KUALA TERENGGANU: Dua individu dipercayai penyokong pasukan bola sepak tanah air bertindak kurang ajar apabila sanggup menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menerusi laman sosial Facebook.
Individu terbabit didapati bukan saja mengubah suai gambar Yang di-Pertuan Agong dengan menggantikan wajah baginda dengan sebiji bola tetapi turut mengeluarkan komen mempersendakan ketua negara Malaysia itu apabila mengaitkannya dengan kemenangan Terengganu ke atas Kelantan pada final Piala FA, Sabtu lalu.
Tindakan dua individu tidak bertanggungjawab dikenali sebagai Nik Rabani dan Kay Shakila itu disedari ahli Kelab Peminat Terengganu (Terengganu FC) yang membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, pada jam 1.15 petang, semalam.
Berdasarkan akaun individu terbabit, Nik Rabani mendakwa menetap di Kota Bharu manakala Kay Shakila pula mendakwa menuntut di Universiti Teknologi Mara.
Ketua Penerangan Terengganu FC, A Rashid Ridha Muhamad, berkata tindakan dua penyokong terbabit disedari ahlinya kira-kira jam 9 malam kelmarin dan mereka menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.
"Individu berkenaan yang dipercayai penyokong Kelantan mendakwa Yang di-Pertuan Agong membeli perlawanan akhir Piala FA bagi memastikan kemenangan Terengganu.
"Sebelum ini, kita sudah menasihatkan dua individu berkenaan untuk menarik balik kenyataan itu menerusi laman Facebook milik Terengganu FC tetapi sehingga laporan ini dibuat, tiada tindakan diambil dua individu terbabit.
"Bukan niat untuk mengeruhkan keadaan tetapi saya berharap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap dua individu berkenaan," katanya yang ditemui di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan berkenaan. - myMetro
lapor aje biar mereka yg xpunya semangat kesukanan ini dihukum. Jgn suka menghina apabila kekalahan memihak pihak kita...kalah menang adat permainan.
BalasPadam