KAJANG: Seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga bekas pemain bola Piala Presiden sebuah negeri pada 2006 bertindak nekad melarikan diri dengan tangan masih bergari dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, suspek melarikan diri kira-kira jam 4.45 petang kelmarin ketika anggota polis membawanya untuk dimasukkan ke dalam lokap sebelum dia berjaya ditahan semula kira-kira jam 1.30 petang (semalam) di kawasan hutan berhampiran Plaza Tol Sungai Balak.
“Suspek dengan tangan bergari bertindak berani dengan memanjat tembok IPD Kajang sebelum melarikan diri menuju ke kawasan berhampiran pemancar Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk bersembunyi.
“Sewaktu melarikan diri, suspek sempat singgah di rumah neneknya di Simpang Balak dipercayai untuk menukar baju bagi mengelak dikesan polis,” katanya.
Rashid berkata, gerakan mengesan suspek dilancarkan IPD Kajang dengan bantuan Unit Anjing Pengesan dan polis turut membuat sekatan jalan raya bermula semalam di sekitar Kajang.
“Polis menerima maklumat awam yang ternampak kelibat suspek di Taman Sutera sebelum anggota polis dihantar ke tempat kejadian untuk pemeriksaan.
“Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian melarikan diri dan berlaku pergelutan dengan anggota yang mahu menahannya sebelum dia ditahan dalam keadaan tangan masih bergari,” katanya.
Katanya, suspek sepatutnya dibawa ke Mahkamah Putrajaya semalam bagi prosiding untuk dijatuhkan hukuman atas kesalahan rogol yang dilakukannya pada 2009.
“Suspek kini ditahan reman di lokap IPD Kajang dan akan didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan (KK) kerana melarikan diri ketika dalam tahanan,” katanya. - myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan