TONGGAK pertahanan Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak berasakan gejala mengatur keputusan perlawanan tidak merebak ke dalam skuad Liga Super negeri itu walaupun Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis mengenai skuad Piala Presiden mereka.
Menurutnya prestasi merudum Negeri Sembilan tidak berkaitan dengan gejala itu, malah beberapa faktor lain perlu diambil kira seperti kecederaan sejumlah besar pemain utama dan tidak bernasib baik untuk meraih tiga mata.
Skuad Hoben Jang Hoben itu mengharungi prestasi buruk dalam Liga Super musim ini apabila hanya mengumpul 25 mata dan kini menduduki kedudukan ke-10 dengan berbaki tiga perlawanan manakala skuad Piala Presiden negeri itu berada di tangga ketujuh dari 11 pasukan Kumpulan B mengumpul 20 mata.
“Mungkin secara kebetulan ketika prestasi skuad Liga Super merosot, timbul pula dakwaan mengatur keputusan perlawanan membabitkan pemain skuad Piala Presiden.
“Apa yang saya nampak setakat ini ia tidak berlaku dalam skuad Liga Super, namun biarlah pihak polis meneruskan siasatan mereka dan saya sedia memberikan kerjasama sekiranya diminta berbuat demikian.
“Saya juga tidak pernah didekati mana-mana individu mempengaruhi saya cuba mengatur keputusan perlawanan namun bersedia bertindak membuat laporan sekiranya terdapat usaha seperti itu,” katanya.
Beliau juga turut menjelaskan kekecewaannya sekiranya benar perkara itu memang berlaku dalam skuad Piala Presiden yang akan menggalas cabaran negeri pada masa depan. - myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan