slmt dtg

Pengikut

ads by mangga

HBeat

Sabtu, 9 Julai 2011

TM suntik semangat Harimau Malaya

TENGKU Abdullah (barisan belakang, empat dari kanan) bergambar dengan pemain skuad Harimau Malaya pada majlis menandatangani perjanjian di antara TM dan FAM sebagai Rakan Rasmi Pasukan Bola Sepak Kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

PETALING JAYA – Skuad Harimau Malaya mencipta sejarah apabila meraih penajaan lumayan daripada Telekom Malaysia (TM) yang mencecah RM6 juta setiap tahun, selama empat tahun sehingga 2015. Di bawah perjanjian tersebut, TM akan menaja RM6 juta pada tahun pertama, dengan penambahan 10 peratus dari tahun ke tahun.

TM juga menjanjikan insentif yang mencecah RM1 juta kepada skuad kebangsaan sekiranya memenangi trofi dalam mana-mana kejohanan yang sertai. Serentak itu juga logo TM akan terpampang pada jersi latihan pasukan, pelbagai barangan sukan dan pakaian rasmi skuad Harimau Malaya.

Selain daripada tajaan tersebut, TM bersedia menghantar dua pemain Malaysia dengan ditemani seorang jurulatih menjalani latihan yang dikendalikan oleh Manchester United atau ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kesudian TM menaja skuad kebangsaan menggembirakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Ahmad Shah yang menganggap ia sebagai lembaran baru kepada skuad kebangsaan.

“Sebelum ini, skuad bola sepak negara belum pernah menerima pakej tajaan komersial seperti ini.

“Dengan kewujudan perkongsian ini, dua-dua pihak dapat berkongsi dan menaikkan imej pasukan kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi.

“Satu lagi perkara yang lebih penting, melalui penajaan ini, skuad kebangsaan mampu ditadbir urus secara profesional dalam semua aspek, supaya mampu menarik lebih banyak penaja pada masa akan datang, ” katanya pada majlis menandatangani perjanjian TM dan FAM sebagai Rakan Rasmi Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, semalam.

Pada majlis tersebut, TM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa.

Turut hadir Naib Presiden FAM yang juga pengurus skuad kebangsaan, Datuk Subahan Kamal dan Pengerusi TM, Datuk Dr. Halim Shafie.

Dalam pada itu, Subahan berkata, penajaan TM cukup bermakna buat skuad kebangsaan untuk mendapatkan pendedahan luar negara seperti di benua Eropah dan Asia Barat.

“Jumlah tajaan ini membantu kami mengadakan beberapa perlawanan persahabatan atau menjalani latihan luar negara, kami akan cuba menggunakannya dengan cermat terutamanya dalam menghadapi persiapan Kelayakan Piala Dunia 2014, ” katanya.

Pada majlis yang sama, Tengku Abdullah turut menyuarakan mahu menubuhkan Yayasan Bekas Pemain Kebangsaan bagi membela nasib pemain bola sepak yang pernah menyarung jersi negara.

“Cadangan penubuhan yayasan ini diharapkan tidak bertindih dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) kerana ia mahu memberikan tumpuan khas kepada bekas pemain bola sepak.

“Ia juga secara tidak langsung dapat memberikan semangat kepada para pemain-pemain muda untuk menyarung jersi kebangsaan melalui yayasan ini, ” katanya. - UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iklan Mangga