slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Khamis, 16 Jun 2011

Jurulatih dituduh atur keputusan perlawanan


Sufian Ngah diiringi anggota SPRM di mahkamah, semalam. 

KUALA TERENGGANU 15 Jun - Seorang jurulatih pasukan bola sepak Piala Presiden T-Team dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam tuduhan memberi rasuah berjumlah RM5,000 kepada enam pemain skuad itu bagi tujuan mengatur keputusan perlawanan menentang pasukan Pahang, tahun lalu.

Sufian Ngah, 41, yang juga kerani sebuah bank di sini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan RM500 setiap seorang kepada empat pemain dan RM1,500 setiap seorang kepada dua lagi pemain pasukan Piala Presiden T-Team di rumah Lot 10544-A, Kampung Hulu Takir, Jalan Seberang Takir di sini, kira-kira pukul 7 malam pada bulan Mac tahun lalu.

Empat pemain yang masing-masing menerima suapan RM500 ialah Mohd. Nadzmeer Mohammad, Mohd. Azuan Hussein, Mohd. Hanifzam Muda dan Mohd. Hafiz Mohd. Noor manakala Mohd. Azwan Mat Ali dan Muhammad Shariquddin Ibrahim masing-masing menerima RM1,500 seorang.

Setiap pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Syafinas Shabudin yang mengendalikan pendakwaan menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan menanggung keluarga dengan pendapatan yang kecil.

Zainal Abidin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 30 Jun ini.- Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga