KUALA TERENGGANU: “Ada seorang pemain memiliki RM27,000 di dalam akaunnya. Selepas didesak, dia mengaku itu imbuhan hasil mengatur perlawanan,” demikian kata seorang jurulatih pasukan T-Team mengenai amalan rasuah dan mengatur perlawanan oleh pemain pasukan itu tahun lalu.
Jurulatih yang enggan namanya disiarkan itu berkata, dia mendapat maklumat mengenai kegiatan itu selepas didedahkan sendiri ahli sindiket perjudian bola sepak atau bookie yang cuba menjahanamkan kerjaya pemain terbabit yang sudah tidak mahu lagi menerima rasuah.
Menurutnya, beberapa pemain di bawah jagaannya cuba kembali ke pangkal jalan, namun tindakan mereka menimbulkan kemarahan bookie yang kemudian bertindak mendedahkan nama dan bukti kegiatan pemain mengatur perlawanan kepada pegawai pasukan.
“Seorang wakil bookie menghubungi saya sendiri untuk memberi nama pemain yang menerima wang rasuah dan saya juga diberitahu mengenai masa, tempat dan jumlah wang yang diberikan.
“Pertemuan saya dengan wakil bookie menunjukkan mereka enggan melepaskan pemain dan mahu membinasakan karier mereka.
“Saya mulanya sangsi dengan maklumat bookie itu, namun selepas membuat siasatan sendiri, jelas pemain itu mengatur perlawanan,” katanya.
Jurulatih itu berkata, dia terpanggil membuat pendedahan selepas bekas pengurus pasukan Piala Presiden T-Team, Mohd Sabri Abas, mendakwa pihak pengurusan tertinggi persatuan bola sepak tidak tegas menangani isu rasuah bola sepak.
Menurutnya, bookie bagaikan manusia bertopengkan syaitan kerana mereka cuma mementingkan diri tanpa mempedulikan nasib atau masa depan pemain yang menjadi ‘hamba’ mereka.
“Jangan bermain api kelak nanti membakar diri, jangan sesekali mendekati bookie, nanti menyesal diri. Saya tidak mahu pemain gelap mata dengan suapan ribuan ringgit.
“Sekali mereka terjebak, tidak ada lagi jalan keluar kerana mereka berada di dalam genggaman bookie sehinggalah kegiatan jahat mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya.
Kata jurulatih itu lagi, ramai pemain yang terjebak dalam perangkap bookie sebenarnya masih bermain dengan pasukan lain dalam Liga Malaysia sekarang, cuma beliau tidak tahu sama ada mereka masih menjalankan kegiatan haram itu ataupun sudah insaf.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Rozi Mamat, yang juga pengurus pasukan T-Team berkata beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai pemain pasukan itu menerima rasuah dan mengatur perlawanan musim ini.
“Saya bukan pengurus pasukan tahun lalu dan tidak dapat memberi komen mengenai kejadian itu namun saya yakin ia sudah pun ditangani dengan sebaik mungkin.
“Jika tidak ada laporan dibuat kepada pihak polis, ia mungkin kerana pengurusan tidak mempunyai cukup bukti untuk membabitkan pemain terbabit,” tegasnya.
Menurut Rozi, arahan pemantauan sudah dikeluarkan ke atas semua pemain agar pasukan bebas daripada jenayah berkenaan.
“Sekiranya ada bukti pemain mengatur perlawanan, kami tidak akan teragak-agak untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.
Pada masa sama, menurut sumber dalaman pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, belum ada laporan mengenai rasuah bola sepak dibuat setakat ini.
Bagaimanapun, katanya, siasatan membabitkan pemain bola sepak di Terengganu akan dimulakan secepat mungkin. - myMetro
kuasa duit....karier habis....
BalasPadam