slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Rabu, 1 Jun 2011

Shaheizy Sam Bayar 'Hutang' Skop Production


KUALA LUMPUR: Pelakon Shaheizy Sam bakal membintangi filem Saya Amat Mencintaimu (SAM) terbitan Skop Production sebagai ganti kerana kegagalannya berlakon dalam filem KL Gangster.
Jelas Sam, dia tidak dapat membintangi filem arahan Syamsul Yusof itu berikutan jadual penggambarannya bertindan dengan filem Kongsi terbitan syarikat pengurusannya MIG Production.
“Saya berhutang satu filem dengan Skop kerana saya sudah berjanji untuk berlakon dalam filem KL Gangster tetapi jadual penggambarannya bertindan dengan jadual penggambaran filem Kongsi.
“Jadi mereka menawarkan filem SAM sebagai ganti kepada filem yang tidak dapat saya sertai itu,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan kereta atas kemenangannya sebagai bintang paling popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) di sini, Selasa.
Sam menerima kereta Nissan Teena 2.0L bernilai RM140,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.
Pelakon itu berkata dia menolak dakwaan terdapat perselisihan faham antara dia dan Skop Production berikutan kegagalannya menyertai KL Gangster.
“Saya menghormati perjanjian saya dengan mereka, jadi saya akan gantikan dengan filem tersebut yang dijangka mula penggambaran pada Julai ini,” ujarnya
Dalam pada itu, Sam yang biasa dengan watak komedi mengakui 70 peratus daripada watak yang akan dilakonkan dalam SAM adalah dirinya yang sebenar.
“Setiap lakonan yang saya buat adalah 70 peratus diri saya yang sebenar dan disesuaikan mengikut skrip yang diberikan.
“Namun begitu saya percaya jika saya asyik bawa watak komedi sahaja, akan sampai satu tahap yang peminat akan bosan,” katanya yang mahu membawakan watak lebih mencabar dan berat.
Selain itu, ketika ditanya tentang soal hati, Sam akui masih takut untuk memulakan hubungan cinta.
“Saya seorang yang pemalu untuk memulakan sesuatu hubungan, ditambah dengan takut cinta saya ditolak.
“Banyak lagi yang perlu difikirkan selain cinta terutama sekali kerjaya saya sekarang memerlukan komitmen yang sangat tinggi,” katanya.
Sementara itu, bercerita tentang kereta Nissan Teena 2.0L yang dimenanginya, Sam memberitahu dia belum ada sebarang perancangan terhadap kereta tersebut.
"Saya sekarang memakai kereta Volvo 40 yang saya hadiahkan kepada mami (ibu) saya. Tapi disebabkan dia jarang keluar rumah, jadi saya yang gunakan kereta tersebut.
"Buat masa ini saya tidak tahu nak buat apa lagi dengan Kereta Nissan ini, saya hanya nak bawa balik rumah dan tunjuk kepada mami," ujarnya. - mStarOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga