slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Rabu, 22 Jun 2011

Taufik kritik BWF lagi



KUALA LUMPUR - Juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat kelmarin mengkritik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana membenarkan jaguh China, Lin Dan menarik diri pada final Terbuka Singapura, Ahad lalu dan memberi kemenangan tanpa bertanding kepada rakan senegaranya, Chen Jin.

"Yang salah adalah BWF. Kejadian seperti ini bukan sekali berlaku, tetapi sudah banyak kali, terutama kalau pemain China bertemu pemain China,'' kata Taufik ketika ditemui media pada sesi latihan menjelang kejohanan Terbuka Indonesia di Stadium Istora Bung Karno, Jakarta kelmarin.

Taufik mengandaikan, Lin Dan sengaja memberi kemenangan kepada Chen Jin untuk membantu rakan senegaranya itu memperbaiki ranking dunia yang merosot kerana ketika ini, kelayakan Sukan Olimpik 2012 sedang berjalan.

Juara dunia 2005 itu turut mengingatkan, bahawa Lin Dan juga pernah memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Chen Jin pada final All England 2008 atas alasan kecederaan, sedangkan tidak sampai seminggu kemudian dia muncul juara Siri Super Terbuka Switzerland.

"Pada All England ketika itu, Lin Dan masuk ke gelanggang dengan kaki yang penuh balutan, tetapi seminggu kemudian di Switzerland dia muncul juara,'' ujar Taufik.

Ujar Taufik, BWF wajar memberi perhatian serius terhadap perkara seperti ini kerana sikap pemain-pemain China mampu membawa kerugian kepada penganjur dan penonton yang membayar wang untuk menyaksikan perlawanan.

Ini bukan kali pertama Taufik membidas badan badminton dunia itu, dia juga pernah menggesa BWF supaya mengambil tindakan ke atas Lin Dan selepas pemain itu menarik diri pada suku akhir Terbuka Malaysia, Januari lalu untuk memberi kemenangan percuma kepada rakan senegara, Chen Long.

Ditanya tentang peluangnya pada Terbuka Indonesia yang bermula semalam, Taufik mengakui, saingan amat sengit kerana hampir semua 32 pemain terbaik dunia mengambil bahagian pada kejohanan Siri Super Premier yang menawarkan AS$600,000 (RM1.8 juta) itu.

"Sebaik memasuki kelayakan Olimpik, semua peserta pasti akan berhabis-habisan, apatah lagi dalam kejohanan Siri Super Premier.

"Saya hanya meramaikan saingan tetapi itu tidak bermakna saya tidak mengambil serius kejohanan ini. Saya akan melakukan yang terbaik kerana beraksi di depan penyokong sendiri.

"Sebenarnya, sekarang bukan masa untuk saya tetapi peluang untuk pemain muda. Permainan saya sudah statik, itulah yang terjadi di All England, Terbuka India dan Singapura. Mungkin saya hanya berusaha untuk sampai ke Olimpik,'' kata Taufik. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga