KUALA LUMPUR: Golongan muda dan pengamal media disaran menyertai askar Wataniah bagi mencapai nisbah satu anggota tetap bagi satu pasukan simpanan menjelang 2020.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini kementeriannya hanya memiliki nisbah 1:3 bagi Wataniah berbanding anggota tetap.
"Kita mahu anak muda dan lebih ramai pengamal media menyahut cabaran untuk merasai sendiri latihan dan tugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga keamanan negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyertaan Selebriti Dalam Askar Wataniah di Wisma Kementah di sini, Khamis.
Pada majlis sama, penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan beberapa selebriti lain seperti pelakon Shaheizy Sam, Intan Ladyana, penerbit filem David Teo, penyanyi Ana Raffali dan penyanyi Aizat menyerahkan borang penyertaan menyertai Rejimen Askar Wataniah.
Enam selebriti itu turut menerima kelengkapan pakaian seragam sebagai simbolik penyertaan mereka dalam latihan ketenteraan itu.
Ahmad Zahid berkata, beberapa kumpulan media dari Utusan Malaysia, Berita Harian, Bernama, Harian Metro, News Straits Time, Astro dan Kementerian Penerangan telah menyertai askar wataniah.
"Saya dapati aksar wataniah amat signifikan bagi merealisasikan impian negara dalam memperkukuhkan semangat patriotisme di kalangan muda-mudi dan menyediakan angota sukarela terlatih bagi menghadapi sebarang ancaman," ujarnya.
Menurut Ahmad Zahid, penyertaan selebriti dalam askar wataniah dapat menarik minat lebih ramai anak muda mengikut jejak langkah idola mereka untuk berbakti kepada negara.
"Selain memainkan peranan besar dalam industri hiburan tanah air, mereka boleh memberi pendedahan kepada rakyat mengenai tanggungjawab anggota tentera ketika berlaku ancaman sama ada dalam keadaan darurat mahupun bencana alam," jelasnya.
Ahmad Zahid berkata, enam selebriti tersebut akan memulakan latihan mereka secepat mungkin selepas lulus ujian pemeriksaan kesihatan.
"Sebagai permulaan, mereka perlu menamatkan latihan selama 39 jam. Mereka akan dilatih untuk menguatkan mental dan fizikal selain meningkatkan sahsiah dan jati diri," tambahnya. - mStarOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan