mereka terpaksa memilih sama ada melakukan kerja halal atau tidak.”
Sementara elemen drama dan kekeluargaan yang disuntik dalam filem itu merupakan rekaan semata-mata untuk menjadikan jalan cerita lebih menarik.
“Pengajaran yang kita cuba disampaikan adalah sekali kita masuk ke dunia hitam, dendam manusia tidak pernah tamat.
“Begitu juga dengan kisah adik-beradik yang sanggup bergaduh kerana duit,” katanya yang merupakan sepupu kepada Syamsul.
Selain bekerja di belakang tabir, Rizal turut berlakon drama Awan Dania serta filem Evolusi KL Drift dan Evolusi KL Drift 2. - mStarOnline 

Rooney amat bahaya – Gerard Pique


BARCELONA – Tonggak pertahanan Barcelona, Gerard Pique menyifatkan bekas rakan sepasukannya, Wayne Rooney sebagai pemain yang sangat berbahaya apabila pasukannya menentang Manchester United pada final Liga Juara-Juara Eropah, Sabtu ini.

Pique amat mengenali United kerana menghabiskan empat musim di Old Trafford sehingga 2008.

Dia berpindah ke England pada usia 17 tahun, tetapi gagal mencipta impak untuk berada dalam skuad utama dan kembali ke Catalonia.

Sejak itu Pique berjaya meningkatkan permainan dan muncul antara pertahanan terbaik dunia, termasuk memenangi tiga kejuaraan pada musim pertama di Barcelona dan menumpaskan United pada final di Rome.

Dia akan kembali berdepan bekas pasukannya dan Pique sedar dia perlu berada dalam fizikal terbaik untuk menyekat Rooney daripada mengancam kubu pasukannya.
Rooney

“Rooney antara penyerang terbaik dan telah menjaringkan banyak gol. Saya perlu memberikan sepenuh tumpuan untuk tidak memberi ruang kepadanya. Saya mempunyai hubungan yang baik dengannya, tetapi kami mahu memenangi perlawanan ini dan kami akan berjuang untuk kepentingan pasukan masing-masing.

“Dahulu saya sentiasa mendapat kesukaran setiap kali kami bermain pada sesi latihan, ia sama sukar dengan berdepan (Lionel) Messi,’’ ujar Pique.

Pique, yang memainkan peranan penting ketika membantu Sepanyol menjulang Piala Dunia tahun lalu, turut memberi penghormatan kepada pengurus United, Alex Ferguson, yang memainkan peranan besar dalam kariernya.

“Dia telah memenangi banyak kejuaraan. Sekalipun pasukannya sentiasa berubah, dia terus menang dan menang.

“Saya mengharungi beberapa tahun yang bagus di Manchester, tetapi Barcelona adalah rumah saya dan saya mahu kembali, Ferguson memahaminya,’’ ujar Pique.

Jurulatih Barca, Pep Guardiola belum memutuskan barisan pertahanan yang akan mengekang United, namun Javier Mascherano hampir pasti akan mengetuai pertahanan tengah, sambil dibantu Pique, ketika Carles Puyol belum cergas seratus peratus selepas bergelut dengan kecederaan panjang.

Mascherano, bekas tonggak Liverpool mengakui, ia merupakan perlawanan terbesar dalam kariernya dan dia tidak melupakan memori hitam dilayangkan kad merah ketika menentang United pada aksi Liga Perdana England 2008.

“Pengadil melakukan kesilapan besar ketika saya dibuang padang, tetapi perlawanan ini sama sekali berbeza, ia bukan lagi pertemuan di antara United dan Liverpool tetapi ia final Liga Juara-Juara.

“Selepas tiga tahun setengah bersama Liverpool, anda pasti akan berasa sedikit berbeza apabila berdepan musuh lama sekali lagi, kerana saya sekarang adalah pemain Barca,’’ katanya. – AFP

Enam atlet pecut negara 'hilang'


ENTAH apa silapnya, arena sukan olahraga negara digemparkan dengan satu lagi cerita yang kurang enak.
Selepas dipalit dengan pelbagai kontroversi serta ‘perang mulut’ antara orang kuat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM) dengan individu tertentu dalam Majlis Sukan Negara (MSN), kini timbul satu lagi senario negatif yang dilihat mampu menjejaskan pembangunan sukan olahraga tanah air.
Ini kerana, enam atlet pecut negara, seorang lelaki dan lima wanita bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan perubatan ketika diminta menjalani ujian anti-doping yang diadakan di Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil kelmarin.
Turut menghilangkan diri ialah jurulatih yang bertanggungjawab ke atas keenam-enam atlet tersebut.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, lima atlet wanita itu pada mulanya hadir di ISN bagi menjalani pemeriksaan perubatan tetapi menghilangkan diri apabila diberitahu mereka perlu menjalani ujian anti-doping.
“Lima atlet wanita tersebut memberikan alasan belum bersarapan dan terus menghilangkan diri sehingga hari ini (semalam) biarpun pegawai MSN berulang kali cuba menghubungi mereka melalui telefon bimbit masing-masing.
“Selepas itu, pegawai MSN menghubungi jurulatih mereka tetapi gagal.
“Manakala seorang atlet lelaki itu pula langsung tidak menghadirkan diri bagi tujuan pemeriksaan perubatan dan ujian anti-doping,” kata Zolkples pada sidang media di pejabat MSN di Bukit Jalil semalam.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz.
Bagaimanapun, Zolkples enggan mendedahkan nama keenam-enam atlet yang terbabit.
Pemeriksaan perubatan tersebut dibuat MSN bagi memastikan atlet-atlet olahraga negara berada pada prestasi terbaik mereka sebelum berlepas ke Bulgaria Sabtu ini untuk menjalani latihan dan menyertai beberapa siri kejohanan di pentas Eropah.
Sementara itu, Ramlan menjelaskan, mengikut peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA), atlet-atlet yang terbabit wajib memberikan sampel air kencing mereka sekiranya diminta berbuat demikian.
“Mereka perlu mengisi borang terlebih dahulu dan dalam tempoh satu jam, perlu memberikan sampel air kencing. Jika mereka enggan, itu satu kesalahan,” jelasnya.
Tambah beliau, mengikut prosedur, pihaknya akan membuat tiga percubaan untuk mengesan dan menghubungi atlet terbabit.
“Jika terus gagal dikesan dan dihubungi, ISN akan membuat laporan kepada MSN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), WADA dan badan induk olahraga dunia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Selain atlet yang akan ke Bulgaria, atlet olahraga lain yang turut menjalani pemeriksaan perubatan dan ujian anti-doping kelmarin ialah jaguh 400 meter berpagar wanita negara, Noraseela Khalid, Tan Song Hwa (baling tukul besi wanita) dan Loo Choo Sieng (jalan kaki lelaki). - Kosmo

Isnin, 23 Mei 2011

Arumi kembali kepada keluarga


JAKARTA: Pelakon remaja, Arumi Bachsin berasa senang berada di samping Menteri Negara Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak, Linda Gumelar di kediamannya. 

Arumi juga meluahkan resa lega kerana masalah keluarga sudah selesai dan dia tidak menyesal dengan apa yang berlaku selama ini.
disaat pertemuan bersama orangtuanya

Bintang remaja itu kini tersenyum bahagia dapat berkumpul semula dengan ibu bapanya selepas lari dari rumah sejak akhir Oktober tahun lalu. Arumi berasa senang kerana semua sudah kembali seperti sedia kala dan dia tidak menyesal dengan kejadian yang dialaminya.

“Ya, pasti senang dapat kembali seperti sedia kala. Lagi pun, jika tiada pengalaman ini, nanti tiada cerita menarik dalam hidup,” ujar Arumi ketika ditemui di kediaman Linda, di Jalan Wijaya, Jakarta Selatan, semalam.

Menurut remaja berusia 17 tahun itu, kejadian yang dialami adalah proses yang mematangkan dirinya. Dia berharap pengalaman itu menjadi pengajaran buat remaja lain. - myMetro

Kelantan kekal status pendahulu


NORSHAHRUL (tengah) mengelak daripada diterjah pertahanan Harimau Muda A, Gary Steven Robbat pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.

KELANTAN kekal di tangga teratas Liga Super meskipun sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam malam tadi.
Izzaq Faris Ramlan meletakkan Harimau Muda A di hadapan pada minit ke-13 menerusi lambungan cantik menewaskan Khairul Fahmi Che Mat hasil hantaran jauh penjaga golnya, Izham Tarmizi Roslan.
Namun Kelantan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-31 setelah S. Chanthuru menanduk masuk sepakan sudut Badhri Radzi.
Harimau Muda A kembali di hadapan pada minit ke-69, juga hasil ledakan Izzaq Faris yang menyudahkan hantaran cantik Fandi Othman dari sebelah kiri.
Bagaimanapun, Norshahrul Idlan Talaha muncul penyela- mat Kelantan apabila berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-86 hasil rembatan dari dalam kotak penalti mene- waskan Izham Tarmizi.
Sementara itu, Terengganu berjaya merampas tangga kedua daripada Selangor setelah mudah menewaskan Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Abdul Manaf Mamat mele- dak dua gol pada minit ke-26 dan 57, manakala satu lagi gol disumbang Ashari Samsudin minit ke-64.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Selangor terus bernasib malang apabila tewas 1-2 kepada Pahang.
Pahang membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi Azamuddin Mohd. Akil yang merembat kencang bola ke gawang Selangor bagi menewaskan penjaga gol, Mohd. Iqbal Suhaimi.
Pahang kian bersemangat dan menggandakan usaha untuk menambah gol, namun keputusan 1-0 kekal sehingga berakhir babak pertama.
Di babak kedua, Pahang menambah derita Selangor apabila Mohd. Munir Ahmad meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-80.
Selangor mendapat gol sagu hati menerusi jaringan D. Surendran yang mengambil sepakan percuma pada masa kecederaan.
Berbaki lima perlawanan, Kelantan dan Terengganu kini berkongsi 44 mata tetapi Kelantan berkelebihan dari segi perbezaan gol, manakala Selangor turun ke tangga ketiga dengan kekal 42 mata. - Kosmo

Sabtu, 21 Mei 2011

Ririn tak kisah digelar perempuan nakal


JAKARTA: Dalam kebanyakan watak yang dilakonkan, artis Ririn Setyarini sering memilih watak sensasi. Bintang filem ‘Arwah Goyang Karawang’ itu mengaku tidak bimbang digelar sebagai perempuan nakal.

“Ya, apa boleh buat, rezeki saya sudah di situ. Orang mahu cakap apa pun, saya tidak peduli. Biar orang yang dekat dengan saya dan Tuhan saja yang tahu saya ini orang yang bagaimana,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di STC Senayan, Jakarta, semalam.

Wanita kelahiran Manado pada 23 Mac 1989 itu mengaku tidak takut dengan cemuhan masyarakat kerana watak nakal yang dilakonkan hanya tuntutan pekerjaan yang perlu dibuat.

Apabila ditanya mengapa dia sering diberi watak seksi, Ririn mengatakan satu daripada sebabnya adalah kerana dia memiliki tubuh yang seksi.

“Ramai yang mengatakan tubuh saya seksi,” ujarnya sambil tertawa.

Walaupun kerap tampil dengan watak seksi, pelakon filem ‘Setan Kok Beneran’ itu memberitahu dia mendapat sokongan ibu bapa untuk berlakon. -DH

RM732 juta harga Ronaldo


MADRID – Real Madrid dilapor bersedia menjual Cristiano Ronaldo kepada Manchester City. Namun Real hanya akan melepaskan ‘ayam tambatan’nya itu dengan harga £150 juta (RM732.7 juta), nilai perpindahan termahal di dunia jika Ronaldo menyertai City.
Selain nilai perpindahan yang tinggi itu, Ronaldo yang juga pemain termahal di dunia selepas berhijrah ke Santiago Bernabeu, turut akan ditawarkan gaji sebanyak £300,000 (RM1.5 juta) seminggu serta kontrak selama lima tahun yang mencecah nilai keseluruhan £228 juta (RM1.1 bilion)
Kelab gergasi Sepanyol itu menyedari bahawa City satu-satunya kelab yang mampu untuk mencipta rekod pembelian tertinggi tersebut.
Biarpun City cuba menafikan terdapat sebarang usaha untuk membeli Ronaldo, sumber dalaman Real mendedahkan bahawa wakil dari Eastlands itu sudah pun bertanyakan kepada mereka tentang kemungkinan perpindahan tersebut.
Harga yang tinggi itu mungkin membuatkan pemilik City, Sheikh Mansour sedikit merungut tetapi ia pasti menjadi satu perpindahan yang cukup menggemparkan seandainya Ronaldo kembali ke England.
Ronaldo, 26, yang dibawa masuk ke Real dengan yuran perpindahan bernilai £80 juta (RM350 juta) pada 2009, pernah menjadi wira di Old Trafford ketika bersama United.
Para penyokong United pasti sekali lagi akan berasa berang seandainya perpindahan Ronaldo ke City menjadi realiti setelah mereka melihat Carlos Tevez turut melakukan perkara sama dengan berhijrah ke kelab jiran setempat itu.
Fernando Torres kini bergelar pemain termahal di England dan ketiga termahal di dunia setelah dia menyertai Chelsea dari Liverpool dengan harga £50 juta (RM245.5 juta) pada penghujung Januari lalu.
Sebelum itu, rekod perpindahan tertinggi di England dipegang Tevez ketika dia berhijrah dari United dengan harga £47 juta (RM230.8 juta) pada 2009. – Agensi

PKNS FC dinobat juara Liga Premier 2011


Pemain dan pegawai pasukan PKNS meraikan kejayaan menjuarai Liga Super 2011 setelah mengalahkan Johor 2-0 dalam perlawanan di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, malam tadi. - UTUSAN/ Noor Asrekuzairey Salim

KELAB dari Selangor, PKNS FC sah bergelar juara Liga Premier musim ini setelah berjaya menewaskan Johor 2-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi.
Biarpun masih berbaki tiga perlawanan, PKNS FC tidak mampu lagi dipintas pasukan di tangga kedua, Sarawak dengan mengumpul 51 mata hasil 16 menang, tiga seri dan masih belum tewas.
Dengan kejuaraan sulung itu selepas lapan musim mereka beraksi di Liga Premier, PKNS FC kendalian jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim akan mencipta sejarah beraksi pada saingan Liga Super 2012.
Pada aksi malam tadi, PKNS FC yang turun dengan hanya memerlukan satu mata untuk sah bergelar juara terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.
Namun bersambung babak kedua, PKNS FC berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-59 menerusi tandukan Ahmad Tharmini Saiban hasil sepakan percuma kapten, Fadhil Hashim.
PKNS FC semakin kukuh apabila memperoleh gol kedua pada minit ke-73 mene- rusi sepakan voli menarik Azrif Nasrulhaq Badrul yang gagal diselamatkan penjaga gol Johor, Syamim Othman.
Pada perlawanan lain, Sarawak turut mencipta kemenangan selepas menewaskan PDRM 3-0.
MP Muar pula seri 2-2 dengan Pos Ma- laysia, manakala SDM Navy menewaskan Sime Darby 2-1.
ATM terus menghukum Pulau Pinang selepas mencatat kemenangan 1-0, manakala USM FC mengecewakan Harimau Muda B 1-0. - Kosmo

Jumaat, 20 Mei 2011

Dituduh bercinta dengan Anding




MD Amran Hj Ismail, masih ramai yang tidak mengenali nama ini, namun bagi mereka yang pernah menonton filem pendek kontroversi, Chukang, sudah tentu wajah dan nama lelaki ini pernah bermain di dalam kotak fikiran mereka.
Malah dek kerana dirinya yang masih mentah dalam dunia seni membuatkan langkah kaki anak muda ini seakan terhenti seketika sewaktu filem Chukang ini dilanda kontroversi sedikit masa lalu.
Kini ketika dia baru sahaja mahu melebarkan sayapnya dalam dunia lakonan, sekali lagi nama Amran tercalar dengan kontroversi besar apabila dia ditudah menjalinkan hubungan songsang dengan pelakon dan penyanyi, Anding.
Di lapor sedang hangat bercinta, pasangan ini turut dituduh melakukan perbuatan sumbang di depan khalayak selain pernah dikatakan bercuti bersama di sebuah pulau, dan diibaratkan seperti sedang berbulan madu.
Malu dan tertampar dengan apa yang dituduh, Amran akan membuat satu sidang media untuk menjelaskan tentang perkara itu.
"Saya baru sahaja menanda tangani perjanjian dengan syarikat MIG minggu lepas, dan pihak MIG meminta agar saya tidak memberi sebarang komen terdahulu tentang perkara ini sebelum mereka melakukan sebarang sidang media minggu hadapan.
"Namun secara peribadi, saya memang terkejut dengan apa yang dilaporkan semalam, seluruh peminat dan ahli keluarga menghubungi saya untuk bertanya tentang perkara ini, namun saya tidak boleh membuat sebarang penjelasan sekarang.
"Subhanallah, Nauzubillah, perkara ini sangat memalukan dan ia satu fitnah yang besar dalam hidup saya. Jujurnya, saya tak berani nak komen lanjut kerana sebagai orang islam, saya tidak boleh menuduh sebarang orang yang menjadi penyebab dan penyebar cerita ini.
"Apa yang boleh saya katakan, saya harap peminat dan keluarga memihak pada saya dan memberi semangat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang ini,"jelas Amran.
Terkena Buatan Orang
Bercerita lanjut tentang perkara ini, jelas Amran namanya sudah tercemar semenjak dia memulakan lakonan dahulu, malah dia mengakui selalu diugut dan adakalanya seperti terkena buatan orang.
“Sejak dahulu saya seringi di ganggu oleh orang yang tidak dikenali, setiap hari ada yang menelefon saya, mengajak untuk melakukan seks. Saya terkejut dan bila disiasat, rupanya ada orang lain yang menggunakan nama dan gambar saya di laman web songsang.
“Setiap hari saya diganggu dengan kiriman sms yang mengajak saya melakukan hubungan songsang, dan semua mesej-mesej yang dihantar masih berada di dalam simpanan saya, jika perkara ini berlarutan, saya akan buat laporan polis untuk menyiasat tujuan sebenar mereka,” luah pelakon drama Bila Musang berjanggut, Bella, dan Sang putera Aurora.
"Dua tiga minggu yang lepas, badan saya tak sihat, seluruh badan seperti di cucuk-cucuk dengan jarum yang tajam, tapi saya tidak tahu semua perkara ini ada hubung kait atau tidak dengan penyebaran fitnah ini,"sambungnya lagi.
Jatuhkannya
Melihat pada sisi lain, jelas Amran dia hanya bersangka ada seseorang cuba menjatuhkan dirinya dalam bidang ini, malah dia juga menjelaskan hubungannya bersama Anding bukanlah seakrab yang di gambarkan.
"Anding kawan saya, kami mempunyai minat yang sama iaitu bila ada masa lapang kami akan pergi ke gimnasium.
"Apa yang diceritakan dalam gosip itu tidak benar sama sekali. Kami tidak pernah bercium di khalayak dan kami juga tidak pergi ke pulau berkenaan untuk berbulan madu,"jelasnya lagi. - manggaonline

Liga Malaysia bersih - PDRM


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) bersalam dengan Chris Eaton sambil diperhatikan Salleh Mat Rashid pada taklimat dan perbincangan bersama delegasi keselamatan FIFA di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

PETALING JAYA - Bola sepak Liga Malaysia masih bersih dan selamat daripada sebarang anasir yang boleh dikaitkan dengan aktiviti mengatur perlawanan dan perjudian buat setakat ini.

Itu kesimpulan yang boleh dinyatakan oleh Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/ KA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid berhubung status sebenar isu berkenaan.

Biarpun masih belum ada sebarang kes mengenai kegiatan mengatur perlawanan, beliau memberikan jaminan pihak polis sama sekali tidak akan bersikap leka dalam soal itu bagi memastikan penyakit yang pernah melanda bola sepak negara pada tahun 1995 tidak akan berulang kembali.

''Sepanjang siasatan kami buat masa ini, saya boleh beritahu tidak ada mana-mana pihak yang kami dapati terlibat dalam jenayah mengatur perlawanan dalam saingan Liga Malaysia.

''Ini berdasarkan maklumat yang kami dapati selepas bekerjasama rapat dengan FIFA yang sentiasa menyalurkan apa-apa perkembangan kepada kami.

''Walaupun setakat ini pihak kami belum berdepan mana-mana kes, kami tetap komited menubuhkan unit bertindak khas bagi memantau kegiatan perjudian dan mengatur perlawanan dari masa ke semasa.

''Pasukan khas ini juga akan terdapat di setiap negeri bagi bekerjasama dengan setiap Persatuan Bola Sepak Negeri sementara di Bukit Aman akan sentiasa berhubung rapat bersama FAM.

''Saya seru kepada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perjudian atau rasuah bola sepak, terus hubungi pihak polis supaya kami boleh melakukan siasatan terperinci," katanya pada sidang media di Wisma FAM, semalam.

Beliau sebelum itu menemui Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton dan delegasi yang lain terdiri daripada Penyiasat Utama FIFA, Teny Steans, Pegawai Penerangan Utama FIFA, Javier Mena dan Pegawai Pembangunan FIFA Kuala Lumpur, Domeka Garamendi.

Jelas Salleh lagi, unit bertindak khas itu akan diletakkan di bawah pemantauan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman yang akan diketuai oleh Senior Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Azzuddin Ahmad memberikan peringatan keras kepada pemain supaya jangan sama sekali terlibat dengan kegiatan rasuah.

''Sekiranya pihak FAM mendapat maklumat bahawa mereka terlibat dalam aktiviti mengatur perlawanan, kami tidak akan teragak-agak mengarahkan kontrak mereka ditamatkan dan dikenakan tindakan disiplin yang berat.

''Masalah rasuah adalah satu kes yang serius. FAM sama sekali tidak akan berkompromi dan kami harap sejarah hitam tahun 1995 tidak akan berulang," katanya. - Utusan

Iklan Mangga