Pemain pasukan Lebanon tiba di KLIA, Sepang dari Beirut semalam untuk berdepan Malaysia pada Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok. - UTUSAN/IRWAN MAJID |
SEPANG - Jurulatih Lebanon, Samir Saad tidak berhasrat meletakkan kawalan khusus kepada mana-mana pemain skuad Olimpik Malaysia dalam perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2014, esok.
Bagi beliau, pasukannya akan sentiasa berwaspada dengan kesemua anak buah Ong Kim Swee di Stadium Nasional, Bukit Jalil sambil memburu keputusan yang lebih baik setelah terikat tanpa jaringan di Beirut, Ahad lalu.
"Kami menentang keseluruhan pasukan anda, tiada individu yang akan diberi perhatian khas, tetapi saya perlu akui mereka bagus dan berdisiplin malah semua pemain amat penting bagi kami," katanya setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Samir tidak berhasrat untuk menampilkan sebarang strategi baru bagi menembusi gawang pasukan Malaysia, namun tetap yakin kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang untuk ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik.
"Ia satu lagi perlawanan yang amat penting bagi kedua-dua pasukan. Masing-masing berpeluang ke pusingan ketiga walaupun tampak sukar. Malaysia dapat keputusan yang baik di Beirut, kami harap yang sama di sini.
"Tiada strategi baru mahupun muka baru dipanggil ke pasukan kami kali ini. Kami kekal dan percaya dengan barisan yang sama ketika perlawanan pertama (di Beirut)," katanya.
Samir mengakui, dari segi persediaan, anak buahnya agak kekurangan berbanding lawan yang turut melalui pusingan pertama dengan menewaskan Pakistan 2-0 secara agregat pada Februari dan Mac lalu.
"Kami tidak cukup persediaan, hanya sebulan setengah sedangkan Malaysia melalui persediaan yang lama," katanya.
Ketua pasukan, Omar Ouaida yakin dapat bermain lebih baik daripada di Beirut dan tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan padang mahupun penonton di Stadium Nasional.
"Kami bermain baik di Beirut tetapi tidak dapat menjaringkan gol tetapi kami yakin dapat bermain lebih baik di luar Lebanon," katanya. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan