JUARA bertahan, Selangor berjaya menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Shah Alam malam tadi, sekali gus memaksa penentuan kejuaraan Liga Super musim ini hanya akan ditentukan pada aksi terakhir, 6 Julai depan, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Berbaki satu perlawanan, Kelantan kekal di tangga teratas dengan 53 mata diikuti Selangor di tangga kedua dengan 51 mata manakala juara Piala FA, Tereng- ganu di tangga ketiga (50 mata).
Pada aksi malam tadi, Selangor berjaya mendahului 1-0 pada minit ke-23 menerusi rembatan kaki kiri P. Gunalan dari jarak 30 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol Felda United, Hamsani Ahmad.
Pada penghujung separuh masa pertama, Felda United hampir menyamakan kedudukan, tetapi tandukan Nizaruddin Yusof berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi.
Bersambung babak kedua, Felda United berjaya menyamakan pada minit ke-68 apabila Azrul Ahmad yang tidak dikawal dalam kotak penalti melepaskan rembatan kencang menewaskan Iqbal.
Namun Selangor kembali mendahului pada minit ke-74 menerusi sepakan penalti Safiq Rahim setelah kapten skuad ke- bangsaan itu dijatuhkan pemain pertahanan Felda United, Juzaili Samion.
Biarpun Selangor terus mengasak ke kubu Felda United, kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat untuk menghadiahkan tiga mata yang cukup penting buat Selangor.
Pada aksi terakhir Liga Super pada 6 Julai depan, Kelantan akan bertemu Sabah di Kota Kinabalu, Selangor berdepan Perak di Ipoh, manakala Terengganu menghadapi Felda United di Cheras. - Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan